'Boleh Je Kahwin Dengan Kos RM2,000'


Apa yang susah-susah fikir tentang majlis kahwin. Pelamin cantik? Baju lip lap? Kek 80 tingkat? Tak perlu semua itu. 

Semasa saya bernikah dengan isteri saya, Sufia Nadia, duit dalam poket hanya ada RM500 sahaja. Kakak saya, Nor Hamizah beri saya RM500. Kawan isteri pula hadiahkan RM500. Saya pinjam duit dari kawan saya, RM500. Keseluruhannya, RM2,000. 

Sebelum kahwin, saya bertanya kepada isteri saya. 

"Kita nak kahwin dengan harga RM2,000 boleh saja tetapi syaratnya kena tutup telinga. Mak saudara mengumpat ke, keluarga tak faham ke, pedulikan semua itu. Kita nak buat benda baik," kata saya dan dia pun akur juga. 

Cincin kahwin dan hantaran, semua abang dan kakak ipar saya, Suhana Mohamed Hassan, sedekahkan kepada saya tetapi dengan syarat. 

"Kau kena beli cincin tunang yang murah satu. Baru abang belanja hantaran," katanya. 

Hehe! Semoga Allah memberi rezeki yang melimpah ruah kepada orang yang meringankan beban saya dan isteri. 

Kasut, beg, telekung solat yang berpatutan harganya, itu sahaja. Baju? Saya belikan baju nikah isteri saya RM70 dan dia jahit serta sulam sendiri. Tudung RM30, beli dari kawan saya. Baju saya pula, jubah, kopiah dan serban yang saya selalu bawa pergi solat dan talaqqi. 

Makan-makan semua keluarga isteri yang urus menggunakan duit RM2,000 itu. Mereka beli daging kawah. Pada saya, daging paket pun sudah mencukupi. Tetapi tak apalah, nak meraikan orang yang ramai, saya mengiakan saja. JAdi RM1,500 jamu orang makan dan selebihnya untuk keperluan yang lain. 

Malam Maulidurrasul, 12 rabiulawal 1437J pada Khamis malam Jumaat, kami bertunang. Saya imamkan solat hajat dan doa. Selesai majlis bertunang, abang saya tutupkan dengan doa juga. 

Esoknya 13 rabiulawal 1437H, kami nikah. Jamu orang makan apa yang ada dan habis majlis. Alhamdulillah, makanan lebih cukup-cukup untuk kami makan malam bersama keluarga. Memang sebelum kahwin, antara amaran saya kepada isteri, 

"Jangan ada makanan yang lebih terlalu banyak," 

La, mudahnya nikah rupanya. Saya pelik, apa yang korang payah sangat nak menikah? Nak jadi raja sehari di dunia sementara ini pasal apa? Niat nak berkahwin pun tak betul dah. 

Saya kahwin dengan jumlah RM2,000. Doa, hati ikhlas nak kahwin niat kerana Allah. Allah hantarkan bantuan melalui orang lain untuk melengkapkan majlis saya. Alhamdulillah. Tiba-tiba ada orang bagi pinjam khemah, bunga-bunga hiasan dan sebagainya. 

Selepas kahwin, ada yang mengumpat isteri saya. Pakat datang berjumpa minta maaf pada isteri saya. Kami memaafkan mereka dengan hati yang terbuka. 

Kahwinlah, mudahkanlah, jangan dipayahkan. Sekarang tak usah kata mat rempit nak kahwin mahal-mahal. Budak belajar agama pakai purdah, pakai jubah, pakai macam-macamlah yang islamik, sibuk nak kahwin seperti artis. Hukum hakam diketepikan, majlis yang baik menjadi haram kerana junjung adat yang melampau. Pembaziran berlaku, makanan menjadi basi. Kalau kucing makan pun boleh mati keracunan. 

Allah, ubahlah, jangan diikutkan sangat hawa nafsu tetapi ikutlah apa yang Islam ajar. 

Sekarang, nikmat rezeki selepas berkahwin, saya rasai dengan tenang. Alhamdulillah, setakat ini saya dan isteri tidak pernah berlapar. Rumah, kereta dan yuran belajar, saya masih mampu bayar. Moga-moga rezeki kami bertambah. Amin. 

Kahwin dengan kos RM2,000 tanpa letak hantaran, nikmat yang tak semua orang dapat rasa. Tak percaya? Cubalah! Wallahualam. - Sobri Nadzari | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.