'Saya Rela Didera Suami Demi Masa Depan Anak'


KUALA LUMPUR - Rumah tangga yang dibina sejak 13 tahun lalu, bagaikan neraka bagi seorang isteri yang kerap dipukul oleh suami yang panas baran. 

Anis, ibu kepada tiga orang anak, bagaimanapun tidak melaporkan kejadian yang menimpanya kepada polis kerana bimbang mereka kehilangan tempat bergantung. 

"Kalau saya buat laporan polis, suami akan ditangkap dan dipenjarakan. Apa yang akan terjadi pada tiga anak kami yang masih bersekolah? Siapa yang akan bayar sewa rumah dan tanggung makan minum kami?

"Walaupun dia bertanggungjawab dari segi nafkah wang, namun sifat panas barannya sukar dikikis," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 

Anis yang berusia 30 tahun itu mendedahkan dia pernah dipukul sehingga lebam dan benjol di kepala hanya kerana lambat membuka pintu rumah. 

Namun, Anis lebih rela menanggung kesengsaraan itu daripada membiarkan anak-anaknya kelaparan akibat diabaikan nafkah. 

"Dia mudah melenting dan naik angin bila ditegur. Kadang-kadang lambat menghidangkan makanan boleh menyebabkan pinggan terbang ke muka.

"Malah saya dilempang jika anak-anak bergaduh. Saya dituduh tidak pandai mengawal anak. Saya pernah berhasrat membuat laporan polis tetapi bimbang keadaan bertambah parah selain memikirkan masa depan anak," katanya. 

Oleh kerana tiada tempat lain untuk bergantung hidup, Anis sanggup membiarkan dirinya terus menerus didera oleh suami yang bekerja sebagai pemandu treler. 

"Saya kini hanya mampu bersabar selagi terdaya walaupun didera secara fizikal dan emosi. Saya juga bimbang jika dia menceraikan saya. Siapa yang akan menyara anak, apatah lagi saya tidak punya saudara mara yang boleh diharap. 

"Walaupun sakit hati dan tertekan kerana sering dipukul dan ditengking, namun saya tetap tidak melawan. Selagi terdaya bersabar, saya bersabar," katanya. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.