'Hati-Hati Kalau Nak Bayar Bil Elektrik' - Pengguna | TNB Beri Kenyataan, Sistem Pengebilan Dinaiktaraf


KUALA LUMPUR - 20 Ogos, seorang pengguna memuat naik status yang meminta pengguna TNB berhati-hati jika mahu membuat pembayaran bil elektrik dan pastikan nombor akaun yang tertera pada bil adalah sama dengan bil yang sebelumnya.

Ini berikutan, bil elektrik bagi bulan Ogos yang diterima oleh Musfirah Ezzah itu, nombor akaunnya berlainan dengan nombor akaun yang dipamerkan pada bil bulan-bulan sebelumnya.

"Tadi bersembang-sembang dengan ayah. Ayah kata nanti kalau nak bayar bil elektrik bulan Ogos ini, kena berhati-hati sikit. Tengok nombor akaun kita dulu sebelum bayar. Ayah cerita, semasa dia mahu membayar bil elektrik bagi bulan Ogos menggunakan Maybank2u (M2U), dia terasa pelik bila nombor akaun yang telah ditetapkan sebagai 'favourite' berlainan dengan nombor akaun yang tertera pada kertas bil bulan Ogos. 

"Lalu saya pun mengumpul bil-bil elektrik rumah ayah untuk bulan Jun, Julai dan Ogos. Ya, memang betul. Nombor akaun Jun dan Julai adalah sama, tetapi Ogos, lain pula nombornya.  Jumlah yang tertera pada bil bulan Ogos adalah dua kali ganda, seolah-olah kami tidak membuat pembayaran pada bulan Julai. Dalam bil bulan Ogos, tertera jumlah terdahulu sebanyak RM131.75. Mana datang pula RM131.75 itu? Padahal ayah memang bayar dengan tepat, RM54.95 bagi bulan Julai," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai menyemak nombor akaun bil elektrik masing-masing, bimbang terbayar bil pengguna yang lain. Musfirah juga memaklumkan bahawa TNB sedang beralih ke sistem baru, yang mungkin mengakibatkan berlaku sedikit ralat dan menimbulkan kesulitan pada pengguna.

Ekoran itu, mereka mengambil keputusan untuk menangguh membuat pembayaran dan menunggu bil bagi bulan September untuk mengetahui jumlah bayaran terbarunya kelak. 



Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 3 Ogos lalu, TNB menyatakan pihaknya sedang dalam proses menaik taraf sistem pembilan sedia ada kepada sistem baru yang lebih bersepadu dan terkini.

Sistem baru tersebut akan membolehkan pelanggannya membuat pelbagai transaksi dan mengakses maklumat yang berkaitan secara online di sebuah portal bersepadu.


TNB telah menggunapakai sistem pengebilan  yang baru dinaiktarafkan. Pertukaran nombor akaun ini dirasakan perlu bagi memastikan kami memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anda. Walau bagaimanapun, nombor akaun lama anda masih boleh digunapakai sehingga diberitahu kelak.

Bagi pengguna yang membuat pembayaran melalui internet banking, pengguna perlu mendaftar semula dengan menggunakan nombor akaun baru di ruangan Favourite Bill Payment, kecuali pengguna Maybank2u dan Bank Islam.

Semasa proses peralihan ke sistem baru itu, sebilangan pengguna mungkin akan menerima bil lewat dari kebiasaan. Ada juga yang menerima bil secara anggaran yang akan diserahkan sama ada secara pos atau serahan tangan oleh pembaca meter. Bil secara anggaran ditentukan oleh sistem dan pelanggan akan menerima bil seperti biasa sebaik proses peralihan selesai.


Untuk maklumat lanjut, pengguna diminta menghubungi pegawai khidmat pelanggan TNB 1300-88-5454 atau berkunjung ke Kedai Tenaga yang berhampiran.  - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.