'Mak Abah, Doakan Intan Bahagia Di Dunia & Akhirat'


Cerita ini mungkin sudah lama viral di media sosial, namun pengajarannya masih berguna sehingga ke hari ini. Kepada ibu bapa yang suka membanding-bezakan anak-anak, bacalah dengan hati yang terbuka. Kepada anak-anak, sayangilah ibu bapa anda walaupun adakalanya mereka tidak menyenangkan hati kamu. 

Lapang benar dada Pak Uwei apabila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memaklumkan bahawa nama dia dan isteri tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini. 

"Tetapi pakcik kena bayar segera bahagian makcik yang masih belum mencukupi sebanyak RM3,000 itu. Bayaran itu mesti dibuat selewat-lewatnya minggu depan," beritahu pegawai itu. 

"InshaAllah encik, saya akan bayar segera yang mungkin," janji Pak Uwei. 

Berita gembira itu segera dikhabarkan kepada isteri kesayangannya. Sebaik saja keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah. 

"Pah! Oo Pah!" teriak Pak Uwei sebaik saja turun dari keretanya. 

"Apa benda terjerit terlolong ni bang?" tanya Mak Pah.

"Ada berita baik ni Pah. Nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. InshaAllah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah itu sudah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan wajah yang berseri-seri.

"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu yang dia dengan Minah tidak dapat pergi. Nama mereka tiada dalam senarai," kata Mak Pah.

"Betullah Pah oii. Saya ni baru saja balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak itu kena bayar selewat-lewatnya minggu depan," Pak Uwei cuba yakinkan isterinya. 

"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? RM3,000 itu bukan sikit. Itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu," Mak Pah merenung gusar wajah suaminya. 

"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma RM2,000 seorang saja," wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anak yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya. 

"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak itu balik. Boleh kita berunding," cadang Pak Uwei. 

"Kalau tak cukup bahagian saya itu, awak sajalah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang. Lagi pun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah pun minta duit anak," Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan suaminya. 

"Pah, Muaz dan Balkis itu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar mereka belajar tinggi-tinggi, takkanlah nak hulur RM2,000 pun tak boleh? Lagi pun selama ini kita tidak pernah meminta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin mereka tidak akan menghampakan kita kali ini," yakin benar Pak Uwei, harapannya pada anak-anak setinggi gunung. 

"Tetapi bang..." 

"Sudahlah, pergi siapkan kerja awak itu. Tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon mereka berdua," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. 

Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang. Kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya. 

"InshaAllah Kis akan balik nanti Abah. Abah nak Kis suruh Intan balik sama?" soal Balkis. 

"Ikut suka kaulah. Bagi Abah, yang penting kau dan Muaz. Intan tu, ada ke takde ke, sama saja. Balik ya," balas Pak Uwei. 

"ANAK TAK MENDENGAR KATA, IKUT SUKA HATI KAULAH!"

Bukan dia membeza-bezakan anaknya tetapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tidak mahu mendengar kata anaknya itu membuatkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya mengenggam ijazah masing-masing. 

Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat, gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja di kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun yang lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing. 

Abah tak setuju kau nak kerja di kilang di Kuala Lumpur tu. Abah nak kau sambung belajar lagi," tegas Pak Uwei. 

"Intah sudah tidak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram," jawapan Intan itu membuatkan Pak Uwei naik darah. 

"Aku suruh kau belajar, kau tak nak. Kau nak kerja kilang. Kau tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duduk di Kuala Lumpur jauh dari mak bapa? Bolehlah buat apa yang kau suka kan? Kau nak bebas macam tu?" kata Pak Uwei. 

"Itulah abah, selalu nampak yang buruk saja. Bukan semua yang kerja kilang duduk di Kuala Lumpur itu jahat. Abah, kerja apa dan di mana pun sama saja. Pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah," Intan cuba membuatkan abahnya faham. 

"Kenapalah kau seorang ni, lain benar perangai dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis, tak pernah membantah cakap macam kau ni!" bentak Pak Uwei. 

"Intan memang tak sama seperti Balkis. Abah, Intan suka berterus-terang. Kalau tak kena, Intan cakap depan-depan, bukannya membebel di belakang," balas Intan selamba menyemarakkan lagi api kemarahan Pak Uwei. 

"Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah! Kalau kau nak pergi, pergi. Aku dah tak larat nak melarang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah! Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!" Pak Uwei beredar masuk ke bilik. 

Sejak dari kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan langsung apa yang Intan lakukan. Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya. Intan selalu menghulur duit tetapi hanya kepada ibunya sahaja. 

"ABAH ADA HAJAT"

Riang hati Pak Uwei bukan kepala bila anak-anaknya pulang. Tambahan dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. 

Malam itu, selesai menikmati makan malam dan sembahyang Isyak berjemaah, mereka duduk berborak di ruang tamu. 

"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara. 

"Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya. 

"Abah dan mak kau nak ke Mekah. Nama sudah ada dalam senarai. Tetapi memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, RM2,000 seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan hasratnya. 

"Boleh tu boleh abah tetapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru saja keluarkan wang simpanan buat deposit beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz. 

"Tetapi, pegawai Tabung Haji minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan," kata Pak Uwei. 

"Kalau dalam seminggu dua ini abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun, cukup bulan ini. Nak cukupkan duit deposit itu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah. 

"Kau beli rumah lagi? Rumah yang ada itu kau nak buat apa?" soal Pak Uwei melindungi kekecewaannya. 

"Rumah baru tu besar sikit, Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak itu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi, Abah. Pelaburan masa depan juga," sampuk Mira, isteri Muaz. 

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. 

"Kamu macam mana Kis? Boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu itu bila ada rezeki berbuah durian di dusun kita itu nanti," Pak Uwei berpaling pada Balkis. 

"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah sebab Kis baru saja keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni, faham sajalah. Ini tak lama lagi nak bersalin, nak guna duit lagi," kata Balkis. 

Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis. 

"Man bukan tak mahu tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh, tetapi yelah kata orang kalau nak ke Mekah ini tak elok guna duit pinjaman," sampuk Azman. 

"Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz. 

Kata-kata Azman dan Muaz itu bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharapkan itu menghampakannya. 

"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu. Nanti kalau dah ada rezeki, mak pula yang pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan. 

"Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi. Dah tak ada rezeki kita, nak buat macam mana?" Pak Uwei bingkas bangun masuk bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa yang penuh kekesalan. 

Intan tahu ayahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tetapi Intan faham kecewa ayahnya itu teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disangku akan mengecewakannya begitu. 

"Anak awak tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya. 

"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya. 

"Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat isterinya bersiap-siap.

"Nak pergi ke kedai Long Semah tu, nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya," sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut begitu.

Bukan sekali dua dia menegur sikap suaminya yang gemar membeza-bezakan anak-anak. 

"ABAH, MAK, INTAN ADA BENDA NAK CAKAP..."

Pagi Isnin itu, selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak keluar.

"Nak keman Intan pagi-pagi dah bersiap ni? tanya Mak Pah. 

"Intan ada hal sikit kat bandar mak, Intan pergi dulu ya,"

"Kalau nak ke bandar, suruhlah abah kau hantarkan," suruh Mak Pah.

"Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu ya mak," katanya melangkah pergi. 

Mak Pah menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuatkan anaknya itu menyisihkan diri. 

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari. 

"Kau ni Intan, buat apa sampai lama benar-benar di bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai. Mak masak lemak cili api," Mak Pah mempelawa Intan ke meja makan. 

"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan. 

"Mak bapak memang tak pernah melupakan anak-anak. Cuma anak-anak saja yang melupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis membuatkan Intan tersenyum pahit. 

Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor. Kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar, Mak Pah pula melipat kain. 

"Mak, abah, Intan ada hal sikit nak cakap ni," ujar Intan menghampiri mereka. 

Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya, kemudian menanggalkan cermin mata. 

"Apa hal? Kamu nak kahwin ke?" soal Pak Uwei merenung Intan. 

Intan tergelak besar mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tergelak sama, begitu juga dengan Mak Pah. Riang rasa hatinya meliaht kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. 

"Abah ni, ke situ pula." 

"Habis tu?" soal Pak Uwei. 

"Ini, kad Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. yang ini resit duit dah dimasukkan ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan dan ini duit RM2,000 untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang duit RM200 ini untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti," Intan serahkan duit itu ke dalam genggaman tangan abahnya. 

"Apa?!" Pak Uwei terkejut dan tergamam. Matanya merenung Intan dan duit ditangannya, bagai tak percaya. 

"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan abah. 

"Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan, hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. 

"Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin. Selepas tu, mak pula tak sihat. Sekarang ini masa yang sesuai, Intan harap abah sudi terima pemberian Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia. 

"Terima kasih Intan, malu rasanya abah nak ambil duit kamu. Dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi. Tetapi akhirnya anak abah yang kerja kilang ini yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat air mata. Terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya. 

"Sudahlah abah, yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi menerima pemberian Intan," pujuk Intan. 

"Pemberian kau ini terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan," ujar Pak Uwei. 

Intan memeluk abahnya dengan erat. 

"Hah! Itulah jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ini," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran. 

"Mak ni," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. 

MASA YANG DINANTIKAN SUDAH TIBA

Dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba. 

"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik ibunya memerhatikan Mak Pah yang sedang mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

"Dah rasanya, ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?" soal Mak Pah.

"Tak ada mak, mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna," kata Intan.

"Hah! Awak dengar tu, kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua beranak itu. 

"Intan tak mahu mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu saja yang Intan mahukan, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil memeluk ibunya. 

Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan, tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu. 

PULANG KE MALAYSIA

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai menyentap tangkai hatinya.

Pak Uwei terkenang akan mimpinya bertemu dengan Intan di Tanah Suci. Intan tak berkata sepatah pun, tetapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh. 

"Kenapa resah saja ni bang?" Mak Pah terjaga.

"Entahlah Pah, saya teringat sangat pada Intan dan anak-anak kita," 

"Sabarlah, dah nak sampai ni," pujuk Mak Pah. 

Sampai di lapangan terbang, dari jauh lagi Pak Uwei ternampak Muaz dan Azman sedang menunggu mereka. 

"Mak, abah..!" Muaz meraih ibunya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju. 

"Mana yang lain? Kamu berdua saja ke?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

"Mereka sedang menunggu di rumah, abah," beritahu Azman sambil mencium tangan Pak Uwei.

"Intan pun tak datang juga ke?" soal Pak Uwei hampa. 

"Awak ni, kan Man dah kata mereka menunggu di rumah?" Mak Pah menggeleng kepala. Dua tiga hari ini asyik nama Intan saja yang disebut suaminya. 

Perjalanan selama tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut terasa bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. 

"Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit memanggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ini, tentu dia geli hati," cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman.

Muaz mengerling Azman yang sedang memandu. 

"Tentulah abah ingatkan Intan sebab Intan yang bagi duit," balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu. 

"Tapi abah rasa macam ada yang tak kena saja, Az. Dalam mimpi itu, abah nampak Intan macam nak beritahu yang dia nak pergi jauh. tetapi dia tak bercakap pun, hanya merenung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?" soal Pak Uwei.

"Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu ya abah. Tentu mak pun dah haus," ajak Azman. 

"Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik rumah," tolak Pak Uwei.

Azman dan Muaz berpandangan. Sebaik saja turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

"Mak dan abah sihat?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibu bapa mertuanya. 

"Sihat, cuma batuk sikit-sikit saja. Intan mana? Dia tak balik ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. 

"Naik dulu Ngahnya," suruh Long Semah.

"Intan mana?" tanya Pak Uwei mula hilang sabar bila tiada seorang pun yang memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baju yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. 

Dadanya bergetar.

"Az, mana Intan? Mana adik kau?" tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

"Sabar abah," Muaz menggosok belakang bapanya. 

"Kenapa Az, kenapa?" 

Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan. 

"Mak, Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu-sedan memeluk ibunya yang terduduk lemah. 

Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga, dia meliaht anak menantu mengelilinginya. Pak Uwei duduk di tepi kepala isterinya. 

"Sabarlah Ngah, inilah dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak meliaht kamu naik haji sudah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

"Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang sudah tahu yang dia tidak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala silap dan berpesan supaya kita jangan bersedih di atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia," 

Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu. 

"Bila dia meninggal? Siapa yang menghadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah.

"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya. Sebenarnya dia ajak kami balik ni, katanya nak kemaskan rumah sebab mak dan abah nak balik. 

"Masa sampai tu, dia sihat lagi. Tiba-tiba malam Khamis itu selepas solat Isyak, dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Masa itulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal dunia pada waktu Subuh hari Jumaat, mak. Tiga hari yang lalu. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang," cerita Muaz. 

Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya. Terkenang bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan. 

"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu saja yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.." 

Semoga cerita ini memberikan iktibar dan pengajaran kepada kita. - Facebook | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.