'Anak Kami Telah Pergi Selamanya...'


22 September 2016, 5.30 PM

Katil 20, Wad 1 Utara, HUSM Kubang Kerian, Kelantan

Anak perempuan saya yang paling cantik, Nuha Rees Lily, berkulit putih suci, dilahirkan berat 3.9 kg. Menangis semasa dilhairkan, pada saya tentulah umurnya panjang. Sebaik saja dilahirkan, dia terus dibawa doktor paedatrik yang sudah bersedia menunggu semasa pembedahan itu ke NICU wad Nilam 1. Tetapi bacaan oksigen pada paru-parunya hanya 65/100. 

Saya tidak sempat menatapnya sepuas hati, apatah lagi untuk memegangnya kerana wayar yang berselirat di tangan kanan dan kiri. Tetapi saya sempat mencium pipinya dua kali. Terasa hangat dan wangi bau bayi! Saya relakan doktor membawanya pergi dengan harapan, 

"Nanti kita jumpa di wad ya!" 

22 September 2016, 7.00 PM

Selepas pembedahan, saya terus disorong ke PACU dan SICU selama satu malam untuk cardio observation. Saya berpuasa selama 30 jam sebelum dan selepas pembedahan demi melahirkan anak itu. 

Pedih dan luka bersalin semakin terasa apabila bius berkurangan. Minda tentunya hanya pada anak, bagaimana nasibnya? Saya berdoa agar malam cepatlah berlalu. 

23 September 2016

Hanya saya dan suami sahaja yang dibenarkan melawat anak di NICU. Tetapi saya tidak mampu kerana baru dibedah kurang 24 jam. Lukanya sangat pedih, tidak mampu untuk duduk, hanya terbaring terlentang sahaja. Untuk menguruskan diri pun tidak mampu, apatah lagi hendak menjenguk arah. 

11.00 AM

Saya dipindahkan ke wad 1 Utara. Satu-satunya adik perempuan saya, Burul Butik Mia yang sanggup terbang balik dari Kuala Lumpur demi menyaksikan perjuangan ini, berkali-kali cuba mengangkat saya untuk duduk di kerusi roda, tetapi gagal. 

Dia seorang jururawat, dia menangis sejak di airport lagi. Rupa-rupanya mereka sudah dapat meneka apa yang bakal merlaku seterusnya apabila terdengar kata-kata jururawat wad Naim 1 yang menelefon suami saya dan memaklumkan bahawa anak kami sudah dipindakan ke wad Nilam 2. Tetapi kami buat-buat biasa, anggap mungkin baby sudah boleh survive. Nanti doktor akan pindahkan baby ke wad biasa.

5.00 PM

Dapat panggilan dari wad Nilam 2. Anak itu sudah 30/100. Allah, saya berserah! Suami pula hampir pitam di luar wad Nilam 2. Adik saya mencuba lagiuntuk saya duduk di kerusi roda. Tetapi saya terus gagal! Pilu sungguh rasanya hanya mampu merindui anak dari jauh sebegini. 

8.30 PM 

Suami menelefon dari wad Nilam 2, minta kain batik! Anak kami telah pergi selama-lamanya. Terus berlinangan air mata ibu. Tidak sempat memangku anak itu langsung. Cepat-cepat saya makan ubat tahan sakit dan berharap agar dapat pergi ke wad Nilam 2 sebentar lagi. Saya bertekad menggagahkan diri, syukur berjaya bangun. 

11.00 PM 

Suami menolak saya dengan kerusi roda untuk menuntut jasad zuriat kami. Sepanjang masa, suami sentiasa memberi kata-kata semangat sambil mengesat hujung matanya. 

Tiba di wad Nilam 2, ia umpama mimpi bagi saya. Hanya air mata berjuraian saat memangku, menatap dan mencium wajah arwah buat kali terakhir. Susu formula mengalir keluar dari hidungnya yang bergatung pada tiub sokongan sejak dilahirkan saat saya mengangkat anak itu ke dada saya. Pipinya sejuk kaku berbeza dengan hangat pipinya semasa dilahirkan semalam. 

Saya mendakapnya dengan kemas dan erat, sememangnya tidak mahu dilepaskan. Namun. dakapan itu berakhir di Unit Forensik. Saya terpaksa menyerahkan anak kepada adik dan Umi untuk urusan pengebumian di kampung. Saya berlalu ke wad tanpa berpaling lagi. Semuanya bukan kehendak saya. Allah Maha Mengetahui. 

24 September 2016, 2.00 AM

Semua urusan pengebumian selesai lebih kurang jam 2 pagi. Alhamdulillah, saya ada seorang anak syurga, si bidadari kecil cantik itu tentunya sedang bergembira dan berlari-lari di taman syurga walaupun tidak sempat merasa walau setitis air susu ibumu ini. 

9.00 AM

27 jam pelbagai rasa, hangat, pahit manis, antara harapan dan redha seorang ibu. - Nur Fatma Zuhra Mat Yusoff | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.