'Saya Tidak Akan Minta Maaf' - Yazid


KUALA LUMPUR - Yazid, pemain dram Search menegaskan bahawa dia tidak akan meminta maaf kepada kumpulan berkenaan kerana tindakan itu dianggap tidak relevan. 

"Saya tidak rasa ia satu tindakan yang relevan. Dalam laporan polis yang dibuat sebelum ini, saya langsung tidak memburukkan nama dia (Amy), apa lagi mencemarkan reputasi dan sekolah tahfiznya," katanya dalam sidang media di Hotel GTower hari ini yang turut dihadiri oleh isteri dan peguamnya. 

Yazid berkata, dia akan ke balai polis sekali lagi untuk membuat laporan tambahan kepada aduan asal yang dibuat pada 4 Mei lalu. 

"Laporan pecah amanah akan tetap diteruskan petang ini. Saya ingin mengajar Search cara menghormati. Sekiranya dia memohon waran tangkap dikeluarkan, saya sudah bersedia," katanya. 

Jelas Yazid lagi, dia sendiri keliru, apakah kesalahan yang dilakukannya terhadap Search. Sedangkan di peringkat awal MoU antara Search dan penaja konsert mereka, Afjets Sdn Bhd, ada lima nama dimasukkan. Namun ia kemudian menjadi empat sahaja selepas 'ada pihak' mencadangkan agar namanya dikeluarkan. 

Mengenai bayaran daripada Afjetz, Yazid gembira kerana menyangka ia adalah ganjaran peringkat pertama untuknya kerana terbabit dalam konsert 35 Tahun Search. Bagaimanapun hanya mengetahui bahawa ia adalah bayaran kedua kerana bayaran pertama telah dibuat tanpa pengetahuannya. 

"Saya juga baru mengetahui ahli Search yang lain menerima bayaran pertama pada 25 Disember lalu, jadi mana bahagian saya?" soalnya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Afjets, Amrul Nizar Anuar berkata, pada MoU asal memang ada lima nama, tetapi nama Yazid dikeluarkan ketika dokumen akhir diserahkan semula kepadanya. 

"25 Disember lalu, bayaran pertama sebanyak RM75,000 telah dijelaskan dan saya difahamkan oleh Search ketika itu, wang berkenaan akan dibahagi sama rata kepada kelima-lima ahli. 

"Bagaimanapun selepas itu saya mendapat tahu Yazid belum menerima sebarang bayaran. Disebabkan hal itu, saya mengeluarkan RM10,000 untuk setiap ahli dan kali ini ia diberikan melalui cek setiap satu bagi mengelak timbul salah faham," katanya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.