'Satu Malam Aku Memandu Ditemani 'Benda' Itu Di Highway Plus...'


Aku nak cerita sikit pengalaman aku sendiri pada malam Ahad (8 Ogos 2016) di Highway Plus dari Ipoh menghala ke Kuala Lumpur. Maaf kalau cerita aku ini buat korang rasa tak selesa atau takut. Tetapi itulah, aku nak cerita juga sebab maklumlah pertama kali terkena hal seperti ini. 

Ceritanya, weekend semalam aku ada family trip 3 hari 2 malam ke Pulau Langkawi. Bertolak dari Puncak Alam pada Jumaat petang dengan dua buah kereta. Cerita yang aku nak beritahu ini sebenarnya ialah masa perjalanan balik dari Alor Setar sampailah ke Puncak Alam ini. 

Maghrib Ahad itu, bermulalah perjalanan kami sekeluarga dari Kuala Kedah ke Puncak Alam. Sudah tentu sekali kena lalu Highway Plus, kena lalu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan barulah sampai ke Selangor kan. Entah macam mana aku terlupa nak baca doa, even doa naik kenderaan pun aku terlupa nak baca! Excited punya pasal agaknya pada masa itu, excited nak upload gambar di Instagram juga agaknya. Jangan bash, memang salah aku. 

Masa awal perjalanan di Kedah dan Pulau Pinang, keadaan masih normal lagi. Pada masa ini, bukan aku yang memandu. Aku cuma penumpang sahaja. Bila sampai di Perak dan Rnr Sungai Perak, abang ipar aku dah rasa mengantuk gila. Jadi, kitorang pun exchange tugas. Abang ipar aku tidur sebab dah penat sangat. Abang aku pula memandu kereta abang ipar aku. JAdi aku kena pandu kereta abang aku. Dari sinilah kejadiannya bermula. 

Bermula dari RnR Sungai Perak lagi aku rasa tak yakin dan takut walaupun aku tak tahu apa benda yang aku takutkan itu. Aku memang ada masalah lemah semangat tetapi bukan bermaksud aku ini penakut. Selepas saja terowong di Ipoh itu, kemudian lalu Tol Jepang kalau tak silap dan sampailah ke Simpang Pulai, aku dah boleh kira aku dah termasuk dalam 'game' benda ini. 

Jam 1 pagi lebih, aku memandu perlahan di area Simpang Pulai ini dan terpandang satu menara pencawang elektrik voltan tinggi di sebelah kanan. Aku perhatikan ada satu benda putih seperti layang-layang tersangkut di atas pencawang itu. Curious punya pasal, aku pun tenunglah benda itu lama-lama untuk memastikan apa benda yang tersangkut itu sampailah kereta yang dipandu lalu di tepi pencawang itu. 

"Ahh! Sudah!!!" 

'Benda' itu terjun turun dari pencawang, melompat dan terbang mengikut arah kereta aku. Masa itu aku dah tak boleh buat apa-apa, hanya mampu memecutkan kereta sambil baca surah-surah dalam hati sebab mulut aku memang terkunci pada masa itu, tergamam. 

Aku mula perasan yang 'benda' itu mengekori kereta aku semasa di Gopeng. Bila aku toleh ke kanan, 'benda' itu terbang di seberang jalan atas pokok-pokok. Aku cuba pandu selaju mungkin, 130kmj/140kmj tetapi 'benda' itu masih juga mengekori. 

Selepas itu aku beri hint tangan, suruh mak aku di sebelah tidur, nak sedapkan hati punya pasal sebab aku tak mahu mak ajak borak tetapi aku tak dapat nak layan sebab aku memang tak boleh nak bercakap langsung pada masa itu. Kakak dan adik di belakang memang sudah tertidur. 

Bayangkanlah dari Simpang Pulai di Ipoh sampailah ke RnR Tapah, aku dikejar 'benda' yang aku syak pontianak itu. Bila dah sampai RnR Tapah, aku rasa macam dah lega sikit sebab ramai orang tetapi masih tergamam. Namun aku dah boleh buka mulut baca apa-apa yang patut. Masa ini, aku masih belum berani keluar dari kereta. Aku rehat dan tidur di dalam kereta saja sambil menunggu kereta abang ipar. Sambil-sambil itu usha-usha atas pokok, ada lagi ke tidak 'benda' itu. 

Abang aku ada di kereta lagi satu, memang dah kena tinggal dengan aku masa ni. Diorang lambat sampai ke RnR Tapah sebab aku speeding gila-gila, takut punya pasal. 

Jam 2 pagi, aku tersedar dari tidur bila abang aku ketuk-ketuk pintu kereta, ajak gerak dari RnR Tapah itu. Aku tak sedar rupanya diorang parking dekat-dekat dengan aku juga. 

Kemuncaknya aku kena bila perjalanan selepas RNR Tapah inilah. Selepas saja RnR Tapah, aku memang dah memandu dengan laju gila di lorong kanan sebab masih tak sedap hati. Perasaan tergamam itu masih belum hilang lagi sejak insiden di Simpang Pulai. 

Sampai di Slim River di kawasan yang boleh nampak Hospital Slim River, aku perasan makhluk itu ada lagi sebab bila aku nak toleh ke kanan pandang hospital, benda itu terbang di seberang jalan.

"Ah sudah! Pontianak itu masih mengekori kereta aku!" 

Mujur aku sudah mula tersedar pada masa itu, sepatutnya jangan dilayan untuk lari daripada 'benda' itu. Hati aku kuat kata jangan layan, jangan lari, duduk lorong tengah saja, memandu dengan relaks. 

Dugaan seterusnya lain pula, aku nampak jalan yang aku lalui all the way turun bukit curam. Yess! Walaupun tak ada bukit bukau di kawasan itu tetapi aku nampak dengan kepala mata aku sendiri yang jalan di Slim River ke Behrang itu turun bukit macam di Karak. Sah! Aku dah kena game dengan benda itu! Aku baca-baca surah dan zikir dengan lebih kuat tetapi tak boleh juga sebab mulut terkunci. Dah pasang radio ceramah-ceramah agama tetapi 'benda' itu masih mengekori. 

Sehinggalah tiba di area Behrang, aku sekali lagi diuji bila 'benda' itu menjelmakan diri di depan kereta aku secara mengejut! Mujur aku bawa perlahan di lorong tengah weh! Aku sempat mengelak ke kiri, nasib baik tak ada lori treler atau bas di sebelah kiri. Kurang ajar gila 'benda' yang aku syak pontianak itu dah cuba nak buat kereta aku terbabas. Semua orang dalam kereta terjaga sebab mereka ingatkan kami nyaris kemalangan. 

Bermula dari saat itulah mak, kakak dan adik aku berjaga. Mungkin mereka fikir yang aku mengantuk tetapi mereka tak tahu yang aku sebenarnya menahan diri dari menangis sejak dari Simpang Pulai lagi. Masa ini badan aku dah lemah gila sebab terkejut. Jadi aku pandu perlahan di lorong tengah sebab dah tergamam sangat. Rasa macam nak pengsan saja pada masa itu, sampailah kami berhenti di RnR Rawang. Aku minta abang pula yang pandu sebab aku dah memang tak boleh memandu. 

Dari RnR Rawang, 'benda' itu dah tak mengekori kami tetapi aku masih baca ayat kursi dan surah semua itu sampailah di depan pintu rumah. Even masa nak baring tidur pun aku baca sampailah aku terlelap sendiri. 

Jadi inilah pengalaman aku. Keesokkannya, barulah aku cerita pada keluarga aku dan mereka sebenarnya juga sudah perasan yang aku dikejar oleh 'benda' itu dan nampak aku lain macam. 

Pengajarannya di sini, kalau korang terkena situasi seperti ini semasa memandu, tolong jangan layan benda itu dengan memandu laju untuk lari dari 'benda' itu. Buat tak tahu sahaja. Yang penting jangan mengelabah seperti aku. Cuba bayangkan kalau masa di Behrang itu aku pandu laju 140kmj selepas itu aku elak benda itu, sudah pasti kereta aku terbalik dan berpusing-pusing. Nauzubillah. - FA | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.