Najib Sindir Mahathir, Gagal Sediakan Pengangkutan Awam Yang Mapan


SUBANG JAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad, gagal menyediakan pengangkutan awam yang mapan di era pentadbirannya selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri. 

Berucap di Majlis Perasmian Projek Penyambungan Jajaran Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling di Terminal LRT Putra Heights, semalam, Najib berkata keadaan pengangkutan awam yang bermasalah kerana pemimpin terdahulu itu tidak menekankan pembangunan faktor mangkin ini. 

"Bila saya ambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009, kita lihat bahawa salah satu cabaran kita pada masa itu, salah satu kelompongan yang berlaku dalam negara kita adalah masalah pengangkutan awam. 

"Ini kerana pemerintah sebelum ini yang memerintah selama 22 tahun tidak mengambil banyak perhatian dalam pembangunan pengangkutan awam dan menyebab berlakunya kelompongan, berlakunya kurang pelaburan, berlakunya sistem yang tidak bersepadu dan dimiliki oleh terlalu ramai pihak," katanya yang dipetik dari laporan Free Malaysia Today

"Hari ini, kita semua menjadi saksi bahawa kerajaan yang sama telah berjaya melaksanakan projek ini yang menelan belanja RM8 bilion. Ini merupakan satu inisiatif menyepadukan perkhidmatan awam dan nadi pada pertumbuhan ekonomi negara," katanya lagi. 

Tun Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri dari 1981 sehingga 2003. Di bawah Dr Mahathir, Najib pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan (1986-1990), Menteri Pertahanan (1991-1995) dan Menteri Pendidikan (1995-2000). - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.