Disaman Kerana Tampal Plastik Hitam, Bukan Kerana Sticker


KUALA LUMPUR - Susulan viralnya gambar surat saman yang dimuat naik oleh laman Info Roadblock JPJ/Polis, 17 Julai, yang mendakwa seorang pemandu disaman kerana melekat sticker di cermin kereta, pihak berkuasa tampil memberikan penjelasan.


Harian Metro melaporkan, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Melaka, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata, pemandu terbabit disaman kerana menampal plastik berwarna hitam, bukannya pelekat seperti yang didakwa. 

"Sticker (pelekat) yang dimaksudkan dalam saman itu adalah yang menjadikan cermin kereta gelap. Dia tampal plastik warna hitam. Bukannya pelekat seperti yang diviralkan itu. 

"Kita saman cermin gelap dan orang yang kena saman ini, dia menerima saman itu. Tetapi yang memviralkan benda ini sebenarnya bukan orang kena saman. Rakan dia yang langsung tidak tahu cerita sebenar. Kita sudah sahkan dengan orang yang kena saman. Memang rakan dia yang buat (viralkan) saman itu dan dia tidak tahu apa-apa. 

"Kalau pasal 'sticker' (pelekat) langsung tidak pernah saman. Pakailah pelekat kelab kereta ke, kelab golf ke, tak pernah saman. Yang kita saman tampal plastik yang jadikan cermin gelap," tegasnya. 

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memviralkan perkara tanpa mengetahui fakta sebenar dan dapatkan pengesahan daripada pihak polis terlebih dahulu. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.