Sanggup Awak Tinggalkan Saya & Anak Demi Betina Itu?


Baru 2 bulan berpisah dengan suami. Sebelum kahwin, saya mengenalinya dari Facebook dan berkawan secara online agak lama juga. Selepas itu, kami berjumpa dan berkawan dalam 7 bulan dan berkahwin.

Suami saya jenis lelaki yang tidak pernah meninggikan suara dan cool orangnya. Sifatnya itu membuatkan saya jatuh hati padanya walaupun dia kerja biasa-biasa sahaja. Sedangkan saya kerja kerajaan dengan jawatan yang agak tinggi. Sepanjang 3 tahun perkahwinan, kami dikurniakan seorang anak perempuan.

Jadi, nak dijadikan ceritanya ibu mertua saya berkahwin dengan duda anak 5 pada tahun lepas. Saya perasan suami kerap balik lewat sejak 3 ke 4 bulan yang lalu. Katanya ada banyak kerja dan saya percaya pada dia. Kadang-kadang kalau balik lewat, dia tak masuk bilik tetapi tidur di sofa. Ada juga tak balik sampai ke pagi. Saya dah mula rasa lain macam. 

Satu malam itu, saya sudah hilang sabar dengan dia yang kerap tak balik. Saya mesej, tak dibalas, telefon, tak dijawab. Malam itu saya terasa sangat bengang sampai saya mesej dia.

"Kalau betul abang ada perempuan lain, saya berdoa pada Allah agar Allah tunjukkan sendiri di depan mata saya,"

Namun, tidak juga dibalas sebaliknya hanya 'seen' sahaja. 

Malam itu, jam 4 pagi saya memberanikan diri keluar dari rumah membawa anak untuk mencari dia.

"Saya keluar bawa anak cari abang," 

"Baliklah, jumpa saya di rumah," kata suami yang juga berkongsi gambar yang dia tengah makan dengan adik perempuan dia, adik perempuan tiri dan kawan-kawan mereka. 

Saya marah sebab dia sanggup lepak malam-malam buta dengan budak-budak itu sedangkan anak isteri di rumah. Tak apa, saya sabar dan saya pun balik. Saya tunggu di rumah, dia tak juga muncul. Saya ambil keputusan untuk keluar semula.

Kebetulan saya saja melalui rumah lama ibu mertua (ibu mertua sekarang tinggal di rumah suami). Saya nampak kereta suami! Saya masuk rumah itu dan saya nampak kasut dia dan satu bilik berkunci. Saya ketuk pintu bilik tetapi tiada yang jawab. Saya yakin ada orang di dalamnya sebab saya dengar bunyi kipas. Saya telefon mak mertua dan suruh dia datang.

Tidak lama selepas itu, saya terdengar ada orang terjun dari balkoni tetapi pintu bilik masih tak terbuka. Saya terus turun sebab risaukan anak dalam kereta tengah tidur. 

Tak lama kemudian, ibu mertua dan suaminya datang. Kami bersama-sama menendang pintu billik itu dan saya sangat terkejut sebab adik tiri saya berada di dalam bilik itu. 

Semasa ibu mertua menendang pintu bilik itu, dia panggil nama anak tiri dia sebab dia sendiri syak suami saya ada hubungan dengan anak tiri dia. Jadi selama ini ibu mertua memang tahu tentang hal ini tetapi tidak pernah memaklumkan kepada saya. 

"Selama ini, diorang memang rapat tapi tak sangka sampai jadi macam ini," kata ibu mertua. 

Ya Allah, rasa nak pitam dengan kata-kata ibu mertua. Terasa hati ini kecewa tak terkata. 

Tiba-tiba suami muncul dari belakang rumah (rumah abang dia). Katanya dia tidur di rumah abangnya tetapi saya tidak percaya sebab kasut dan kereta dia ada di rumah ibu mertua. 

Sejak dari itu, saya cuba selidik. Rupa-rupanya selama ini dia kerap balik lewat sebab pergi ke kelab malam dengan adik perempuan dia, adik tiri dan kawan-kawan adik dia. Dia juga mengaku ada minum arak dan ada hubungan sulit dengan adik tirinya. 

Allah, terkedu saya.

"Apa salah saya pada abang? Saya tak pernah curang, tak pernah terfikir pun sebab saya sayangkan keluarga kita. Tetapi abang semudah itu menghancurkan semua yang kita bina," 

Baru-baru ini pun saya mendapat tahu yang suami dan adik perempuan dia juga pernah terlanjur. Tetapi saya tidak pasti kesahihan perkara ini kerana tiada bukti. Tetapi semua ini tidak mustahil sebab suami dengan adik tiri pun boleh terlanjur. Adik dia pun selama ini bersubahat dengan suami, sama-sama pergi kelab dan adik ipar tahu suami dan adik tirinya ada skandal tetapi tidak pernah cakap langsung dengan saya. 

Kini kami sudah pun bercerai, suami langsung tak pernah ambil tahu perihal saya dan anak. Bukan sahaja suami, malah keluarga mertua juga langsung tidak ambil peduli. Ibu mertua tiba-tiba saja tak nak mengaku yang anaknya dengan anak tirinya ada skandal. Yea, saya faham, ibu mana yang mahu mengaku kan? Tetapi sebagai nenek, sanggup abaikan cucu darah daging sendiri.

Kepada bekas suami, sanggup awak ceraikan saya walaupun awak yang bersalah dalam hal ini. Sanggup awak tinggalkan saya disebabkan betina itu. Saya doakan hati awak terbuka untuk jalankan tanggungjawab awak kepada anak. JAngan suatu hari nanti awak menyesal sebab anak dah tak kenal awak. Sekarang awak gembira, tak apa, Allah maha adil. - KRT | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.