'Tak Gemar Staff Bekerja Lebih Masa, Buat Saya Rasa Sedih'


Banyak kali saya mendengar rungutan staf-staf terutamanya di peringkat eksekutif, di mana bos besar mahukan mereka bekerja lebih masa agar dapat menunjukkan kita benar-benar komited dengan kerja. 

Bagi sebahagian bos, mereka suka kakitanganya yang balik kerja lewat malam dan menjadikan dirinya sebagai contoh dengan balik kerja seawal jam 10 malam atau 11 malam setiap hari. 

Bukan semua kepimpinan melalui teladan dapat ditiru atau diikuti oleh kakitangan yang menerima arahan. Ini kerana, banyak aspek yang perlu diambil kira. 

Bos besar seperti CEO, biasanya tidak merasa tertekan sewaktu berada di pejabat berbanding kakitangan biasa kerana kakitangan biasa kebanyakan masanya menerima arahan. Manakala bos secara 90% adalah memberi arahan. 

Saya pernah berada di kedua-dua jawatan itu. Apabila menjadi satf, tahap tekanan kita banyak dari segi kita tidak boleh berbuat apa yang kita suka terutamanya di waktu pejabat. Manakala sebagai bos besar pula, bebas. 

Kebanyakan bos besar mempunyai anak-anak yang sudah dewasa sama ada sudah berdikari ataupun sudah tidak lagi tinggal bersama dengannya. Balik jam berapa pun tidak memberi banyak erti kepada kehidupan keluarganya kerana hanya ada isteri ataupun suami di rumah. 

Bagi kakitangan biasa, anak-anak yang masih kecil memerlukan banyak tumpuan dan juga kasih sayang sepanjang masa. Mereka tidak dapat menunaikan sebahagian tanggungjawab sebagai ibu bapa kerana bekerja. Oleh itu, mereka mahu balik seawal yang mungkin untuk menguruskan hal rumah tanggan dan juga anak-anak mereka termasuk mendampingi dan berbicara dengan anak-anak. 

Saya cukup suka dengan beberapa CEO di tempat lama saya bekerja dahulu kerana mereka sangat mementingkan waktu kakitangan bersama dengan keluarga. 

Di pejabat saya dulu sewaktu bertugas dengan Tuan Yim Choong Chow, saya tidak dibenarkan berada di pejabat walaupun 5 minit selewat waktu bekerja tamat. Bagi beliau, itu tanda kakitangan yang tidak berkualiti dan tidak cekap. Beliau juga amat mementingkan waktu kakitangannya bersama keluarga masing-masing.

Lain kepimpinan, lain pula carnaya. Saya secara peribadinya tidak gemar apabila melihat kakitangan terpaksa bekerja lebih masa kerana ianya secara peribadi membuatkan saya bersedih. Kerana mereka tidak dapat kebebasan di dalam kehidupan mengikut ajaran Islam yang saya pelajari. 

Beri ruang agar kakitangan kita dapat masak makanan malam ataupun pergi ke surau di sebelah malam bagi meningkatkan lagi prestasi ketakwaannya kepada Allah. Rumah-rumah Allah itu menanti hambaNya datang bersolat berjemaah dan mengimarahkannya. Lain sekolah lain pula ajarannya. Hormati perbezaan. - Shamsuddin Kadir | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.