Melampau! Yuran Tadika Di Lembah Klang RM9,000 Setahun


KUALA LUMPUR - Setiap ibu bapa mahu memberikan pendidikan awal yang terbaik di tadika bagi anak masing-masing. Namun hasrat itu terhalang apabila kadar caj bayaran bulanan yang tinggi, mencecah ribuan ringgit dikenakan oleh operator tadika swasta di negara ini. 

Ibu bapa yang berpendapatan sederhana turut terkesan bila mana permohonan kemasukan anak mereka ke tadika kerajaan ditolak menyebabkan mereka terpaksa menhantar anak ke tadika swasta. 

Lapor Utusan Malaysia, perkara itu berlaku disebabkan bilangan murid di tadika kerajaan adalah terhad selain dari faktor memberikan keutamaan kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah. 

Oleh kerana tiada pilihan yang lain, ibu bapa berkenaan terpaksa menghantar anak mereka ke tadika swasta biarpun terpaksa menanggung kos bayaran yang sangat tinggi. 

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa tadika swasta di sekitar Lembah Klang mendapati, caj yang dikenakan terhadap seorang murid adalah antara RM5,000 hingga RM9,000 setahun.

Kadar berkenaan meliputi yuran pendaftaran, yuran bulanan, buku dan pakaian seragam bergantung pada pakej yang dipilih oleh ibu bapa. 

Berdasarkan perbandingan harga, kesemua tadika swasta berkenaan yang turut beroperasi di negeri lain, caj akan menjadi mahal apabila ibu bapa diminta membayar yuran pendaftaran yang tinggi antara RM1,500 hingga RM2,400. Kos itu tidak termasuk bayaran bulanan dan didapati kadar termurah adalah RM300 hingga RM550 yang wajib dibayar sepanjang tahun. 

Jumlah bayaran akan menjadi lebih tinggi jika ibu bapa memilih pakej penjagaan sepanjang hari dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang. 

Selain itu, ibu bapa juga tidak terlepas dari dikenakan caj tersembunyi seperti bayaran membuat lawatan, hari sukan, yuran projek kelas dan juga konsert akhir tahun. 

Bayangkanlah, berapa banayak kos yang perlu ditanggung oleh ibu bapa jika mereka mempunyai dua atau tiga anak yang berusia antara empat sehingga enam tahun yang kesemuanya perlu dihantar ke tadika?

"Boleh kopak poket kalau fikir soal hantar anak masuk tadika. Sudahlah permohonan masuk ke tadika kerajaan ditolak, terpaksa masukkan anak ke tadika swasta dan bayar yuran pendaftaran RM2,000 selain bayaran bulanan RM450. 

"Itu baru anak sulung, belum lagi adik beradiknya yang lain. saya tiada pilihan kerana saya dan isteri bekerja. 

"Semasa nak daftar itu paling perit, itu ini perlu dibayar. Gaji saya bukanlah besar sangat, tiap-tiap bulan kos anak pertama RM450 (tadika), anak kedua RM300 (taska) dan anak ketiga pula RM350 (taska). Boleh dikatakan kos bayar yuran bulanan saja sudah lebih RM1,000," katanya yang bekerja sebagai penyelia kilang. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.