Sayu, Demi Maruah Keluarga Terpaksa Tinggalkan Bayi Sendiri


Semua ibu sayangkan anak. Tetapi jika suatu hari nanti anak bertanya,

"Ibu, kenapa ibu beri Zulaikha kepada mama?" 

Agak-agaknya, apa jawapan yang hendak diberikan kepada si anak itu? 

Sebab itu, setelah melalui pengalaman memelihara, menjaga, melihat betapa payahnya ibu-ibu mengandung tanpa orang tersayang di sisi mereka untuk bermanja, meluah rasa, mereka menjadi orang yang memendam rasa. Apabila sunyi mereka bicara berdua dengan anak dalam kandungan. 

Bicara-bicara sayu mengetar jiwa raga, kedengaran apabila malam menjelma. Waktu siang kita boleh lihat bicara mata mereka yang kerinduan pada keluarga dan orang-orang disayang. Apakan daya mereka tidak berupaya. Bukan semua yang memahami keadaan dan kehendak mereka yang bersusah payah serta sukar membawa perut ke sana sini. 

Keadaan ini membuatkan mereka sayang pada anak dalam kandungan. Tujuan keluarga menghantar mereka ke rumah perlindungan agar mereka dibimbing untuk bertaubat dan berubah. Tetapi lain pula yang mereka rasa. Dalam keadaan sukar, payah mereka sendirian, jauh dari keluarga dan ini membuatkan mereka rasa terbuang. Tujuan keluarga adalah agar mereka insaf, serik dan berubah serta tidak lagi terjebak atau tersasar oleh hasutan syaitan iblis. 

Dan apabila mula sakit, ada tanda nak beranak, naluri dan fitrah mahu orang disayang berada di samping mereka. Betapa azab emosi dan rasa yang mereka lalui. Sebaik anak dilahirkan, anak diletakkan di ada mereka, fitrah semulajadi Allah hadirkan kasih sayang kepada anak. Mereka ingin berkongsi kegembiraan selamat melahirkan anak dengan orang disayang. Namun itu semua hanyalah angan-angan. 

Selepas melahirkan betapa payah dan susah menjaga, menjaga anak yang baru lahir dengan kudrat yang ada. Mereka perlu berusaha sendiri untuk bangun menguruskan diri dan anak. 

Inilah pengalaman dan pelajaran. Sekiranya yang insaf dan sedar, mereka berusaha menjauhkan diri dari maksiat, mencari ilmu dan menjaga amalan agar Allah memandang mereka dengan pandangan keampunan dan menerima taubat mereka. 

Namun, ada yang menerima zuriat dan ada yang menafikan hak nasb. Sekali lagi ibu terpaksa melalui kegetiran emosi, rasa dan jiwa apabila anak itu terpaksa diserahkan kepada keluarga angkat. Kebanyakan ibu bapa menyokong anak itu dipelihara sendiri dengan bantuan keluarga lainnya terutama kakak atau abang. Paling tidak ibu saudara menumpangkan sementara di rumah mereka selepas keluar dari Baitus Solehah. 

Ada juga yang membuat lakonan dengan skrip drama swasta. Sama ada anak pulang dulu atau ibu pulang dulu. Skrip ini direka awal-awal, dengan bercerita kepada saudara mara dan jiran tetangga kononnya mereka ingin mencari anak angkat yang baru dilahirkan. Jadi, apabila bayi dibawa pulang dahulu, dihebahkanlah bahawa mereka sudah mendapat anak angkat. Dibuat kenduri doa selamat dan majlis cukur rambut bagi meraikan kehadiran anak angkat yang masih bayi. 

Ada juga setengah ibu bapa berpindah rumah ke kawasan baru, berjiran baru. Di kawasan rumah baru, jiran belum kenal dan tahu hal-hal keluarga. Jadi, bila dibawa pulang ibu dan bayi, seolah-olah anak itu sudah berkahwin dan pulang berpantang di rumah ibu. Suaminya kerja luar dan tidak sempat menguruskan isteri baru beranak. Lihat betapa payahnya, bukan sahaja diri sendiri tetapi keluarga juga terpaksa berlakon dan berbohong. 

Sedarlah semua, menyelamatkan ummah itu bukan tugas individu. Semua pihak perlu mengambil peranan dengan mengambil berat hal jiran, bertanya khabar, berziarah sekiranya lama tidak kelihatan. 

Sebelum ini, sungguh sayu melihat apabila ibu dan ayah yang datang hanya mahu membawa anak mereka sahaja dan bayi terpaksa ditinggalkan. Sekali lagi anak diuji jiwa raga dan emosi. Antara anak atau emak? Nenek yang datang, usahkan nak memeluk, menyentuh dan tengok pun tidak mahu. Kasihan, bayi itu langsung tidak bersalah, tiada kena mengena dengan dosa ibu ayahnya tetapi tidak mendapat hak untuk dipeluk dan dikasihi dari keluarga kandung.

Petang tadi pun begitu, kerana maruah keluarga lebih utama, ketaatan kepada ibu bapa, bayi yang berusia satu bulan ini terpaksa ditinggalkan di Baitus Solehah. Ketika ibunya mahu berangkat, menciumnya, terbit air di penjuru matanya. Meleleh perlahan-lahan walaupun sedang tidur. 

Bayi ini sedar, dia tidak dibawa pulang bersama ibunya. Maka terputuslah air susu dia dengan ibunya. Sebulan bayi ini dibelai sayang dan kasih oleh ibunya, sepenuhnya penyusuan ibu. Tiba hari ini dia terpaksa dipisahkan. Ibu dibawa pergi oleh nenek pulang ke rumah. Alangkah hiba apabila mengetahui keadaan sebenar. 

Saya pun tidak berupaya menyedarkan mereka yang sangat berpegang apa orang kata, nak letak maruah ini di mana. Saya sangat malu, macam mana nak sorok pipi, rasa muka disalut tahi lembu. Kalau sudah begitu, berlakon tak mahu, tak ada daya upaya memaksa pelihara cucu sendiri.

Akhirnya berpisahlah ibu dan anak. 

"Jika kau sayang anak, begitulah ibu juga sangat sayangkan kau," 

Si anak kembali ke rumah keluarga tanpa bayi yang sangat dikasihi. 

"Kau baru satu bulan dah rasa sayang sangat pada anak. Mak ni dah 20 tahun mengasuh kau. Bandingkanlah banyak mana kasih sayang mak pada kau," sambil mengesat air mata dengan hujung lengan baju. 

La haw lawala quwata illah billah

Jangan ditanya tentang anak angkat dan penyerahan anak angkat. Tertutup pertanyaan itu dan tidak mahu dijawab lagi. Tidak perlu tanya tentang permohonan anak angkat tambah-tambah bila ayat soalan, 

"Ada tak ibu yang tak nak anaknya, boleh hubungi saya," 

Soalan sebegini saya reject terus untuk mencalonkan sebagai keluarga angkat. - Baitus Solehah | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.