Ending - "Mak Layan Saya Macam Sampah!"


Terima kasih di atas nasihat dan sokongan semua. Menangis aku baca komen korang yang baik-baik itu. Kepada yang senasib, tabahkanlah hati. Ada yang siap tawarkan cari kerja lagi. Sumpah aku terharu.


Tetapi janganlah sumpah seranah mak aku. Semua manusia buat silap kan? Silap dia cuma satu, dia terlepas pandang hati dan perasaan aku. Mungkin aku kebal dengan karenah adik beradik yang lain. Jadi dia anggap aku sentiasa okay sahaja. Silap aku juga sebab lemah tak membantah atau melawan, sebab aku sayangkan mak. Sayang sangat. Memang normallah bila jadi anak tengah kan. 

Ini last post daripada aku memandangkan ramai yang nak tahu sambungan kejadian tempoh hari. Tetapi mana ada endingnya kan melainkan aku mati. Aku pun tak tahu dugaan apa lagi nak datang. Jadi aku pilih apa yang terbaik saja buat masa ini. 

Semalam selepas maghrib, aku balik ke rumah. Itu pun sebab aku dah tak tahu nak ke mana. Kalau ada kawan, boleh juga menumpang. Sampai saja di rumah, semua tak berani menegur aku. Aku terus masuk ke bilik. fikir nak blah atau tidak. 

Minggu depan, semua dah start kerja balik, nanti siapa yang nak jaga ayah? Siapa yang nak bawa dia pergi ke hospital? Lagipun, hal rawatan dia itu semua, hanya aku saja yang tahu. Selalunya bila aku di UIA, nurse di klinik yang berdekatan akan datang ke rumah untuk check apa yang patut. 

Nasib baik dulu tergerak hati nak bertanya di klinik, ada tak bantuan klinik bergerak seperti ini. Nasib baik ada. Kalau aku cuti ke, balik ke, aku yang kena bawa ayah ke hospital untuk further check up. Jadi, apa-apa perkembangan daripada klinik, aku yang kena inform di hospital pula.

Hari itu, adik bawa ayah pergi hospital sebab aku demam. Habis semua date untuk temujanji clash dengan tarikh temujanji di unit lain. Aku suruh tukar ubat, dia kata malas nak tunggu sebab orang ramai sangat. The hell ubat-ubat dia buat main macam tu? Satu apa pun tak boleh diharap. Aku juga yang kena tebalkan muka pergi settle semua itu. KEna marah pula dengan nurse. 

Allah, nak lari dari rumah pun kena ambil kira semua ini juga. Bukan senang nak jaga orang tua. Tetapi aku ikhlas jaga ayah. Dapat peluang potong kuku dia pun aku rasa gembira weh! Tidur di sebelah dia pun boleh rasa tenang. Entah kenapa. Peluang buat pahala katakan. Kalaulah ayah sihat macam dulu, tak mengapalah. Selepas ayah sakitlah aku betul-betul belajar berdikari. Itulah hikmahnya agaknya. 

Tengah duduk termenung, anak-anak saudara masuk dalam bilik dan bertanya kenapa aku keluar lama sangat. Mereka tak suka cara saudara-suadara aku melayan mereka, kasar tak bertempat. Mereka request nak makan nasi goreng pun kena marah. 

"Amboi, tinggal sekejap dah besar kepala pula syaitan-syaitan itu," 

Aku cakap yang aku pergi jumpa kawan sekejap. Mereka peluk aku, suruh aku janji jangan keluar lama sangat lagi selepas ini. Alahai manja sungguh. Aku melayan saja karenah mereka. Budak-budak, biasalah. Sampai mereka berdua tertidur di tepi aku. 

Tengah malam, baru aku keluar ke dapur sebab aku tak makan langsung semalam. Kemudian, kakak datang menghampiri aku. Dia tak marah aku, dia cuma kata tindakan aku itu betul tetapi mak dan ayah memang terkejut. Iyalah, selama 20 tahun lebih tak pernah memberontak. Tup-tup mengamuk habis keluar semua yang terpendam. Siapa tak terkejut kan?

Tapi kakak tak bagi aku balik ke Gombak. Dia suruh aku kerja di mana-mana dan dia akan carikan bilik sewa untuk aku. Tetapi dengan syarat yang aku kena kerap balik jenguk mak dan ayah. Kakak juga berjanji akan tolong aku buat rawatan. Hal ubat ke apa, kakak akan ikhtiarkan.

Kakak aku baik sangat tetapi dia jenis workaholic. Jadi dia tidak tahu cerita tentang aku. Biarlah, aku pun tak nak menganggu dia. Bila mak mengadu pada dia, baru dia tahu aku ini happy saja di depan dia tetapi hati rentung terbakar dengan sikap pilih kasih mak. 

Aku tak fikir panjang, aku terus counter-offer cakap boleh tetapi syaratnya aku tak nak sesiapa pandai-pandai atur urusan hidup aku lagi selepas ini. Tentang tunang, aku minta dia pergi ke rumah lelaki itu pagi ini dan minta putus elok-elok. Nak kahwin apanya, macam bertunang dengan tunggul kayu. Tak pernah langsung bertanya khabar tentang aku. 

Tetapi apa yang peliknya, mak tunang aku sangat sayang pada aku. Mak saja baik tetapi hati anaknya dingin tak guna juga. Entah-entah selepas berkahwin, aku jadi kain buruk anak dia pula. Eh tolonglah, aku pun nak upgrade diri menjadi kain baru pula. Kain chiffon ke, sutera ke, haha! Mesti dia stress kan kena bertunang dengan aku? Sudahlah tak cantik, tak moden pula. Muslimah sejati jauh sekali! Hahaha! 

Adik beradik lelaki semua tak kata apa. Nasib baik juga, kalau tak haru biru jadinya. Tetapi aku harap bila aku keluar dari rumah ini nanti mereka tak buat mak macam kuli. Kasihan mak nanti. Pagi ini pun aku tak ke dapur. Aku dengar suara mak bising itu belum buat, ini belum buat. Tetapi aku tawar hati nak masuk ke dapur. 

Selepas memandikan ayah, bagi dia makan ubat itu semua, aku terus keluar pusing-pusing di sekitar kampung, beli sarapan dan kemudian ke pantai pula. Hari ini baca novel di tepi pantai saja. Hehe! Dah lama tak rehat seperti ini. Rasa kekok pula sebab tak kalut dengan kerja rumah. Mesti kasihan mak, tetapi ada baiknya aku ajar sikit keluarga aku itu.

Mak masih tak mahu bercakap dengan aku. Egonya masih tinggi, tiga ekor syaitan itu pun belum tunjuk tanda-tanda nak berambus lagi. Berbulu biji mata aku tengok karenah mereka. Ikutkan hati nak saja tabur serbuk lada di tempat tidur mereka tetapi sia-sia saja. Tak pasal-pasal mak pula yang akan menyumpah aku bermacam-macam. 

Aku dah buat keputusan, nanti aku nak minta maaf dengan mak elok-elok. Tetapi aku nak tunggu bila semua dah tak ada. Jadi nanti atak adalah iblis penyibuk yang menjadi pihak ketiga di antara kami. Aku nak luarkan semua yang terbuku tetapi aku kalau boleh nak mengelakkan dairpada salahkan mak sepenuhnya. Paling penting, aku nak tahu kenapa dia buat aku seperti itu? Kenapa aku seorang saja yang mak layan dengan teruk? Kenapa dia tidak pernah peluk aku seperti mana yang dia buat pada mereka yang lain? 

Akhir sekali, aku nak dia izinkan aku mengikut haluan sendiri dan dia tidak boleh mengharapkan aku sepenuhnya. Lambat laun aku memang akan tinggalkan rumah juga. Semoga Allah lembutkan hati mak, sayang mak. Shuya takkan derhaka pada mak, cuma Shuya nak mak tahu bahawa Shuya ada juga ada hati dan perasaan. - Shuya | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.