'Usah Galakkan Para Belia Kahwin Muda...'


Saya ex-UIA. SAya berkahwin pada tahun pertama pengajian. Saya dan suami tidak pernah bercouple, tetapi selepas istikharah dan kedua-dua keluarga pun beri reaksi positif, tambahan kami berdua juga mempunyai biasiswa, maka kami pun diijabkabulkan. 

Kami tidak mempunya masalah study, graduate on time, mempunyai anak sewaktu belajar kemudian kami bekerja. Sudah pasti banyak cabaran dan pengorbanan yang diberikan. Tetapi pada mata kasar manusia, semuanya okay dan kami bahagia sehingga kini. Alhamdulillah. 

Mungkin disebabkan itu juga kami selalu dijemput untuk memberikan ceramah motivasi, forum bagai untuk membincangkan perihal kahwin muda. Dengan kata lain, menggalakkan kahwin muda. 

Tetapi kami tidak pernah menerimanya. Kami mohon maaf, kerana walaupun kami berkahwin awal, kami tidak bersetuju untuk mempromosikan kahwin muda, tidak pula kami menghalangnya. Kerana bagi kami, jodoh itu datang pada masa terbaik, dengan orang terbaik dalam keadaan hati kita yang terbaik yakni benar-benar sudah bersedia. Dan Allah akan mempermudahkannya jika itu yang terbaik buat kita. 

Kami sendiri tidak pernah letak dalam perancangan hidup untuk berkahwin awal. Tetapi Allah bukakan hati kami, segalanya dipermudahkan. So be it early, late or none at all, di syurga pasti ada pendamping buat setiap orang. No pressure. Yang penting jangan berhenti berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang soleh. 

Antara sebab yang membuatkan kami tidak bersetuju untuk para belia terburu-buru atau asyik berfikir untuk mencari jodoh pada usia muda ialah, banyaknya risiko penceraian. Ya, bukan semua dan ramai yang kekal bahagia, Alhamdulillah Allah masukkan kami dalam kumpulan itu. 

Tempoh Perkahwinan Bertahan 1-3 Tahun

Tetapi perkara cerai ini cukup banyak. Mungkin karakter saya yang good listener, ramai rakan yang menghubungi saya untuk meminta pendapat dan bantuan proses penceraian mereka. Even kawan yang telah bertahun-tahun tidak berhubung mencari saya untuk membantu mereka. Setakat yang saya bantu sahaja dalam dua tahun ini, ada seramai 13 orang. Kawan saya yang saya tahu, tetapi bukan handle secara first hand, 9 orang. Total 22 orang dalam circle saya sahaja. 

Kesemua berusia lewat 20'an sekarang. Kesemua mereka wanita yang baik, beragama, bekerjaya, berpendidikan tinggi. Bukan salah mereka, kesemua berkahwin sama ada ketika belajar atau berkahwin betul-betul selepas habis belajar tetapi telah kenal sejak belajar. Ada pilihan keluarga, pilihan sendiri, ada yang mahu kahwin muda, ada yang berkahwin segera kerana tidak mahu posting jauh. Tempoh perkahwinan bertahan dalam setahun sehingga 3 tahun. 

1. Suami ada perempuan lain selepas mula bekerja

Kata suami mereka, kerana ketika belajar mereka tidak jumpa ramai perempuan lain. Jadi, fikiran agak tertutup dan pilihan juga terbatas. Tidak kurang juga suami yang terlibat dengan skandal kawan-kawan sepejabat setelah menyertai group yang tidak senonoh dalam WhatsApp. 

2. Sebab yang kedua adalah buatan orang

Ini dua kes yang saya handle. Kerana yang lelaki tidak mahu perempuan yang diminatinya berkahwin lain, maka dibomohkan ketika belajar dan berkahwin. Setelah berkahwin, barulah segalanya terdedah melalui satu demi satu peristiwa. 

3. Sebab ketiga, keganasan rumah tangga

Ini kebetulannya adalah pilihan keluarga. Yang keluarga tidak pernah tahu karekter sebenar suami, dia juga tidak pernah kenal. Namun selepas berkahwin, dia dipukul, diherdik dan sebagainya sehingga isteri menuntut cerai kerana tidak tahan. Hubungan mereka tidak sampai setahun. 

4. Sebab yang keempat, isteri dan anak² dianggap bebanan hidup

Suami tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suami seperti memberi nafkah, tidak membantu kerja rumah, tidak pernah menguruskan anak-anak, tidak menghormati keluarga mertua dan lain-lain. Suami merasakan sejak berkahwin muda, dia tidak mempunyai masa untuk diri sendiri dan menganggap isteri dan anak-anak membebankan hidupnya. Dia mahu bebas dan tidak mahu ada apa-apa komitmen. 

5. Sebab yang kelima, kerana suami sebenarnya adalah homoseksual/gay

Suami tidak mempunyai nafsu terhadap wanita tetapi berkahwin kerana mahu menutup aib itu daripada keluarga. 

Setakat yang saya handle, empat kes. Ya, agak banyak, merisaukan dan menyedihkan. Kesemua mereka diceraikan tanpa iddah. Suami-suami itu zahirnya normal, kerjaya profesional, beragama dan ada yang berusrah ye. Tetapi sebenarnya mereka ada hubungan sesama lelaki. Ada yang siap ada customer tetap. Ini sebab penceraian yang paling zalim buat wanita bagi saya kerana menjadikan wanita sebagai mangsa untuk mengelabui mata keluarga. Menyeksa batin dan emosi wanita. 

Ada suami yang tahap tak mahu dia sendiri ceraikan, tetapi mahu isteri itu yang meminta cerai agar tidak dipersalahkan oleh keluarga. Ada yang buat verbal abuse dan sengaja bawa pasangan lelakinya ke rumah. 

Hormat Pendirian Mereka Untuk Berdiam Diri

Majoriti mereka tidak bercerita kepada orang untuk menjaga aib semua pihak. Setelah trauma yang dilalui ada yang membawa diri tidak dapat dihubungi. Ada yang Allah telah gantikan dengan jodoh yang lebih baik. Alhamdulillah tetapi semuanya berusaha untuk move on. Sebab-sebab penceraian itu sukar disebut pada orang lain tetapi apabila mereka senyap, orang tetap bercakap, bertanya sebab dan tidak menghormati perasaan dan pendirian mereka untuk berdiam diri. 

Allah itu Maha Adil lagi Penyayang. Dia tidak akan mensia-siakan segala air mata dan pengorbanan mereka. Usia yang muda dahulu mungkin belum cukup mematangkan cara fikir kedua-dua pihak. Masalah komunikasi dan masih mentah dalam menguruskan konflik. Mungkin daripada sebab yang dinyatakan di atas nampak agak banyak salah lelaki. Tetapi saya hanya letakkan fakta kes yang saya handle tanpa tokok tambah. Saya tidak menafikan ada punca penceraian yang lain daripada pihak perempuan tetapi bukan dalam kes-kes ini. 

Setiap kali lafaz cerai setiap mereka dijatuhkan di mahkamah, setiap kali itulah air mata saya gugur dan berbekas di hati tentang nasib institusi keluarga muslim. Oleh kerana perkahwinan ini jalannya panjang dan berliku, usahlah menggalakkan para belia untuk segera menamatkan zaman bujang. Tetapi galakkanlah mereka untuk membina diri dengan ilmu, iman, menjaga maruah diri dan penuhi masa muda dengan perkara yang memanfaatkan diri dan orang lain. Usaha terburu-buru, banyakkan berdoa dan berusaha. Serahkan urusan jodoh benar-benar kepada Allah. - Puan Q | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.