'Bengang Betullah! Bini Suka Sangat Curi Baca WhatsApp Aku!'


Sedang saya menemankan anak sulung saya mengulangkaji bagi peperiksaan UPSRnya, jadi saya menulis. Menulis untuk buku saya seterusnya selepas buku 'Jangan sentap, okey!'. Sambil-sambil itu saya turut menulis dan membaca mesej di aplikasi WhatsApp. Tiba-tiba saya teringat kisah seorang sahabat saya yang telah menelefon bagi mengadu perihal isterinya yang suka mencuri baca mesej-mesej di dalam 'handphone'nya.

Tugas saya sebagai pegawai sumber manusia kilang sudah terbiasa memberi nasihat kepada pekerja (nota : termasuk memarahi, memberi amaran dan membuang pekerja). Jadi satu lagi nasihat percuma tidaklah menjadi beban kepada saya.

"Eh Man, aku bengang betullah dengan bini aku. Dia suka sangat curi baca mesej kat WhatsApp aku," adu sahabat saya itu.

"Parah tu. Macam mana kau tau dia curi tengok? Ke kau main agak-agak je?" soal saya.

Dia menerangkan bahawa dia perasan kedudukan 'handphone'nya berubah dan ada tanda mesej sudah dibaca walaupun ketika itu dia sedang mandi, solat atau tidur.

Sebagai lelaki dan ketua rumah, saya memintanya bertegas dan mengawal perbuatan isterinya itu agar tidak menimbulkan pertelingkahan.

"Sebab dah biasa gaduhlah aku minta nasihat dari kau ni. Bini aku itu jenis cemburu buta. Kau tahulah 'group-group' sekolah ni, macam-macam mesej diorang hantar. Pernah sekali tu member group hantar mesej cerita kisah lama aku 'couple' dengan 'ex girlfriend' aku. Siap bagitau dia ada jumpa dan post gambar terbaru budak itu. Bini aku punya gila, dikejutkan aku dari tidur. Gaduh besar aku malam tu," ceritanya terus terang.

"Kenapa kau tak letak 'password'?" soal saya.

Dia menjelaskan bahawa dia telah meletak 'password' dan ini telah menyebabkan pergaduhan lebih besar.

"Kau sayang bini kau tu ke tak?" soal saya.

Dia menyatakan dia sayangkan isterinya sepenuh hati dan tidak pernah terlintas untuk curang atau menduakan isterinya. Cuma dia benci sikap isterinya yang suka mencuri baca WhatsApp miliknya.

"Sebenarnya masalah ni, bukan masalah kau seorang saja. Ia masalah bagi semua lelaki di dunia ini. Aku yakin 100%, semua lelaki bergelar suami akan mengalami kes isteri membaca WhatsApp suaminya. Bini aku pun sama. Aku tahu, kadang-kadang bila aku tidur dia buka handphone aku baca WhatsApp aku," jelas saya lagi.

"Oh, kau pun sama rupanya? Habis, bini kau tak marah-marah kat kau ke? Atau kau dah awal-awal dah 'warning' dia?" soalnya.

"Isteri kita itu cuma baca WhatsApp kita, tapi kita ini sebagai suami telah menulis semula kisah hidup isteri kita," jelas saya.

"Bahasa kau tinggi bro, aku tak faham," katanya.

"Begini, perempuan sejak mereka belum baligh lagi mereka sudah berangan indah tentang hidup mereka. Mereka nak kekal cantik, langsing, ada suami tampan dan kaya, rumah besar, anak-anak yang comel, suami penyayang dan romantik yang selalu beri hadiah dan pelbagai lagi

"Alih-alih dapat nikah dengan kita, lelaki biasa-biasa, mereka terima kita seadanya. Sebagai suami, kita yang mencatur hidupnya setiap hari sehingga isteri terpaksa tanya apa kita nak makan, nak pakai. Tujuannya supaya kita gembira. Bila kita gembira, mereka gembira biarpun mereka penat dan impian masa kecil mereka sudah hancur. Sejujurnya, mereka sudah lupakan impian itu sejak menikahi kita.

"Cerita hidup mereka kita yang aturkan. Jika dulu mereka berkerjaya, kita suruh berhenti kerja dan jaga rumahtangga. Dulu pinggang mereka slim dan solid, dah asyik beranak, pinggang dengan punggung pun dah sama besar. Mujurlah bini aku masih slim. Haha!

"Jadi, jangan peningkan kepala dan korbankan kebahagiaan rumahtangga kerana nak jaga hati kawan dalam WhatsApp atau menegak ego kita sebagai lelaki dan suami. 'Group' WhatsApp tu jika rasa banyak buruk dari baiknya, 'left group' je. 'Left group' bukan bermakna kita bencikan kawan kita dan tidak 'sporting'. Jika betul kawan, jom datang rumah kenal keluarga atau buat 'reunion'.

"Lagi satu, jangan sesekali rahsiakan 'password' 'handphone' daripada isteri. Kita suami isteri dah biasa tengok yang baik buruk dari pasangan kita, apa lagi rahsia yng lebih dari itu.

"Paling penting, jangan anggap isteri tu suka 'mencuri baca' WhatsApp kita, tetapi anggaplah dia 'berkongsi baca' WhatsApp kita. Jika kau faham konsep tu, kau tak akan bergaduh lagi. Kau faham tak?" bebel saya panjang lebar.

"Faham," jawabnya.

Talian telefon dimatikan setelah perbualan selesai.

Saya baharu perasan isteri ada di sebelah saya sepanjang perbualan itu. Dia sekadar mencebik, barangkali marah dia dilibatkan sama. Aduh.. Tidur seoranglah saya malam nanti. Hahaha! - Izman Pauzi | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.