'Selama Ini Kami Tak Tahu Ibu Terlalu Penat' - Anak² & Suami Kesal Abaikan Wanita Terpenting Dalam Hidup Mereka


Ditulis oleh Normi Nas

Ada satu 'variety show' Korea tu tentang masalah yang dikemukakan oleh peserta untuk pertimbangan penonton-penonton rancangan tersebut. Lalu ada seorang remaja lelaki mengadu tentang ibunya yang ada masalah 'mood' yang tak menentu. Dia dan abangnya sering dimarahi dan kadang-kadang tak kira masa dan tempat. Ayahnya rileks saja.

Rancangan tersebut terus melakukan siasatan dengan meletakkan kamera di beberapa sudut rumah. Bila mereka meninggalkan kediaman, ada jurukamera yang ikut. Mereka juga di interview pihak program. Tempohnya mungkin seminggu dua juga untuk pihak TV melakukan siasatan dan rakaman.

Bila ditayangkan semula di studio di hadapan penonton, selebriti jemputan dan keluarga tersebut, memang betullah ibunya jenis 'mood swing' tahap kronik.

Pernah sekali itu, remaja tersebut dimarahi di depan kawan-kawan ibunya. Padahal baru 5 minit lepas ibunya tersenyum dan mengajaknya makan.

Wanita itu juga kerap berleter dan bunyinya nyaring betul. Sakit telinga. Kadang-kadang naik tangan juga pada anak-anak lelakinya. Pengarah program pun kena marah juga.

Semua penonton kerut dahi, malah selebriti juga geleng kepala. Kita yang tengok di kaca TV pun rasa, 

"Wah, kesiannya jadi anak-anak dia, mujur tak ada anak perempuan kalau tak, nangis sajalah kerjanya."

Selepas habis 'part' anak, produksi mula menyingkap hasil siasatan lanjut dan punca ibunya begitu. Program tersebut mula menayangkan di skrin bagaimana ibunya terpaksa mengemas rumah, memasak, basuh baju, sediakan pakaian dan keperluan dua anak lelakinya yang dah besar dengan suaminya itu. Padahal si ibu bekerja sebagai tukang cuci (cleaner) di restoran dari pagi sampai petang.

Kamera turut mengikuti ibu tersebut ke tempat kerjanya. Teruk juga tugas wanita itu, memang memenatkan. Iyalah, 'cleaner' ni kerjanya sangat fizikal.

Di rumah, anak-anak lelaki makan dan tinggal segala pinggan mangkuk berlambak-lambak dalam sinki. Pakaian main sepah sana sini. Yang si ayah balik kerja, mandi terus duduk atas sofa tengok TV. Bila isteri siap masak, dia makan. Selepas itu kembali duduk semula di sofa.

Masa si isteri sibuk menyapu lantai, si suami hanya angkat kaki tinggi-tinggi beri laluan pada isteri untuk menyapu kemudian tak bergerak-gerak depan TV. Sampah pun tak mahu tolong buangkan. 

"Oh... senangnya kerja suami dia."

Sepanjang program tayangkan video klip mereka di rumah, memang punggung suami dah macam melekat di sofa. 

Anak-anak lelaki selain kerjanya duduk bilik dengar muzik, seorang lagi asyik bergayut dengan teman wanita, mereka asyik keluar rumah jumpa kawan-kawan. Balik buat bising sampai ibunya stress.

Dan di video-video terakhir, pihak program menayangkan si ibu kadang-kadang terduduk di meja dapur keletihan dan menangis. Dalam interview, wanita itu menceritakan betapa penatnya hidup dia sehari-hari. Melihatkan keseluruhan video tersebut, penonton terdiam dan ada yang menangis. Pengacara juga sampai tak tahu nak kata apa.

Yoo Jae Suk (pengacara) berkata, "Saya rasa insaf pula. Saya perlu muhasabah diri saya sebagai suami dan menghargai isteri saya."

Dan sudah tentu anak-anak lelakinya juga menangis. Bila pengacara mengajukan soalan apa perasaan mereka setelah melihat keseluruhan klip video, mereka kata, 

"Selama ini, kami tidak tahu ibu terlalu penat. Dan baru kami tahu betapa teruknya perangai kami."

Suaminya juga turut insaf dan beberapa kali juga dia diperli pengacara tentang 'melekatnya' dia di sofa sepanjang masa. Dan dengan insafnya lelaki itu berkata, 

"Maafkan saya kerana membiarkan awak (isteri) kepenatan. Mulai hari ni saya takkan buat begitu lagi cuma jangan suruh saya buang sampah."

Oh my...

Pengajarannya:
  1. Jangan mudah buat kesimpulan. Siapa salah dan apa puncanya ni bukan proses yang sekejap dan mudah.
  2. Hargai ibu anda.
  3. Jangan ambil mudah.
  4. Elakkan menjadi anak dan suami tak guna, lebih-lebih lagi terhadap isteri atau ibu yang dah korbankan tenaga dan masanya.
  5. Ini bukan tentang tanggungjawab saja. Ia tentang sifat kemanusiaan.
  6. Dan banyak lagi pengajaran yang masing-masing boleh fikirkan sendiri.
Sekian perkongsian daripada saya, Normi Nas | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.