'Anak Selalu Buat Perangai, Bila Dipukul, Kita Rasa Sedih Pula...'


Semalam, balik dari MRSM Kuala Terengganu setelah selesai ceramah seharian. Sampai di Kuala Lumpur, terjumpa sepasang suami isteri. 

"Kami ada 3 orang anak. Tetapi yang sulung benar-benar menguji kesabaran kami. Dia sentiasa buat kami rasa nak marah. Dia suka mengusik adik-adiknya dan buat perangai macam-macam. Bila dia semakin menjadi-jadi, membuatkan kami hilang sabar. 

"Malah, atuk dan nenek yang tolong menjaga mereka pun rasa begitu juga. Sekarang, dia sudah pandai berbohong pula ustaz. Ya Allah. 

"Kami dah puas tegur, nasihat, marah dan kadang-kadang cuti sebab terlalu geram. Kenapa anak sulung macam itu ye ustaz? Kadang-kadang bila terpukul dia, rasa sedih pula selepas itu. Sakit rasanya," katanya. 

Sebenarnya, bukan abang saja yang menghadapi masalah seperti itu. Tetapi ramai orang diuji dengan anak pertama. Kadang-kadang yang kedua atau yang ketiga. 

Tuan puan orang yang baik, Allah sayang. Ingat lagi tak nikmat masa mula-mula dpat anak? Saya masih ingat, dari mula-mula tahu isteri hamil, saya sujud syukur, menangis kerana tidak menyangka dah nak menjadi ayah. 

Satu hari ketika isteri saya sedang jalan di pasar raya, dia terpaksa dimasukkan ke hospital kerana nak bersalin. Malam itu, isteri saya menangis dan berdoa. Bila sakit semakin kuat, kami pegang tangan dan bersama-sama baca doa, macam-macam zikir. Saya tak lepaskan tangan isteri saya. Saya telefon mak ayah saya dan mertua dan adik beradik minta mereka doakan isteri saya. 

Bila dah nak keluar, punyalah saya tak tahan tengok kesakitannya. Doktor kata kena cepat teran keluar, takut bayi lemas. Ada seorang jururawat lama datang tolong tekan dari atas. Bila bayi keluar, bayi senyap, rasa melihat wajah bayi pada masa itu satu perasaan seperti ternampak cahaya putih. Terasa gembira teramat sangat dan datang rasa sayang yang amat mendalam. Hanya Allah yang beri rasa dan nikmat itu. 

Bayi keluar senyap saja. Isteri saya dah menangis. Doktor segera memanggil  seorang lagi doktor pakar kanak-kanak. 

"Abang, kenapa anak kita tak menangis?" 

"Allah ada," sambil mengusap kepala isteri. 

Saya pandang isteri saya menangis sehinggalah terdengar tangisan bayi. Bila isteri dapat peluk bayi, menjadi penawar segala kesakitan dan urat yang terputus. 

Hari-hari melihat anak tadi membesar. Kita suami isteri amat mencintainya. Sehinggalah satu hari bila dia mendapat adik dan tambah lagi adik. Dia buat macam-macam kerana inginkan perhatian. Kita sebagai mak ayah kadang-kadang marah anak sulung di depan adik-adik. Setiap kali tengah kita sibuk, dengar anak menangis. Kita jerit, "Kakak! Ya Allah, kakak jangan buat adik," atau "Abang mengalah jangan buat adik," 

Dengar barang jatuh semua, kita salahkan abang atau yang sulung. 

Sebenarnya kita tidak boleh marah abang atau kakak di depan adik beradiknya yang lain. Tak boleh marah suami atau isteri di depan anak-anak. Kita kena bercakap dengan mereka secara berdua kecuali kalau kita mahu menegur semua. Jika kita asyik memarahi si kakak, si kakak akan menjadi benci pada adik. 

"Sebab adik, kakak kena marah!" 

Adik pula sudah terbiasa mengada-ngada di depan mak ayah. Setiap kali salah dia, abang atau kakak yang akan dipersalahkan. 

Semua orang, saudara mara pun selalu marah dia sehingga dia rasa yang diri dia seperti anak tiri yang selalu dimarahi. Kita pun terfikir  sebab kita marah dia dia jadi begini atau sebab mereka kita semakin marah. Tetapi bila fikir semula, mereka cuma anak-anak kain putih. Kitalah yang mencorakkannya. 

Kadang-kadang sedih bila melihat bila kita mendapat anak yang lain tanpa niat dan sedar kita telah buat anak kita sedih dan menjauh diri. Saya pernah terjumpa dengan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun meminta saya mendoakan dia agar dapat masuk ke sekolah asrama penuh agar mak dan ayahnya boleh jaga dan sayang adik-beradiknya yang lain. Dia tidak mahu menyusahkan mak. 

Hargailah setiap anak-anak kita, sayangilah mereka, bantulah mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Siapa tahu anak paling aktif dan kuat mengacau adik beradik esok bakal Islamkan dunia. Siapa tahu anak yang asyik membuat kita rasa marah, esok bakal Da'e besar. 

Tugas kita berusaha dan berdoa. Pasti benih iman dalam hati anak kita diberi oleh Allah. Bukan kita pilih siapa anak kita tetapi Allah pilih mereka untuk kenal Allah kerana mereka bakal mengubah dunia dan meninggalkan sejarah dan dikenali di langit. 

Berikan masa untuk mereka. Anak kecil sehingga 7 tahun perlu dididik dan dibimbing sambil bergurau. Sayangilah mereka, cium dan peluk mereka. Rumah adalah syurga kit di dunia ini. Syurga isteri dan anak-anak kita. 

Suami dan isteri perlu sama-sama saling membantu. Jika isteri sibuk menjaga bayi, kita sebagai suami tolonglah jaga kakak atau abang. Bila nampak mereka sedih atau jauh hati, anak kena marah dengan ibunya, sebagai ayah terangkanlah pada anak bahawa ibu sebenarnya sayang pada mereka. Ceritakanlah dari hari pertama kita mendapat mereka. Cerita saat-saat manis mereka dan cakap ibu tegur begitu begini sebab sayang. 

Kuncinya, beri masa dengan sabar, sayang dan doa. Hidupkan dalam rumah Majlis Talim. AlQuran dan Hadis Nabi saw. Anak kecil pun bawa sama. InshaAllah rumah diliputi rahmat. Malaikat memenuhi rumah kita. Sakinah ketenangan dan bahagia dalam hati kita suami isteri dan anak-anak. 

Tiada anak yang dilahirkan jahat. Mereka kain putih, kita sebagai ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Anak yang aktif bakal menjadi Da'i besar, Anak yang banyak menangis bakal manusia yang ada hati dan perasaan. Kita, bila last gaduh dengan adik beradik? Inikan pula anak-anak kita? Sayangilah mereka. 

Mereka suami isteri menangis. 

"Ya betullah ustaz, kita terlupa bila saat kita diuji. InshaAllah ustaz, kami akan amalkan rasa bersyukur dan hidupkan rumah dengan Ta'lim. Ada buat tetapi jarang sangat. InshaAllah selepas ini mula istiqamah setiap hari," kata mereka suami isteri menangis. - Ebit Lew | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.