'Misi Kat Wad Ini Memang Bab*!' - Suami

Gambar hiasan sahaja | Google Images

Saya ditunjukkan oleh rakan tentang sebuah posting di Facebook. Marah benar nampaknya individu yang membuat posting tersebut. Padahal ceritanya ringkas sahaja. 

Lelaki tersebut diminta beredar dari katil isterinya kerana waktu melawat sudah tamat. Bukannya kita tidak mahu bagi tetapi kita mengambil kira keselesaan ibu-ibu mengandung yang lain di katil-katil berhampiran juga. 

Sekali, dua kali jururawat tersebut menegur tetapi dia tidak endah sehinggalah kali ketiga. Jururawat memanggil bantuan pengawal keselamatan, barulah dia mahu berganjak. 

Posting tersebut mendapat ratusan like dalam masa beberapa minit sahaja. Viral terus. Maki hamun membanjiri ruangan komen. Gambar jururawat tersebut yang diambil secara senyap dan tanpa izin digantikan wajahnya dengan wajah makhluk Allah yang tidak sepatutnya. Kononnya menjaga aib. Disambut sorak ketawa belasan netizen yang lain. 

"Kasi tunjuk muka, baru dia tahu!" 

"Orang makan gaji buta macam ini tak payahlah censored muka dia!"

Selama ini saya hanya membaca sahaja kisah pesakit/keluarga mengaibkan hospital atau kakitangan perubatan. Tetapi kali ini, apabila ia benar-benar berlaku pada hospital tempat saya bertugas, rasa agak terkilan di hati. Lebih-lebih lagi jururawat yang diabikan itu saya kenal secara peribadi. Dialah yang banyak mengajar saya ketika mula bekerja di sana. 

Dia tunjukkan kepada saya di mana letaknya peralatan, membantu saya ketika menjalankan prosedur. Bukan tidak pernah, saya bekerja bersama-sama dengannya di syif malam. Meninggalkan anak-anak yang masih kecil untuk berkhidmat menjaga pesakit-pesakit di hospital. 

"Engkau kan selalu menulis di Facebook, apa pendapat kau dengan orang ini yang membuat post seperti ini terhadap Kak ****** itu?" soal rakan saya tatkala saya masih merenung skrin telefonnya.

"Dia tidak tahu tangan orang yang beliau panggil babi itulah yang menyambut kelahiran anaknya. Misi yang dia panggil babi inilah yang akan menjaga isterinya sepanjang perjuangan melahirkan anak sulungnya. 

"Dia tidak sedar, bahawa ketika dia memanggil kakitangan dengan kata-kata keji sedemikian, ketika itu Allah sedang memandangnya. Allah mendengar penghinaan yang dia hamburkan. Dan di saat getir anaknya mahu dilahirkan, mudah sahaja Allah mewariskan sikap biadab, mulut keji yang dimilik oleh seorang ayah turun ke zurian yang sedang ingin dilahirkan," kata saya. 

Rakan saya hanya sekadar mengangguk. Mungkin dia sendiri dapat merasakan kemarahan dalam nada saya. 

"Kalau betul pun kak ***** ada tersilap cakap terkasar bahasa, dia berhak ditegur. Tetapi bukan diaibkan begini. Diambil gambar, digantikan dengan muka binatang kemudian diviralkan, dijadikan bahan hinaan dan cercaan orang ramai. Itu sudah melampau! Saluran aduan sentiasa ada," kata saya menambah lagi. 

Sebagai seorang yang bekerja di hospital dan juga pernah dimasukkan ke wad di hospital, juga pernah ahli keluarga saya dimasukkan ke wad di hosptail. Saya dapati ada satu 'rahsia', kunci kepada bagimana hendak membawa diri ketika berada di hospital. Jika anda ada kenal sesiapa yang bekerja di hospital, tanyalah mereka, "Betul ke?". Nescaya mereka akan terus bersetuju tanpa khilaf.

Apa rahsia itu? 

"Permudahkanlah urusan orang lain, nescaya Allah akan mempermudahkan urusan anda,"

Hospital adalah tempat yang sangat dekat dengan Allah. Pesakit-pesakitnya sedang diuji dan orang yang sedang diuji ini sangat dekat dengan Allah. Bisikan mereka didengari Allah. Rintihan mereka, penderitaan mereka, Allah Maha Mendengar! Itu yang setiap kali saya bisikkan sepanjang setiap hari berulang alik melakukan rutin yang sama - datang berkhidmat kepada orang yang sakit di hospital. 

Apabila ada pesakit yang sudah sihat dan boleh discaj, adakalanya saya meminta mereka mendoakan saya kerana Allah memakbulkan doa mereka dengan memberi kesembuhan dan saya mahu menumpang mustajabnya doa mereka itu.

Kerana itulah, pada pemerhatian saya, Allah sangat-sangat mempermudahkan urusan hambaNya yang banyak berdoa ketika sakit. 

Ada seorang pesakit yang saya kenal, yang tidak pernah mengabaikan solat sepanjang berada di wad. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan beliau. Merawat beliau, sangat mudah. Allah menjadikan beliau respons dengan baik dan cepat terhadap setiap rawatan yang kami berikan. 


Dan mungkin kerana itulah juga, saya sering perasan, pesakit atau keluarga yang banyak songeh, biadab, tidak bekerjasama dengan balik sering sangat ditakdirkan Allah mendapat komplikasi atau kesukaran bagi kami untuk merawatnya. Saya tidaklah mengatakan ianya fakta atau mempunyai bukti-bukti statistik dan sebagainya. Tetapi ini agaknya apa yang orang selalu kata, magnet diri, law of attraction, positive energy, golden rule of like dan sebagainya. 

Allah Maha Mendengar setiap tutur kata seorang pesakit atau ahli keluarga kepada orang yang sakit. Sama ada yang baiknya atau yang buruknya atau yang doanya atau yang biadabnya. Dan miudah sekali untuk Allah 'bayar cash' melalui cara yang tidak disangka-sangka. 


Dan sungguh, lelaki yang biadab tadi, isterinya mengalami komplikasi dan terpaksa dibedah, Cesarian dan anaknya pula mengalami komplikasi dan dimasukkan ke NICU. - Syamirulah | PIXEL MEDIA 

No comments

Powered by Blogger.