Menantu Jahanam!


KINABATANGAN - Berang selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain menyebabkan seorang lelaki menetak dan menikam bapa mentuanya hingga mati.

Dalam kejadian jam 7.45 malam kelmarin, mangsa, Andy Arif Fatah, 47, parah diserang selepas bergaduh di sebuah rumah kongsi di Ladang Lebih Jaya, di sini.

Sebelum kejadian, isteri suspek dipercayai keluar dari rumah dan tinggal di kediaman bapanya kerana mendakwa suspek seirng mendera dengan memukulnya. 

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat berkata, seorang lelaki yang juga rakan mangsa datang ke rumah berkenaan menyebabkan berlaku pergaduhan. 

"Suspek yang tidak berpuas hati bertindak memukul lelaki itu sebelum bapa mentuanya campur tangan dengan meleraikan pergaduhan itu dan mengarahkan lelaki terbabit beredar. 

"Bagaimanapun, suspek menghayun parang ke arah mentuanya menyebabkan mangsa mengalami luka di bahu kiri," katanya. 

Pada masa yang sama, mangsa sempat menolak menantunya namun rakan suspek yang datang dari arah belakang terus melibas parang ke arah sebelah kiri tengkuk mangsa, menyebabkan kecederaan parah. 

"Rakan suspek sekali lagi mengayunkan parang ke arah mangsa menyebabkan luka teruk di bahagian belakang punggung sebelum mangsa rebah. 

"Tidak cukup dengan itu, seorang lagi rakan suspek menikam mangsa selain menetak kaki kiri mangsa.

"Sebaik polis tiba di lokasi kejadian, mangsa sudah meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut," katanya.

Susulan kejadian itu, empat suspek telah ditahan termasuk menantu mangsa. 

"Keempat-empat suspek berusia 16 hingga 29 tahun ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, awal pagi semalam. 

"Semua suspek yang merupakan warga asing kini direman untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.  - HARIAN METRO

No comments

Powered by Blogger.