'Jangan Bagi Anak Saya Duit Raya'


Jangan bagi anak saya duit raya. Tapi kalau orang bagi, saya ajar anak-anak saya ambil dan salam, cium tangan. Kemudian anak saya akan datang pada ibunya dan serahkan semua tanpa melihat berapa jumlah yang terdapat di dalamnya.

Kita ajarkan mereka nilai wang, tetapi kita ajarkan juga akhlak adalah lebih bernilai dari wang. Cuma bila dah beri duit raya kepada anak-anak saya nanti, dia akan buat saya terasa perlu beri duit raya pula kepada anak-anak si pemberi. Kan elok terus kita kira you bagi anak I dan I bagi anak you. Kita kira habis, settle. 

Duit raya ini dah menjadi seperti amalan wajib pula di hari raya. Saya pun kurang pasti sejak bila amalan ini sudah menjadi budaya. Yang pasti, semasa Anuar Zain kecil, dia menyanyi dengan Elina pada masa itu dah sebut tentang duit raya. Dengan umur AZ sekarang ini, saya fikir budaya ini sudah lama juga berada dalam bani Melayu. 

Pada saya, duit raya ini merosakkan kebahagiaan juga. Adik beradik saya dan saudara mara saya bukan semuanya orang senang. Tetapi semasa saya kecil dahulu, saya ternampak seolah-olah mereka terasa beban untuk menunaikan sesuatu yang bukan rukun. Malah tiada pula dalam mana-mana hadith yang mengatakan ia adalah satu amalan yang sunat (mungkin saya belum khatam lagi ngaji).

Paling mudah, mak ayah saya sendiri pernah saya terdengar berbincang untuk memberi duit raya pada anak buah sampaikan terpaksa ikat perut. Itulah, bila orang dah bagi, kita pula terasa perlu membalas. Kan elok tak payah bagi langsung sedangkan benda itu tidak perlu pun. 

EXPECTATION! 

Saya fikir, eloklah saya memulakan budaya baraan (berkunjung) tanpa ada duit raya. Memberi atau diberi. Cuma kalau diberi, tak elok pula menolak. Sekurang-kurangnya anak-anak saudara Pak Ngah (Pak Long sebelah isteri) yang baca apa yang saya tulis ini sudah manage expectation sendirilah ye. 

Banyak masalah remaja hari ini terjadi apabila mereka mula memegang duit pada ketika mereka masih belum selayaknya memegang duit. Biarlah orang nak kata apa pada anak saya yang tak ada duit raya. Saya tak kata orang lainlah, saya cerita tentang diri sendiri dulu. 

Masa zaman saya dulu, dapat duit raya saja terus pergi ke kedai runcit main judi tikam, beli jajan, beli mainan dan sampai ke senja pun tak reti nak balik ke rumah. 

Zaman hari ini, duit raya budak-budak boleh buat beli topup handphone, pergi KLCC, sewa hotel, topup kredit main computer game (gamble) dan bermacam-macam lagi. 

Untuk simpanan anak-anak? Itu kalau yang beringat. Tetapi tidak perlu bersusah-susah fikir simpanan untuk anak-anak dan isteri saya pun. InshaAllah saya dah siapkan simpanan untuk mereka. Sampai saya mati nanti pun dah tak risau. Bukan kerana saya kaya, cuma saya mendidik mereka untuk tidak berlebih-lebihan.

Duit raya ini memang spoil betul. Saudara mara dan sahabat-sahabat datang ke rumah kita nak beraya. Sudahlah lama tidak berjumpa, tetapi nanti anak-anak merengek nak balik. Kenapa? Masa balik itu baru mereka tahu berapa duit raya mereka akan dapat dan mereka akan terus pergi ke rumah seterusnya. Dari situ, mereka akan buat perangai yang sama. Kacau macam ni, kacau, kacau dan kacau. 

Bukan saya kedekut taik hidung masing. Berapalah sangat kes anak-anak dapat duit raya kemudian serahkan semuanya untuk kebajikan? Rasanya rare dah tu. Berapa banyak pula anak-anak yang dapat duit raya yang putus jari main mercun? Yang tersangkut dalam Cyber Cafe berhari-hari? Yang cukup duit untuk beli handphone senyap-senyap dan guna belanja sekolah untuk topup? 

Kalau nak cerita kes-kes kajian Warga Prihatin tentang anak-anak main WeChat kerana dapat duit topup dari duit belanja sekolah dan beli handphone dengan duit raya, berlambak! 

Jangan terlalu baik sangka dengan anak-anak yang balik dari sekolah terus berkunci dalam bilik. Kita ingat mereka belajar atau tidur, tetapi melayani WeChat.

Tidak kurang juga kes ibu bapa yang tidak percaya anaknya dah kena 'rewang' atau jadi jadi 'pelacur WeChat' tahu-tahu saja anaknya dah terkena HIV positif atau anaknya sudah termengandung. Masa itulah ibunya menjerit berguling-guling tak percaya. 

"Alaaa anak bertuah aku bela dari kecil dengan penuh kasih sayang, kenapalah sampai mengandung macam ini? Kenapa tak gunakan durex??" 

*Pandang langit, kedua-dua tangan di muka*

Sebab itu saya tekankan betul-betul kepada anak saya, never expect duit raya! 

Saya beritahu mereka, tidak perlu nak menyimpan-nyimpan duit untuk peribadi. Semua keperluan anak-anak, ayah akan cukupkan. Tak perlu nak risau. Ayah akan belikan bila dah sampai masa, tak perlu nak saving-saving duit sendiri sampai ada kebebasan untuk berbelanja tanpa izin. 

Memang saya kolot kot. Hatta, isteri saya sendiri mahu berbelanja pun akan meminta izin saya sendiri walaupun dia menggunakan wang simpanannya sendiri. Even masa isteri saya bekerja dulu dan ada income sendiri, saya mendidiknya untuk meminta izin sebelum berbelanja. Tidak perlulah nak surprise-surprise saya dengan hadiah sebuah kereta Porche Cayenne sekiranya nak belanja beli Porche itu pun tidak meminta izin dari saya. 

Gambar hiasan sahaja

DON'T SPOIL YOUR KID'S WITH MONEY! 

Memberi hak anak memegang wang dan berbelanja sebelum mereka matang adalah sama seperti memberi anak-anak kita yang masih kanak-kanak bermain dengan pisau yang tajam. Memang ada kebaikannya, pisau itu boleh memotong daging dan bawang. Namun jika kematangannya belum tiba sebelum penggunaannya tiba, kita akan terjerat. 

Saya mendidik anak-anak untuk tidak mengharapkan duit raya, sebaliknya mengharapkan jalinan kasih sayang dan persaudaraan. Orked yang baru berusia 8 tahun sudah berikrar di depan saya beberapa hari lalu, berazam raya kali ini dia mahu membantu neneknya membasuh pinggan, kemas rumah dan menyapu sampah. Tidak keluar langsung isu duit raya. 

Jika sudah ajar anak dengan duit hari ini, sampai kita mati dan tinggalkan duit sebanyak 1MDB pun tidak akan cukup. Jika kita ajar anak-anak kita menghargai hubungan kasih sayang sesama manusia dengan akhlak terpuji, inshaAllah kita mati tinggalkan RM7 pun tidak akan menjadikan anak-anak kita mati kebuluran. 

Bukan tidak mampu nak memberi, tetapi tidak mahu membuka peluang untuk mereka merewang dan menambah kerja kita pula nak berkepung-kepung nanti. Namun tidak seperti orang Cina yang memberi angpow kepada orang yang belum berkahwin. Tetapi saya akan beri duit raya kepada mereka yang tua seperti ibu bapa, saudara mara yang memerlukan. 

Jika alasannya nak bersedekah, adakah budak kecil berusia 5 tahun yang ada mak bapa pakai Hummer adalah golongan yang layak menerima sedekah? Jika alasannya sedekah, dari memberi pada anak yang mak ayahnya cuma ada kapcai. Elok terus bagi sampul terus kepada mak ayahnya, bukan pada budaknya. 

Ini cuma pandangan saya sahaja, tidak jika tidak bersetuju tidak perlu buat petisyen pun. Teruskan apa yang anda fikirkan wajar dan betul. Cuma untuk saya, untuk sudah dari yang sulung kecil pun, bukan duit raya buat mereka gembira. Ada atau tiada duit raya langsung, mereka tak hairan. Kita yang ajar mereka begitu.

Tetapi kalau nak bagi juga kepada anak-anak saya, silakan, mereka ambil sahaja. Tetapi cakap terus terang, semua duit raya anak-anak saya akan jadi bajet duit minyak, tol, makan minum dan hotel (kalau rumah kampung penuh saudara mara. Kita ni anak perempuan ramai) dan selebihnya akan disedekahkan.

Kalau tak ambil duit raya sekali pun, minyak kapal selam pun kita mampu isi, tetapi pointnya ialah, elok jangan bagi duit raya kepada anak saya. Nanti orang mesti kata, 

"Biarlah budak-budak, dulu kita pun macam itu."

Kesalahan generasi dulu bukan untuk kita teruskan tetapi untuk kita ubah menjadi baik. Jika di zaman moyang saya tiada duit raya tetapi di zaman saya ada duit raya pula, dan saya kena berani untuk ubah amalan yang sudah lama menjadi tradisi itu hari ini. Dari tiada jadi ada, kemudian untuk tiadakannya semula bukanlah satu dosa resam budaya. - Saiful Nang | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.