'InsyaAllah Ummi Yang Akan Pergi Dulu...'


"Puisi ini saya tulis untuk Ummi. Akhirnya saya pula yang menangis bila baca respon dari Ummi," kata Aiman Banna disertakan dengan emoticon ketawa.

Demikianlah kata seorang anak yang menulis puisi khas buat ibunya. Puisi yang ditulis dan dikirimkan melalui WhatsApp itu, penuh dengan kata-kata perhargaan buat wanita bernama ibu. 

Ini puisi untuk Ummi. Aiman buat untuk Ummi
Pada suatu hari
Hilangnya indah dari cahaya matahari
Pada suatu malam, purnama tidak lagi menjadi halwa mata
Pada hari ini
Aku di sisi Ummi
Kerana adanya Ummi
Yang lebih indah dari matahari
Kerana adanya Ummi
Yang bercahaya dari purnama malam
Tiada pernah aku dengar keluh kesah
Dari mulut mulia itu ketika aku ini menyusahkan
Aku nakal, aku jahat, aku berperangai sampah
Tapi tiada pernah aku lihat matanya menyampah
Punya pilihan untuk meninggalkan aku
Tapi tiada sanggup hatinya walau hatiku sekeras batu
Berjuta salah aku buat, satu sahaja aku mohon maaf
Satu senyum dia balas, berjuta kemaafan dan cinta dia belai balas
Kenapa begitu sempurna ya Ummi?
Ummi, mengapa sempurna sebegitu?
Tapi aku kena sedar hakikat
Hakikat bahawa matahari tidak selamanya
Purnama juga akan hilang meninggalkan
Indahnya cahaya matahari tidak hidup kekal abadi
Purnama yang menyejukkan mata tidak mampu meneman si mata dengan abadi
Kerana akhirnya mereka akan pergi
Meninggalkan diri ini, juga semua makhluk
Sifat makhluk Allah tidak kekal
Hanya Allah yang abadi
Ummi, andai aku pergi dahulu, redhailah
Andai Ummi pergi dahulu
Ya Tuhan, janganlah ini berlaku
Biarlah aku pergi dahulu
Tiada sanggup lirikan mataku lihat Ummi pergi
Mana mungkin cukup rindu dalam hati ini
Untuk menampung rinduku pada Ummi
Ya Tuhan, izinkanlah aku pergi berjumpa
Bersua dengan-Mu sebelum Ummiku
Cinta ini untuk Ummi dan ianya kerana Allah
Moga cinta kerana-Nya ini Allah kurniakan kita Syurga
Ummi, syurga itu tempat kita bersama nanti ya?
Dari anakmu, Aiman Banna




"Thank you so much for the poem. It is beautiful. InshaAllah Ummi yang akan pergi dulu..." kata Ummi. 

Sebak baca respon ibu Aiman ini. Bila kali terakhir kita ungkapkan kata-kata indah dan penghargaan pada ibu kita? Jika mereka masih ada, luahkanlah rasa kasih dan sayang kita kepada mereka. Jika tidak dapat ditunjukkan dengan kata-kata, lakukanlah perkara yang boleh menggembirakan ibu anda. - PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.