Ketahui 5 Proses Penting Ini Sebelum Bernikah


Assalamualaikum. Hari ini saya nak kongsi info berkenaan permohonan nikah bagi pasangan muslim yang bakal membina masjid tidak lama lagi. Sesiapa yang sudah tahu, alhamdulillah. Sesiapa yang belum, semoga info ini bermanfaat buat kalian. Bagi yang sudah melaluinya, bolehlah juga kongsi pengalaman anda. 

Ramai juga yang bertanya pada saya tentang nikah ini. Iyalah, sebab saya tengah dalam proses permohonan gitu. 

1. BORANG PERMOHONAN NIKAH

Ambil borang permohonan nikah lelaki dan perempuan di pejabat agama daerah masing-masing. Di pulau pinang ini, ada juga permohonan secara online tetapi saya lebih gemar buat secara manual iaitu berurusan terus dengan pejabat kerana pelbagai perkara yang saya boleh tanya pada mereka secara bersemuka. 

Dalam borang itu ada dinyatakan beberapa dokumen penting yang perlu kita kepilkan sekali. Contoh IC pemohon, pasangan dan wali, sijil kursus kahwin, HIV test, sijil nikah ibu bapa (bagi pemohon perempuan sahaja, pemohon lelaki tidak perlu) dan lain-lain. 

Dokumen-dokumen yang diperlukan mengikut kes pemohon masing-masing. Contohnya ada kes ibu bapa yang bercerai, kes di mana tiada wali dan memerlukan wali hakim, makanya lebih banyak lagilah dokumen yang perlu anda kepilkan. 

Borang permohonan nikah kita itu memerlukan tandatangan 5 orang (untuk pemohon perempuan) dan tandatangan 4 orang (untuk pemohon lelaki). Mereka ialah pemohon itu sendiri, wali (bagi borang perempuan sahaja, lelaki tak perlu sign wali pun), Pengerusi Qaryah Masjid, Pegawai Masjid 1 dan Pegawai Masjid 2. Ini adalah orang-orang penting untuk sign dan cop borang permohonan kita. 

2. KURSUS KAHWIN

Kursus kahwin ini pula memang wajib. Anda perlu pergi dan jangan pandai-pandai kata tak perlu sebab anda sudah pandai. Selalunya kursus kahwin ini dua hari sahaja, pagi ke petang. Nak daftar hadir kursus kahwin ini. anda boleh pergi daftar di pejabat agama daerah masing-masing kerana kursus itu akan dibuat di pejabat agama itu sendiri. Majlis penutup kursus, barulah mereka beri sijil kursus kahwin kepada anda. 

3. HIV TEST

Test ini perlu dilakukan 6 bulan sebelum tarikh pernikahan anda. Janganlah pergi buat HIV test ini sedangkan anda nak bernikah setahun akan datang. Keputusan HIV test itu takkan diterima pakai, ianya hanya valid untuk 6 bulan sahaja. 

Seperti saya, dalam borang yang say dapatkan dari pejabat agama, di situ ada senarai klinik kesihatan yang kita boleh buat HIV Test. Klinik kerajaan sahaja yang boleh buat, klinik swasta tak dapat. Selain dari klinik kerajaan, ujian HIV yang dilakukan di klinik swasta tidak akan diterima oleh pejabat agama. 

Setiap klinik, berbeza masa operasinya untuk membuat ujian HIV. Yang paling penting, sila hubungi pihak klinik itu terlebih dahulu sama ada mereka boleh melakukan ujian HIV dan bila anda boleh hadir untuk jalani ujian HIV. 

Nak pergi buat ujian HIV ini, jangan kalut sangat. Ada sesetengah klinik itu di mana anda jalani ujian HIV hanya akan mengambil darah anda dan keputusannya keluar selepas 30 minit. Ada pula klinik yang kena jawab soalan-soalan kuiz kesihatan. Jawab kuiz dulu barulah anda dapat menjalani ujian HIV. 

Seperti saya, saya terpergi ke klinik yang beri soalan kuiz kesihatan itu. Dua jam lebih saya berada di klinik itu. Jawab kuiz yang banyak sangat soalannya. Ambil darah, ujian air kencing, check breast, timbang berat dan tinggi semua itu. Memang complete medical check up. X-ray badan saja tak ada. Hihi! 

4. INTERVIEW

Dah selesai semua dokumen-dokumen, bila nak submit borang permohonan nikah di pejabat agama daerah masing-masing, anda akan ditemubual terus oleh ustaz. Pemohon lelaki kena hantar borang mereka dulu. Bila sudah diluluskan, barulah pemohon perempuan boleh hantar borang mereka pula. Melainkan kalau daerah pemohon lelaki dan perempuan adalah daerah yang sama, jadi boleh terus submit kedua-dua borang. 

Saya dengan pasangan, berbeza daerah. Makanya pasangan saya perlu hantar borang beliau terlebih dahulu. Seminggu kemudian pejabat agama luluskan. Barulah saya boleh hantar borang saya pula sebab pemohon perempuan perlu kepilkan bersama permohonan lelaki yang telah diluluskan. 

Antara soalan-soalan yang diajukan oleh ustaz ketika temuduga telah disertakan dalam borang permohonan. Anda cuma perlu tinggal belajar sahaja. Tetapi tak perlulah berhempas pula sangat. Kita semua kan muslim, mesti sudah tahu rukun-rukun semua. 

Yang bertuahnya, ada segelintir ustaz tak bertanya apa-apa sangat pun pada pemohon. Hanya sekadar bersembang dan bertanya nikah di mana, keperluan semua dah cukup ke belum, sudah bersedia ke belum.

Tetapi ada ustaz jenis tanya macam-macam. Suruh baca Fatihah dan terjemahanlah, doa qunut, doa iftitah, mengucap, selawat, istighfar, rukun-rukun iman dan islam. Waduh! Kasihan pada pasangan yang kurang ilmu agamanya. Tapi tak mengapa, dengan adanya interview akan membuatkan pasangan lebih ghairah untuk belajar tentang islam gitu.  Jangan Islam pada nama sahaja, di dunia ini mungkin tak rasa malu tetapi di 'sana' kelak? Wallahualam.

5. TOK KADI

Dah habis semua perkara di atas, pejabat akan beri nombor telefon Tok Kadi yang berkenaan kepada pemohon perempuan. Kiranya urusan dengan pejabat agama sudah selesai. Sekarang berurusan pula dengan Tok Kadi. 

Berbincanglah dengan Tok Kadi, nak menikah atas angin ke, bawah tanah ke, tepi kolam ke, selepas subuh ke, panas-panas terik tepi air terjun ke, semua kena tanya Tok Kadi okay. Tetapi selalunya Tok Kadi okay saja, mereka akan ikut kita. Tetapi bergantung juga pada jadual Tok Kadi. 

Katalah hari yang anda pilih nak bernikah itu ada 5 pasangan lain nak bernikah juga, manalah Tok Kadi sempat nak pergi tepi laut bagai semua itu untuk akad nikah anda. Mesti kesemua pasangan akan dibuat di tempat yang sama iaitu Masjid Qaryah perempuan. 

Alhamdulillah, rasanya ini sahaja yang nak dikongsikan dengan anda. Apa yang dikongsikan ini adalah berdasarkan pengalaman diri sendiri dan kenalan saya. 

Jika ada sebarang kemusykilan, sila hubungi pihak pejabat agama terlebih dahulu. Usah bergantung pada kenalan dan saudara mara kerana yang akan menguruskan permohonan kita adalah pejabat agama. Pejabat agama yang lebih tahu apa yang kita perlu lakukan. 

Seperkara lagi, selepas berinikah, jangan lupa buat Kad Nikah Pintar. Bermula 1 Jun 2016, pasangan yang bernikah kena buat Kad Nikah Pintar di mana harganya RM30 untuk satu kad sahaja. Lelaki dan perempuan keduanya perlu ada kad nikah pintar itu. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada pasangan yang bakal bernikah. Minta maaf kalau ada salah dan silap, mohon betulkan. Jazakumullahu kheyr. Jangan lupa doakan saya juga ya. - Sharifah Nur Hanim | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.