'Maaf Encik, Dia Anak Autism...'


Petang tadi, saya berada di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) Kampung Baru. Ketika sedang duduk menunggu segelas Hot Chocolate yang dipesan, mata saya menangkap kelibat seorang remaja yang begitu tekun menghidangkan minuman, tanpa rasa penat ke hulu dan ke hilir menyajikan sajian yang dipinta pelanggan. 

Tetapi saya dapat merasakan 'sesuatu'. Dia langsung tidak membuka mulut, mukanya juga serius dan seperti dalam dunianya sendiri. 

Dalam hati saya berkata, "mungkin dia sedang stress,".

Nak dijadikan cerita, remaja yang sama juga datang dan menghidangkan Hot Chocolate ke meja saya. Ini bahagian yang paling 'sempoi'. 

Dia hanya berdiri tegak di tepi saya. Saya pula yang terpaksa mengambil sendiri minuman tersebut dari dulang yang dipegangnya. 

"Annoying seh!"

"Maafkan saya encik, dia anak autism," kata Cik Aishah, rupa-rupanya dari jauh, eksekutif hotel tersebut memerhatikan gelagat pekerjanya.


Dari perbualan singkat dengan Cik Aishah, baru saya tahu siapa sebenarnya remaja itu. 

Dan Lo, sebenarnya sudah berusia 22 tahun tetapi seringkali gagal mendapatkan pekerjaan disebabkan status OKU nya itu. Anak kelahiran Pandan Indah ini tidak bersekolah secara formal, hanya belajar 'home tuition'. Ibu bapanya kemudian menghantar Dan mengikuti kursus perhotelan. Tetapi tidak pernah diterima bekerja sehinggalah KLIH memberikan peluang kepadanya.


"Dia tidak pernah ponteng selama bekerja di sini. Ada pelanggan yang tidak tahu, pernah memarahinya, tetapi Dan tidak pernah mengambil hati. Dia tabah menjalankan tugas dan tidak mahu kami memberi layanan istimewa terhadapnya. 

"Katanya, dia tidak pernah mendapat bantuan. Pendek kata dia mahu berdikari dan tidak mahu membebankan keluarganya," cerita Aishah. 


Saya kagum dengan Dan dan juga kagum dengan kesanggupan KLIH. Kisah Dan sepatutnya membuka mata dan telinga kita agar tidak menyisihkan insan-insan istimewa sepertinya. 

Saya terkenang bait-bait lirik lagi, Namun Ku Punya Hati. 

"Maafkan wahai teman, ku menumpang di sudut dunia, mencari ketenangan, sampai masa ku pergi jua..." 

Oleh Syahril A. Kadir | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.