'Krim Murah Punya Pasal...'

Foto kecil, sumber dari Harian Metro & Sinar Harian

KOTA TINGGI - Akibat menggunakan produk kecantikan murah, seorang pembantu jualan di Econsave Kota Tinggi terpaksa menanggung malu dan derita apabila wajahnya ditumbuhi tompok-tompok putih seakan-akan panau, lapor Sinar Harian & Harian Metro

Zainani Zakaria, 48, sebelum ini menggunakan krim kosmetik jenama lain, tetapi membuat keputusan untuk menggunakan produk yang harganya lebih murah, diperkenalkan oleh rakannya.

Malangnya, wajah Zainani mula menunjukkan kesan sampingan selepas beberapa kali menggunakan krim tersebut. Keadaan bertambah lebih buruk apabila dia kembali menggunakan produk kosmetik yang sebelumnya.

"Kulit muka saya mengalami kemerahan dan gatal-gatal. Kulit terasa seperti mengelupas terbakar, luka dan berdarah. Sebahagian kecil bulu mata dan kening menjadi warna putih," katanya yang kini terpaksa memakai topeng muka kerana malu berdepan dengan pelanggan yang bertanya. 

"Saya rasa malu apabila wajah saya menjadi perhatian orang ramai sehingga ada yang bertanya kenapa dan sebagainya. Pernah cuba mendapatkan rawatan di klinik pakar kulit, tetapi kosnya yang terlalu tinggi menyebabkan saya tidak dapat meneruskan rawatan. Kemudian, rakan menyarankan saya mencuba madu kelulut. Alhamdulillah ada sedikit kesan positif," katanya. 

Zainani juga telah membuat aduan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi dan Pejabat Kesihatan Johor Bahagian Perkhidmatan Farmasi. Kedua-dua pihak berkenaan mengesahkan bahawa dakwaan wujudnya kesan sampingan menggunakan produk itu sememangnya berasas. 

"Surat itu juga memaklumkan mereka telah melakukan siasatan awal berdasarkan maklumat sampel produk yang saya berikan. Saya cuma berharap orang ramai terutamanya wanita berhati-hati memilih produk kecantikan.

"Saya berkongsi masalah ini bukan kerana mahukan wang tetapi berharap agar ada pihak yang dapat membantu saya memulihkan kembali wajah ini kerana saya tidak mampu keluarkan kos yang besar," katanya. - PIXEL MEDIA

Nota kaki: Untuk makluman, nama produk yang digunakan oleh mangsa tidak didedahkan oleh kedua-dua agensi berita tersebut berikutan dakwaan mangsa masih lagi dalam siasatan. Pengguna dinasihatkan tidak membeli sebarang produk kosmetik yang tidak berdaftar dan tidak mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia. 

No comments

Powered by Blogger.