'Takde Class Beli Honda City, Duduk Rumah Flat?'


Kalau mampu beli rumah sekarang, kenapa perlu nak tangguh, kan? 

Yang masalahnya ialah, kebanyakan kita bukan tidak mampu, tetapi tidak tahu. Pelik sangat bila ramai anak muda boleh bersiar-siar dengan kereta mahal-mahal yang berharga lebih daripada gaji tahunan, tetapi masih belum memiliki rumah.

Okay, saya faham bahawa kereta adalah keperluan bagi kebanyakan kita. Tetapi untuk lebih jelas, kereta mahal adalah kehendak, bukannya keperluan. 

Kereta keperluan, harganya mestilah tidak lebih daripada gaji tahunan kita. Jika kita bergaji RM2,500, harga kereta mestilah tidak lebih dari RM2,500 x 12 = RM30,000. 

Lebih murah adalah lebih bagus sebenarnya. Lagi menyedihkan adalah kalau kita beli kereta mahal tetapi kita pergi kerja naik LRT sahaja. Sedih sangat sebab kena bayar kereta untuk sebulan tetapi pakai di hujung minggu sahaja.

Cuba tengok trend kereta anak muda sekarang mengikut range gaji. Kalau gaji RM1,000-RM2,0000, biasanya akan beli kereta Perodua Myvi SE atau Advance. Kalau gaji RM2,000-RM3,000 pula, teringin beli Honda City atau Toyota Vios. 

TAK MAMPU BELI RUMAH?

Ironinya, beli kereta mahal mampu pula. Tanamkan dalam fikiran anda bahawa dengan gaji kerja pertama itu, kalau anda beli kereta mahal dulu, susah nak beli rumah nanti. Tetapi kalau anda beli rumah dulu, mudah saja nak membeli kereta nanti. 

Perkara ini sangat subjektif, belajar cara kira Debt Service Ratio (DSR), anda akan lebih faham. 

Saya beri contoh anak muda bergaji RM2,500. Kalau tidak sama dengan gaji anda, pandai-pandailah ubah angka tersebut., 

DSR adalah nisbah hutang yang dibenarkan oleh pihak bank untuk kita. Dengan gaji RM2,500 itu, secara umum bank boleh beri maksimum 50% untuk memohon pembiayaan perumahan. Lain bank, lain cara kiraan DSRnya. 

RM2,500 x 50% = RM1,250 komitmen bulanan yang dibenarkan oleh pihak bank untuk meluluskan pembiayaan perumahan.

BELI KERETA DAHULU

Gaji bersih: RM2,500
Komitmen kereta: RM800

Baki komitmen bulanan yang dibenarkan oleh pihak bank ialah,

RM1,250 - RM800 = RM450

Dengan RM450, bank boleh beri pembiayaan perumahan sebanyak RM90,000 sahaja. Bolehlah dapat rumah flat busuk dengan harga begitu. 

Namun difikiran pula berkata,

"Tak ada kelas kereta Honda City duduk di rumah flat," 

Biasanya mereka tidak akan membeli flat itu sebab tidak menepati ciri-ciri rumah idaman. Haha! 

BELI RUMAH DULU

Gaji bersih: RM2,500
Komitmen rumah 1: RM800
Pendapatan Sewa Rumah 1: RM1,000
Komitmen rumah 2: RM800
Pendapatan sewa rumah 2: RM1,300

Bank boleh beri maksimum komitmen RM1,250 kan? Kalau komitmen rumah RM800 sebulan, senang sahaja bank nak luluskan. 

Rumah ada tiga bilik, kita duduk di bilik yang paling kecil. Bilik medium dan master disewakan per kepala. Letakkan perabot dan internet juga. Pasti ramai yang berpusu-pusu mahu menyewa dengan anda. 

Bilik medium, masukkan dua orang, manakala bilik master sumbat 3 orang. Setiap seorang perlu membayar RM200 setiap bulan. Hujung bulan dapatlah RM1,000 kan? 

Dapat duduk bilik percuma wei! Tak payah cari bilik sewa dah. Aliran tunai daripada rumah pertama adalah RM200 setiap bulan. Sewakan selama 6 bulan agar pendapatan sewaan itu boleh dijadikan bukti kepada pihak bank. 

Beli rumah kedua dengan pembiayaan RM800 juga. Kali ini anda akan mendapat aliran tunai sebanyak RM500 pula. 

Rumah kedua, bilik ada tiga. Bilik master 3 orang, bilik medium 2 orang dengan bayaran RM200 seorang. Bilik kecil disewakan RM300 untuk seorang duduk. 

RM200 x 5 + RM300 = RM1,300

Jangan lupa letak perabot dan internet sekali seperti rumah pertama. Ini kerana internet adalah keperluan asas. Jika tiada internet, macam mana nak tahu perkembangan terkini di media sosial?

Secara kasar, aliran tunai sewaan kedua-dua rumah anda ialah,

(RM1,300 + RM1,000) - (RM800 + RM800) = RM700.

Dengan RM700 boleh beli kereta apa ye? Masuklah showroom Honda atau Toyota, belilah kereta yang akan dibayar oleh penyewa rumah anda. Kapitalis? Bukan, anda bukan kapitalis, anda cuma seorang yang bijak. 

DAH RASA MAMPU BELI RUMAH?

Sebelum dikecam oleh orang-orang negatif, saya nak sebut siap-siap yang posting saya ini memang tidak lengkap. Tiada cerita cara nak mendapatkan deposit, beli rumah dengan modal minima, cara memilih rumah yang sesuai, risiko pelaburan hartanah dan lain-lain.

Orang yang negatif akan selalu mencari kesalahan orang. Orang yang berinisiatif akan menekan Follow dan membaca posting-posting saya yang terdahulu. Itupun jika mereka rajin berbuat demikian. 

Jadi, dah rasa lebih yakin mahu membel irumah? Bila sudah tahu, mesti rasa mampu kan? harapnya begitulah ya. Kalau tidak, rasa macam sia-sia saja taip panjang-panjang di pagi Ahad ini. Sudahlah jarang orang nak share info-info berguna seperti ini. - Harith Faisal | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.