Bayi Makan Pil Viagra Untuk Hidup


SEGAMAT - Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan terpaksa bergantung hidup pada ubat peransang seks bagi memastikan jantungnya dapat berfungsi dengan sempurna. 

Nur Aafiyah Amanda Norhisham yang menghidap penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru sejak dilahirkan, perlu memakan empat biji pil viagra setiap bulan yang dibahagikan mengikut dos kecil dan dimasukkan ke dalam badan menggunakan tiub. 

Ibunya, Raja Karipah Raja Hamzah, 46, berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu mengambil pil tersebut di atas nasihat doktor pakar yang merawat anaknya. 

Menurutnya, dia membeli pil viagra di farmasi dengan harga RM38 sebiji. 

"Nur Aafiyah menghidap jantung berlubang dan masalah paru-paru selepas dilahirkan secara pembedahan ketika usia kandungannya 34 minggu pada 29 September 2015 di Hospital Daerah Segamat (HDS). 

"Doktor menasihati Nur Aafiyah mengambil pil viagra mengikut dos tertentu bagi menguatkan jantungnya yang berlubang untuk terus berfungsi," katanya di rumahnya di Taman Suria. 

Berdasarkan maklumat, pil viagra satu ketika dahulu sememangnya digunakan oleh penghidap sakit jantung bagi membuka saluran darah di jantung sebelum ia digunakan untuk meransang syahwat.

Bercerita lanjut mengenai komplikasi penyakit anaknya itu, Raja Karipah memberitahu, sehari selepas dilahirkan, Nur Aafiyah dibawah ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) kerana tidak boleh membuang air besar sebelum dikesan mengalami masalah saluran usus.

"Pada usia 20 hari, anak saya menjalani pembedahan dan ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal HSAJB selama empat bulan sebelum dipindahkan ke wad HDS selama 30 hari.

"Anak saya juga terpaksa meminum susu melalui tiub yang dipasang pada mulut selain menggunakan mesin pembekal oksigen sumbangan Baitulmal Segamat sepanjang masa untuk bernafas," ujarnya yang membelanjkan RM1,100 sebulan untuk kos perubatan Nur Aafiyah.

Menurut Raja Karipah, suaminya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak menentu selain bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

Tambahnya, rumah mereka sering mengalami gangguan bekalan elektrik sehingga memberi masalah kepada anaknya yang menggunakan mesin pembekal oksigen. 

"Bagaimana masalah ini telah diatasi selepas Ketua UMNO Bahagian Segamat, Zahari Sarip, menyumbangkan generator," ujarnya. - KOSMO!

No comments

Powered by Blogger.