'Makcik Redha, Ini Semua Ketentuan Allah...'


Buat sekian kali, saya mengulang siar kisah ini untuk tatapan umum. Secara jujurnya, di antara banyak kes yang pernah saya kendalikan, namun kes ini sangat unik dan berlainan dengan kes-kes yang lain dan melekat di hati saya. 

Kisah ini sangat dekat dengan saya dan akan menjadi satu kisay ang akan dikenang sehingga akhir hayat saya. Ianya sangat meruntun jiwa ini. Saya berkesempatan bercakap dengan tertuduh dan ibu tertuduh sepanjang kes berjalan. Saya juga dapat merasai ketabahan dan kecekalan hati si ibu menghadapi kes ini.

Saya menulis bukan bertujuan untuk membuat aib sesiapa tetapi saya amat terkesan dengan apa yang berlaku terutama nilai satu pengorbanan. Buat keluarga arwah, saya pohon maaf jika saya melakukan kesilapan kepada mereka sepanjang kes ini berjalan. 

Namun satu perkara yang saya ingin tegaskan ialah pengorbanan seseorang bukan sekadar nilaian wang ringgit tetapi jiwa raga. Bagi saya, arwah atau si mati adalah lambang satu pengorbanan dan kasih sayang jitu dan sejati seorang ibu kepada seorang anak. Jiwa raga dipertaruhkan beliau bagi menyelamatkan nyawa demi seorang manusia bergelar anak. 

Selamat Hari Ibu kepada insan yang bergelar ibu. Biarpun ianya baru berlalu namun tidak salah untuk kita sentiasa ingat kepada ibu bapa pada setiap masa dan waktu. 

Saya mulakan kisah sedih ini dengan bacaan doa saya kepada roh beliau. Semoga doa saya ini diperkenankan Tuhan seadanya. 

Kisah sedih ini berlaku di sebuah desa di pendalaman negeri Kelantan. Kejadian bermula di sebuah rumah PPRT yang dihuni oleh satu keluarga terdiri dari seorang pemuda ini bersama adik beradik, ibu dan neneknya. 

Kehidupanan mereka sangat bahagia dan sejahtera sehinggalah anak lelaki mereka mengalami gangguan jiwa. Pemuda ini mengalami gangguan jiwa dan mental yang serius dipanggil schizophrenia paranoid. Puas sudah keluarga ini berikhtiar untuk mengubati penyakit anak lelaki beliau, namun tidak juga sembuh. 

Walaupun si anak mengalami gangguan jiwa, namun si ibu masih tetap menjaga makan minum pakai dan kerenah anak ini sebaik mungkin. Sehinggalah beberapa hari sebelum kejadian, anak ini mengamuk dan kemuncaknya bila beliau duduk di atas kitab suci di surau berhampiran rumah beliau dengan keadaan menyelimutkan kepala dengan kain pelikat dalam keadaan tidak sedar. Beliau kelihatan murung dan enggan bercakap dengan sesiapa. 

Tanggal 11hb November 2004, pemuda ini balik ke rumah dari surau yang berdekatan. Beliau naik ke rumah sambil mengamuk dan mula melibas-libaskan parangnya di dalam rumah. Dalam kepala pemuda itu, wujud satu keadaan halusinasi dan suara ghaib yang mengarahkan beliau membunuh sesiapa sahaja yang berada di dalam rumah. 

Bagi beliau, dunia ini sudah kiamat dan suara tersebut menyuruh perlu membunuh semua manusia yang berada di dunia supaya hanya beliau seorang sahaja yang akan memasuki syurga tanpa persaingan. 

Ketika pemuda yang sedang mengamuk itu menaiki rumah, ibunya sedang berehat di satu sudut di penjuru rumah. Pemuda itu terus meluru ke arah ibunya. Memang beliau tidak tahu siapa di hadapan beliau. Beliau hanya nampak makhluk-makhluk ganjil lagi aneh berada di dalam rumah beliau. 

Pemuda itu menyerang ibunya yang dilihat sebagai makhluk aneh dengan parang berhulu kayu di tangan. Dilibas-libasnya parang itu. Ibu beliau terkejut dengan tindakan anaknya itu hanya sempat bangun bagi mempertahankan diri. Ibu beliau tercedera dilibas dengan parang tersebut. Akibatnya, ibu beliau patah empat bahagian anggota badan. 

Takdir tuhan mengatasi segala-galanya.

Dalam masa kelam kabut itu, tiba-tiba muncul pula si nenek pemuda itu iaitu ibu kepada yang diserang dari dalam bilik dan meluru ke arah anak beliau lalu ditolak anak beliau ke tepi. Tujuan beliau hanya satu, melindungi anak beliau dari diapa-apakan oleh cucu beliau sendiri.

Neneknya yang bertubuh kecil tanpa sebarang senjata di tangan terus menerkam ke arah cucunya yang sedang mengamuk. Bayangkan, tangan kosong digunakan melawan pemuda gagah yang bersenjatakan parang di tangan.

Digunakan tangan dan batang tubuh beliau sebagai pelindung kepada serangan anak beliau supaya anak beliau tidak diapa-apakan oleh cucunya yang sudah hilang akal dan pertimbangan ketika itu. Tubuh si tua menjadi mangsa libasan parang yang bertubi-tubi tanpa belas kasihan. Libasan demi libasan mengena hampir keseluruhan tubuh. Darah membuak-buak dan memancut keluar dari tubuh nenek. Tubuh malang yang bongkok itu akhirnya jatuh tersembam ke lantai dengan darah memancut-mancut keluar dari badan tanpa henti. Tubuh si tua semakin lemah dan tidak bermaya. 

Cucunya yang tidak siuman itu masih rakus menyerang tubuh kaku ini tanpa henti. Apabila serangan dan libasan itu berterusan, tiba-tiba parang tercabut dari pemegang kayu (hulu) lalu terpelanting jauh. Pemuda yang masih lagi dirasuk seterusnya menggunakan pemegang hulu kayu untuk memukul kepala neneknya tanpa henti. Akibatnya, seluruh kepala nenek itu hancur dan bersepai bahagian kepala arwah neneknya. Daging, otak, rambut dan tempurung kepala si tua bertaburan dan memercik di semua sudut ruang tamu itu. Hancur lumat dikerjakannya. 

Subhanallah, tak dapat saya bayangkan suasana ketika itu. Air mata saya gugur melihat gambar-gambar arwah yang kepalanya bersepai hancur diperlakukan oleh cucu sendiri ketika gambar-gambar itu dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti. 

Pemuda itu kemudiannya ditahan oleh orang kampung dan diserahkan kepada pihak berkuasa.

Masa telah berlalu, ibu kepada pemuda ini yang telah kehilangan ibu beliau di tangan anaknya yang tidak siuman ini tetap setia hadir setiap kali perbicaraan di mahkamah. Tiada sedikit pun ada dendam dan sengketa di antara mereka. Beliau tahu anaknya kurang siuman ketika melakukan pembunuhan itu. Namun itulah kasih sayang seorang ibu sampai bila-bila hingga ke syurga. Allahuakbar. 

Ketika mahkamah berehat, si ibu tetapi melayan mesra anaknya, bergurau senda, makan apa yang dibekalkan berupa nasi yang ditanak dan lauk pauk yang disediakan sendiri lalu disuapkan ke dalam mulut anaknya yang tangannya digari rapi. Mereka sangat mesra, seolah-olah tiada pernah ada peristiwa dan episod sedih yang pernah terjadi antara mereka. 

Buat arwah nenek beliau, ingin saya katakan;

Wahai Meriam, besarnya pengorbanan kamu dalam menyelamatkan anak kamu dari menjadi korban cucu engkau sendiri. Sayangnya kamu kepada anak kamu sendiri ini hanya Allah sahaja yang tahu. Kamu sanggup mengorbankan nyawa kamu demi seorang manusia bernama anak. 

Ya Allah, ampunkan dosa-dosa nenek ini yang syahid mengorbankan diri sendiri untuk menjadi perisai kepada libasan parang cucunya sendiri dan tempatkan beliau di syurgaMu. 

Buat ibu tertuduh, ingin saya katakan bahawa;

Sayangnya seorang ibu kepada anaknya sendiri yang kurang siuman, sedikit pun tidak pernah berkurangan dan jelas sekali nampak kemesraan wujud antara mereka. Bukannya dibuat-buat. 

Cerita ini benar-benar menginsafkan saya dan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu bagi mempertahankan hak, maruah dan nyawa seorang manusia bergelar anak dengan mempertaruhkan nyawa beliau sendiri. Kepada perlu wujud anak derhaka yang tidak mempedulikan ayah ibu yang menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh semasa kecil. 

Saya kagum dengan pengorbanan ibu anak guam saya ini. Biar pun ibu ini mengetahui anaknya berpenyakit mental, namun jauh sekali bagi si ibu untuk menyisih anak ini. Saya berkesempatan bertanyakan ibu ini, apakah perasaan beliau apabila anak beliau sendiri menjadi penyebab kematian ibu beliau?

"Makcik redha kerana ini semuanya ketentuan Allah kepada makcik," jawabnya. 

Subhanallah, saya terpegun dengan jawapan si ibu ini. 

Pemuda ini kemudian dijatuhkan hukuman tidak bersalah oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi kerana melakukan perbuatan tersebut tanpa sedar dan telah diperintahkan untuk ditempatkan di Hospital Permai Tampoi, Johor Bahru. 

Saya memetik satu Firman Allah:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنًا‌ۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡڪِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ۬ وَلَا تَنۡہَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلاً۬ ڪَرِيمً۬ا
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).“. (QS. Al Isra’: 23).

Sayangilah ibu dan ayah kerana syurga di bawah tapak kaki mereka. Tiada mereka, tiadalah kita di dunia ini. Sama-sama kita sedekahkan bacaan ummul Kitab, Al-Fatihah kepada arwah Meriam binti Nawan dan sama-samalah berdoa agar roh beliau sentiasa dirahmati Allah dan ditempatkan beliau bersama-sama orang-orang yang beriman. - Hasif Hasan | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.