'Isteri Selalu Marah Anak-Anak, Buat Saya Terasa Nak Lari Dari Rumah'


Seorang suami meminta nasihat mengenai isterinya yang asyik marah pada anak-anak. 

"Anak saya tiga orang ustaz. Isteri asyik marah dan menjerti pada anak-anak. Terasa kasihan pada anak-anak. Terasa tiada hari anak-anak tak kena marah. Kadang-kadang saya tengok isteri saya sayang yang kecil sahaja. Kakak sulung asyik kena marah, semua salah kakak sulung. Saya takut anak menjadi trauma. 

"Dia kalau menjerit atau marah, saya rasa nak lari dari rumah. Kalau saya cuba mempertahankan anak saya, dengan saya-saya yang akan menjadi mangsa amarahnya," katanya. 

Abang nak tahu tak, Allah sayangkan abang? Bila saya dengar ketua keluarga bertanya soalan begini, tandanya dia seorang yang baik dan bertanggungjawab. Sebenarnya wanita yang selalu tanya masalah suka mencubit dan memarahi anak-anak mereka. Bila saya dengar, saya terus bertanya apakah mereka pernah berbincang dengan suami? Itu antara punca utama. 

Bukan nak menyalahkan sesiapa tetapi wanita yang selalu marah-marah anak dan gagal mengawal emosinya kerana dia dahagakan perhatian dan cinta dari suami. Dia rindukan suaminya. Dia ingin suaminya bersama. Isteri kita, wanita yang Allah jadikan sensitif, jiwa mereka lembut. Mereka dahagakan kasih sayang dan mahu bersama-sama dalam menguruskan segala urusan rumah tangga. 

Wanita, bila kita sudah berjaya menawan hati mereka, semuanya akan menjadi superb termasuklah layanan dan kasih sayang yang diberikan suami, anak-anak akan bertambah berjuta-juta kali ganda. Tetapi bila hati mereka terluka dan sakit, semuanya berubah sekelip mata. 

Kita perlu sedar bahawa isteri bukan bibik atau orang gaji kita. Mereka adalah wanita yang kita nikahi. Maksudnya, mereka ingin kita mencintai, menyayangi, membimbingnya dan dia pula membantu kita sehingga ke syurga Allah. Isteri bukan milik kita tetapi amanah dari Allah. 

Sebab itulah ulama berkata, pintu agama sesebuah keluarga ialah bapa. Pintu agama buat anak-anak ialah ibu mereka. Jika kita membimbing isteri kita dengan Islam, cinta dan kasih sayang, inshaAllah isteri kita akan membimbing anak-anak kita dengan cara yang sama.

Peluklah dan sayangilah isteri. Lihatlah, mereka akan peluk dan curahkan kasih sayang pada anak-anak kita. Bila sampai rumah, sunnah beri salam dan peluk atau cium ahli keluarga. Anak-anak dahagakan pelukan dan ucapan sayang. Ibu dan anak yakni isteri kita yang penat sepanjang hari itu lebih dahagakan ciuman, pelukan dan ucapan sayang dari suaminya. Begitu juga dengan kita mahu layanan yang sama.

Begitulah juga seorang ibu melayan anak-anaknya dengan cinta dan kasih sayang. Begitulah kakaknya pula akan menyayangi adiknya. Esok, adiknya pula akan menyayangi kakak, ibu dan bapanya. Esok bila mati, mereka tidak berebut harta tetapi berebut nak memberi syurga paling tinggi buat ibu dan ayah. Cinta adalah pendidikan yang utama pada keluarga selepas iman. 

Suami isteri yang saling bantu membantu, menghargai dan menyintai antara satu sama lain akan membuatkan anak-anak juga mahu mencontohi mereka. Jangan pernah bergaduh di depan anak-anak, kelak mereka akan menjadi tertekan dan hipokrit. Jangan paksa anak memilih antara kedua ibubapanya. Dalam kata lain, satu bas tetapi ada dua pemandu dan dua arah tujuan. Oleh itu, biarlah tidur bersama dan mimpi pun sama. 

Bila isteri marah anak, jangan lawan atau marah isteri di depan anak. Bila isteri marah, kita bantu apa yang patut. Mungkin pada masa itu dia tengah menyusukan anak, dua beradik yang lain lagi sedang bergaduh dan jatuhkan air atau makanan. Suami tolonglah kutip makanan yang jatuh dan bersihkan dan tolong jaga dua beradik tadi. 

Biasa mereka marah ketika mereka sedang memasak di dapur seorang diri. suami pula menonton televisyen atau leka dengan handphone. Anak-anak pula tidak dikawal dan dibiarkan menyepahkan rumah sehingga ada yang mengacau ibu mereka di dapur. 

Golongan isterilah yang perlu mengunci jam penggera, sedia dan hidangkan makanan untuk sahur, tukang kejut suami dan anak-anak, kemas pinggan dan dapur. Bila mereka lambat, tak mengemas, tak bangun sahur kerana penat, dimarah pula oleh suami atau anak-anak. Mereka bukan marah anak sebenarnya. 

Sama juga seperti anak-anak. Mereka buat hal, bergaduh, tak nak pergi sekolah sebab mereka sebenarnya dahagakan perhatian ibu bapa. Lagi mereka kena marah, lagilah mereka berusaha untuk menarik perhatian ibu bapa.

Sebab itu ramai isteri yang dahulunya baik dan lemah lembut, bila suami buat hal dan ada perempuan lain, dia maafkan tetapi tidak dapat melupakan perbuatan suami lalu mereka berubah. Mereka terus menjadi pemarah, kuat mengamuk dan bermasam muka. Mula minta macam-macam, cemburu lain macam, berprasangka macam-macam sebab hati mereka sudah terluka. 

Ubatnya? Kita sebagai ketua keluarga hidupkanlah amalan ta'lim dalam rumah. Pergi dating berdua, berjuang di jalan Allah. Cuba bawa isteri tiga hari belajar iman, berada di jalan Alllah, pergi umrah, ziarah kaabah, ziarah Rasulullah saw, solat malam bersama-sama. Bersyukur kunci segalanya, sentiasa bersabar dan lihat orang yang lebih susah dari kita. 

Ya Allah sayangilah isteri kami yang tercinta. Kami maafkan segala salah silap mereka semua kepada kami. Kerana semua ini salah kami sebagai suami kerana belum menjadi suami yang baik. Maafkan kami kerana belum menjadi yang baik. - Ebit Lew | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.