Tiada Lesen Memandu, Pesalah Terus Didakwa Di Mahkamah


KUALA LUMPUR - Pengguna jalan raya yang ditahan tanpa lesen memandu tidak akan dikenakan saman/kompaun lagi. Sebaliknya mereka akan terus dibawa ke mahkamah untuk dakwaan di atas kesalahan yang dilakukan. 

Peraturan baru yang dikuatkuasakan sejak pertengahan April lalu, beribu-ribu pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen telah dipanggil ke mahkamah untuk tindakan undang-undang, lapor The Star.

Tindakan drastik itu diambil berikutan peningkatan kes memandu dan menunggang tanpa lesen  sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Seramai 630,000 pemandu kereta dan penunggang motosikal telah disaman kerana tidak mempunyai lesen memandu. Kesalahan itu juga adalah antara punca utama yang menyebabkan kemalangan yang direkodkan setiap tahun.

Di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan, mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. 

Pesalah juga berdepan dengan dakwaan di bawah Seksyen 90 dalam akta yang sama kerana memandu tanpa sebarang perlindungan insurans yang membawa kepada hukuman denda sehingga RM2,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali. 

Ketua Polis Trafik Persekutuan, SAC Mahamad Akhir Darus berkata, keputusan melaksanakan peraturan baru itu dibuat bagi mendidik pengguna tentang bahayanya memandu tanpa lesen memandu. 

"Pemandu kereta atau penunggang motosikal tanpa lesen ini tidak pernah melalui latihan atau ujian formal. Mereka mungkin tidak tahu tentang undang-undang jalan raya, papan tanda atau cara pemanduan yang berhemah. 

"Ia bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya yang lain, juga membahayakan nyawa mereka sendiri. Perlaksanaan peraturan ini bukan untuk membebankan mereka atau mengaut keuntungan. Ia adalah bertujuan untuk mendidik mereka," katanya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.