Kau Nak Hisap Rokok/Vape Sampai Meletup Paru², Saya Tak Kisah Tetapi...'


"Dik, kau jangan nak merokok dalam lif boleh?" tegur saya pada seorang remaja yang sedang merokok di depan pintu lif.

Ketika pintu lif terbuka, saya melangkah masuk. Remaja tadi terus beredar ke arah tangga.

"Eloklah begitu, daripada busuk lif yang dah serba daif ini," getus hati saya.

Sudah beberapa kali juga saya menegur para remaja yang merokok atau cuba merokok ketika menaiki lif di blok apartment saya ini. Ada yang memohon maaf, ada yang buat muka tak puas hati dan ada yang berlalu begitu saja. Setakat ini, belum ada lagi yang mengajak saya bertumbuk.

Pagi tadi, ketika bawa anak isteri bersarapan di sebuah restoran juga terasa nak menegur beberapa orang perokok yang buta hati perut. Tetapi malas nak cari gaduh dengan orang tua, lalu saya simpan saja rasa geram itu.

Nak merokok atau vape itu boleh bang, kau hisaplah sampai meletup paru-paru pun saya tak kisah. Yang saya kisah adalah tempat kau merokok itu. Takkanlah di tengah-tengah restoran yang padat dengan manusia, yang bawa anak isteri bersarapan, kau bantai hisap rokok/vape? Rokok dan vape itu tak salah, tetapi kau yang salah.

Belakang kau ada budak-budak, kiri kau ada anak kecil, depan kau ada meja kosong yang saya tak boleh nak duduk sebab asap kau menderu-deru ke situ. Saya ada anak kecil bang. Kau tak boleh fikir ke? Ke asap rokok tu dah menjejaskan sel-sel otak kau?

Saya bergerak ke arah luar restoran untuk mencari meja lain, namun asal ada meja kosong dan baru nak duduk sahaja, nampak pula malaun di meja sebelah yang asyik menghembus asap berkepul-kepul.

"Adeh! Kau hisap rokok sebelah anak-anak kau bang. Patutlah kau tak kisah merokok kat mana-mana pun. Depan anak isteri kau pun, selamba kau hembus. Apatah lagi orang lain kan?"

Saya melangkah keluar, duduk di kawasan luar. Saya cuba elakkan kawasan luar kerana biasanya perokok yang ada akal dan adab biasanya merokok di kawasan itu. Namun memandangkan belum ada yang merokok maka kami sekeluarga duduk dan makan di kawasan luar tersebut.

Itu baru di restoran, belum lagi di dalam tandas awam, stesen kereta api, hentian bas dan macam-macam tempat lagi. Sampaikan tengah beratur nak beli nasi lemak pun ada juga.

Ingat abang-abang, adik, kakak dan perokok sekalian, kita bukan membenci kau orang yang merokok atau vape, tetapi kami benci cara kau memilih tempat untuk melakukannya. Mungkin anak isteri kau memang dah "immune" atau suka dengan bau asap vape kau itu. Tetapi anak isteri orang lain tidak. Girlfriend kau mungkin stim dengan bau asap rokok kau itu, tetapi girlfriend orang lain tidak. Kawan kau mungkin tak kisah asap rokok yang berkepul-kepul kau hembus depan muka dia itu, tetapi kawan orang lain tidak bhaiii.

Jadi kau pandanglah kiri kanan depan belakang sebelum nak merokok. Ingat bahawa, tidak semua orang suka dengan asap yang berkepul-kepul itu. Kita hidup ini biarlah memberi manfaat kepada orang kerana itulah sebaik-baik manusia. Kalau tak boleh, maka janganlah kau menyusahkan dan memudaratkan orang lain kerana itu adalah seburuk-buruk manusia. Maaflah kalau kau terasa. - Khairul Abdullah | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.