Gadis Sorok Mayat Bayi Dalam Loker


SEREMBAN - Seorang pelajar perempuan di sebuah kolej swasta di Seremban 2, sanggup menyembunyikan mayat bayinya dalam loker, lapor Sinar Harian

Malangnya, tindakan wanita berusia 22 tahun itu terbongkar apabila dia mengalami pendarahan yang serius akibat bersalin sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mayat bayi perempuan itu ditemui oleh rakan sebilik wanita terbabit. 

"Mayat bayi perempuan itu dibalut dengan tuala dan dimasukkan ke dalam beg plastik ditemui dalam loker wanita itu ketika rakannya sedang mencari ubat yang berkemungkinan menyebabkan dia sakit perut pada hari sebelumnya di atas permintaan pihak hospital. 

"Rakan sebiliknya tidak mengetahui bahawa dia mengandung, sebaliknya hanya menyangka dia menghidap apendiks," katanya. 

Setelah disoal-siasat, wanita terbabit mengaku bersalin dalam tandas bilik awal pagi Isnin dan memotong sendiri tali pusat bayinya dan dibuang ke dalam mangkuk tandas.

"Usia kandungan dianggarkan antara 8-9 bulan. Dia mengaku pernah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya sejak Disember 2015 sehingga mengandungkan anak luar nikah," katanya. 

Polis merampas gunting yang digunakan semasa kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.