'Aku Tak Nak Balik Beraya Di Kampung...'


Aku anak bongsu dari tujuh beradik. Seorang perempuan, kakak aku. Semua dah berkahwin kecuali aku. Parents dah meninggal, kehidupan aku lebih pada sendiri, raya pun sendiri-sendiri. Jujur cakap, aku rindu kenangan lama keluarga kami. 

Aku kerja di ibu kota, boleh dikatakan agak stabil. Aku selalu menghabiskan masa menyibukkan diri sebab aku sebolehnya mahu melupakan nasib aku. Dulu kami keluarga besar, family bonding yang kuat. Tetapi sekarang... 

Aku masih ingat lagi sewaktu kecil, mak berniaga di bazar Ramadan. Tugas aku beli barang, abang bakar kuih akok, ada yang tolong mesin kelapa, kakak buat rojak. Sungguh, gembira tak terkata. 

Ayah aku seorang yang kelakar, gemar buat lawak dan cerita dia tidak pernah membuatkan aku kering gusi. Dia suka mengajuk bahasa tamil bila dia acah-acah jadi bomoh nak mengubati luka aku. Kira jampi la, hahaha! Dulu arwah ayah usaha sedaya upaya untuk mencari durian bila tibanya musim durian pada bulan puasa. Sanggup pergi mencari durian nak beri anak-anaknya makan. Dia? Cukup sekadar melihat anak-anaknya makan. 

Mak, orang yang paling aku sayang. Dibuatnya juadah sedap-sedap sebagai upah aku berpuasa. Boleh dikatakan menu setiap hari ditetapkan oleh aku. Bab makan, aku ada kuasa veto beb. Hahaha!

Abang aku yang sulung, cool dan steady. Aku tak ada sangat kenangan masa kecil dengan dia sebab umur kami jauh berbeza. Aku baru mula nak ingat, dia dah sambung belajar di universiti. Bagi aku, dia seorang yang lucu dan kelakar. Sama seperti karekter ayah. 

Abang nombor dua, 'kaler metallic' (if you know what I mean). Dia suka bawa aku jalan-jalan naik basikal, bawa pergi memancing bagai. Benda-benda berat biasa dia yang buat. Aku kecil lagi, aku jadi tukang tengok saja. 

Kakak pula suka berniaga, dari kecil tolong mak berniaga. Duit dia yang paling banyak. Sampai sekarang pun dia masih berniaga. Kecil-kecil dulu dia tukang isi borang sebab tulisannya cantik dan semua nama serta IC, surat beranak adik beradik dia ingat. 

Abang nombor 3 lembut dan tegas. Dia suka memasak sebab suka menolong mak di dapur. Dia juga paling cerewet, benda simple pun dia memilih. Kalau boleh semua benda nak perfect. 

Abang yang keempat, paling pendiam dan suka menyendiri. Tetapi bila disuruh buat kerja, dia buat saja. Kecil-kecil dulu, dia obses dengan pistol, senapang. Di tangannya tak lekang dengan senapang. 

Yang ini kelakar, abang yang kelima. Satu-satunya abang aku yang suka bermain seorang diri. Dia punya imaginasi siap gaya macam Dragon Ball Super Saiya, berlari depan cermin macam Watson Nyambek. Kalau bertinju, hebat macam Sapok Biki. Aku suka tengok then gelak guling-guling. 

Yang last, aku, hahaha! Aku anak bongsu, of course anak yang paling manja. Tetapi tak semua yang aku nak, aku dapat. Yelah, keluarga bukan orang senang tetapi aku sayang sangat keluarga aku.

Tapi itu dulu...

Bila mak dan ayah dah tak ada, semua bawa haluan masing-masing. Semua dah kahwin. Diorang cuma luangkan masa dengan keluarga diorang sahaja. Aku, masih single. Aku kalau boleh tak nak balik kampung sebab tak nak ingat kisah silam. Ia membuatkan aku sedih, rindu pada mak dan ayah. 

Semalam, aku balik kampung. Jiran aku terkejut sebab dah lama tak balik. Aku plan nak beraya di rumah walaupun tiada seorang pun keluarga aku yang balik beraya nanti. Diorang pun dah beritahu awal-awal. Lagipun aku tak kisah sangat, aku cuma rindukan suasana puasa yang dulu meriah bersama. Nak makan ketupat mak, nak dengar celoteh ayah, ragam abang-abang dan kakak. 

Hari ini selepas bersahur, aku duduk bersandar di tiang seri rumah aku, tiang cengal rumah kayu. Dalam fikiran aku terbayang kami anak beranak bersuka ria. Ayah aku tengok berita, abang aku berlari depan cermin almari pakaian, abang pijak belakang mak, urut mak sambil berpegang pada almari, kakak isi borang one off, abang dengan pistolnya tembak cicak, yang sulung buat kerja sekolah dan abang yang nombor dua duduk makan nasi di dapur. Aku pula duduk mengaji di ruang tamu sambil bersandar pada tiang kegemaran aku, tiang cengal.

Aku amati setiap inci rumah, menggamit kenangan silam yang aku takkan lupa. Andai boleh diputarkan waktu, sudah tentu akulah orang yang paling gembira. Kepada yang masih ada, janganlah lupa untuk menghargai. Al-fatihah mak dan ayah. - Bongsu | PIXEL MEDIA 

No comments

Powered by Blogger.