'Tak Mengapa Anak Tak Dapat A Dalam Pelajaran, Bersyukurlah Dia Ada A Dalam Kehidupan'


Akhir-akhir ini, saya lihat anak perempuan sulung sangat 'down'. Dengan prestasi pelajarannya yang merosot, akhlak yang membuatkan dirinya tercorot, hidup yang sangat serabut. 

Suatu hari saya duduk di sebelahnya. Saya sebut namanya, saya baringkan dia di riba saya. Perlahan-lahan saya usap rambutnya, cium dahinya. Saya tahu, sudah lama saya tak buat begitu sejak ada dua orang adiknya. 

Dia selalu kena marah, selalu kena buatkan susu atau siapkan adiknya selepas mandi, selalu kena tinggal dan terlalu banyak yang saya abaikan. 

Anak sulung, namanya Alifatun Nadirah. Panggilan nama manja, Ifa. Pelajar terbaik dalam Dunia Muzik dan Ketua Pengawas Tahun 3. Suka merajuk, suka apa yang ayahnya suka. 

Dalam ribaan saya, dia meminta maaf sebab telah banyak menyakitkan hati saya dan ibu. Dia menangis teresak-esak. Dia kata dia mahu menjadi pandai tetapi dia kadang-kadang tidak faham soalan. Kadang-kadang dia penat dan dia nyatakan betapa dia rindukan saya yang lebih banyak dengan ibu dan adik-adik berbanding dirinya.

Saya mendengar luahannya itu dengan hati yang terbuka. Saya meminta maaf di atas segala-gala  yang telah saya lakukan. Saya berjanji akan berusaha menjadi lelaki yang baik pada dirinya. Lelaki itu adalah Ayah yang baik, kawan yang setia, teman yang selalu ada. 

"Dah besar rupanya anak aku," kataku dalam hati. 

Hari ini dan selepas ini, dia mula bangun menjadi seorang anak yang baik. Cuba memikul berkilo berat begnya ke sekolah, mengorbankan waktu pelajarnya demi menjaga keselamatan pelajar yang lain, menyayangi adik-adiknya, menghormati ibu dan ayahnya serta menolak cinta dari lelaki buaya yang hanya tahu bermain Pokemon Go. 

Tugas kita adalah menyediakan anak yang baik, anak yang mudah dididik. Jadikan sunnah meminta pendapat anak dan mendengar hatinya. 

Keluarga kita adalah tafsiran dan teguran dari Tuhan. Ambillah, semoga itu membentu kita menjadi seorang insan. Sekalipun kita tidak ada anak yang mendapat A dalam mata pelajarannya, bersyukurlah dia ada A dalam kehidupan. - Abu Hurairah Asifa | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.