Cerita Sebenar: Si Ibu Runsing & Cuba Selesaikan Masalah Penerbangan Tertunda


KUALA LUMPUR - Gambar seorang wanita leka dengan telefon bimbit sementara bayinya diletakkan di lantai di sebuah lapangan terbang (tidak dinyatakan), tersebar di media sosial mencetus kemarahan netizen. 

Wanita berkenaan menghamparkan kain sebagai alas sebelum meletakkan bayi yang baru berusia beberapa bulan itu baring di lantai. Kemudian dia sibuk melayani telefon bimbitnya sementara menunggu penerbangan mereka. 

Tindakan ibu bayi berkenaan jelas sekali menimbulkan rasa kurang senang wanita yang duduk di sebelahnya. 

Netizen mengecam tindakan wanita itu yang sepatutnya fokus menjaga bayinya, bukan sibuk dengan telefon bimbit. Segelintir netizen berpendapat bahawa si kecil itu tidak layak dijaga oleh wanita berkenaan.

Bagaimanapun, laman Hypeness.com melaporkan, wanita terbabit sebenarnya mengalami masalah penerbangan di mana penerbangannya telah ditunda berikutan sistem syarikat penerbangan Delta Airlines tergendala menyebabkan dua beranak terbabit terkandas di lapangan terbang itu.

Difahamkan, Molly Lensing dan bayinya yang berusia dua bulan itu dalam perjalanan ke Colorado untuk menziarahi adik beradiknya.

Gambar tersebut dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson, Atlanta, Amerika Syarikat.

Menurut laman myAJC, Molly, dalam gambar yang tersebar itu sedang cuba menyelesaikan masalah yang dihadapinya untuk membawa anak perempuannya itu pulang.

Perjalanannya mula menghadapi masalah sejak dari awal lagi. Mereka dijadualkan berlepas pada Isnin lalu namun telah ditunda ke hari Selasa. Namun sekali lagi penerbangannya tertangguh selama 6 jam. 

Molly terpaksa menunggu sehingga tengah malam bagi penerbangan yang lain, namun dibatalkan pada saat-saat akhir. Kemudian Molly terus berada di lapangan terbang itu sehingga 4.30 pagi sambil cuba menyelesaikan masalah itu dengan pihak syarikat penerbangan berkenaan. Malangnya, pihak penerbangan menyatakan bahawa tiada lagi baucar yang dapat diberikan kepadannya untuk menginap di hotel-hotel berhampiran. Menyebabkan Molly terpaksa tidur di lantai lapangan terbang bersama anaknya.

Bagaimanapun, netizen masih tidak dapat menerima alasan yang diberikan itu kerana tidak wajar meletakkan anak sekecil itu di lantai.  - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.