'Makcik Belum Makan Lagi Nak...'


Beberapa bulan yang lalu saya bertemu dengan Razzi Yusoff melalui sahabat baik saya. Dia adalah sebahagian dari jenama tempatan yang dikenali sebagai Menage (@menage_brand). 

Kami berbual sehingga menyentuh hal mengenai kerja-kerja amal dan peruntukkannya. Beliau berkongsi dengan saya bahawa Menage Brand memperuntukkan RM10 bagi setiap produk mereka yang dijual untuk kebajikan. 

Saya kagum! Mereka adalah sekumpulan lelaki yang berkongsikan keuntungan mereka dengan masyarakat yang memerlukan. Menariknya, mereka menjalankan insiatif yang dinamakan The Provision Weekend di mana mereka akan mengedarkan barang-barang keperluan harian dan barang-barang berkaitan kepada gelandangan atau yang memerlukan di setiap hujung bulan. 

Saya mendapati pendekatan yang mereka lakukan itu amat menarik dan benar-benar memberikan inspirasi. Saya ras seperti, "Wow! Orang baik seperti mereka ini masih wujud!". Jadi, Sabtu yang lalu, Menage Brand dan Khayalan Co berkerjasama menjalankan aktiviti bulanan mereka. 

Ia merupakan sesuatu yang baru dan memberikan inspirasi kepada saya. Ini juga adalah pertama kali saya berhadapan dengan golongan yang kurang bernasib baik. Harian Metro juga membuat liputan untuk The Provision Weekend kali ini dalam memahami inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan dengan pandangan yang lebih baik. 

Gambar wanita ini? Itulah makcik yang saya hampiri. Dia melihat kedatangan saya dan melemparkan senyuman dari jauh. Saya membalas senyumannya dan menyerahkan beg dan berkata beg itu untuk dia. 

Ayat pertama yang dia katakan pada saya,

"Adik beli dekat mana beg ini? Cantik," katanya.

Apa yang patut saya respon? Kita semua pakai handbag yang cantik dengan nama jenama yang tertera di handbag. Tetapi bagi makcik ini, beg Mydin cantik di matanya. Lalu saya duduk di samping dan bertanya sama ada dia sudah makan ke belum.

"Belum makan lagi nak," katanya. 

Saya buka beg itu dan keluarkan roti untuk dia. Kemudian dia bertanya pula kepada saya. 

"Adik, banyaknya, adik ambillah sikit. Adik dah makan ke belum?" soalnya.

"Tak, ini untuk makcik,"

Namun dia masih menolaknya sehinggalah dia mengalah dan mengambil roti itu. Kami berbual, makcik ini peramah orangnya. Saya berdoa pada Allah agar makcik ini sentiasa dilindungi Allah.

Sekarang saya telah belajar sesuatu iaitu kita semua datang dari pelbagai latar belakang. Kekayaan, status, kemasyuhran dan lain-lain itu semua hanyalah sementara. Hanya kerana mereka yang memerlukan tidak mempunyai apa yang kita ada, ia tidak membuatkan mereka kurang berperikemanusiaan. - The Khayalan | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.