'Duit KWSP, Jangan Bagi Anak!'


Saya berjaga dan menulis untuk buku seterusnya. Sesekali saya akan bangun menjenguk anak-anak di bilik mereka. Tenangnya tidur mereka dan tenang juga hati saya sebagai bapa. Mungkin itulah kasih sayang bapa kepada anak-anaknya. 

Bercakap mengenai kasih sayang bapa kepada anak, saya ada satu cerita. Kisah sahabat saya yang menasihati saya agar tidak sesekali memberikan duit KWSP kepada anak-anak.

"Izman, aku nak pesan kat kau perkara ini. Kau dengar baik-baik. Bila kau pencen nanti, kau keluar duit KWSP dan belanjakan semuanya. Habiskan!" katanya. 

Saya memandangnya sambil tersenyum kelat. Pada saya, nasihat sebegini hanya boleh didengar, dipakai jangan sekali. 

"Aku cakap, kau senyum ye Izman? Nanti kau kena macam pakcik aku, baru kau tahu," katanya lagi. 

Timbul persoalan di kepala lalu saya meminta dia bercerita lanjut. 

"Pakcik aku ada tiga orang anak. Seorang lelaki dan dua perempuan. Bila pencen, keluar duit KWSP dekat RM200,000. Masa itu, dua anaknya sudah berkahwin. Yang bongsu masih sekolah menengah. 

"Dah pencan, dia tukar nama rumah kepada nama anak lelaki sulung kerana dia ingat itulah anak yang akan membakar mayatnya nanti dan menjaga ibu mereka jika dia mati. 

"Duit KWSP itu, dia 'renovate' rumah. Yelah, rumah dah lama dan dah habis bayar. Lagipun semua anak masih tinggal dengan dia walaupun sudah kahwin. Dia bina satu tingkat laig untuk tambah dua bilik dan satu bilik air. 

"Anak pujuk tukar kereta sebab keretanya sudah uzur. Dia tukar Proton baharu. Dia keluar deposit dan bayar bulan-bulan tetapi atas nama anak. Bila cucu nak masuk kolej, anak pujuk. Dia keluar duit belanja. Kau tahulah yuran kolej swasta kan mahal. 

"Anak cakap, duit KWSP itu ada bahagian anak-anak. Dia bodoh-bodoh percaya dan dia beri seorang RM10,000. Dapat saja duit, anak terus ubahsuai kereta dan ada yang pergi melancong. Dia dan isteri, jaga rumah. 

"Selepas tiga ke empat tahun, duit KWSP sudah mula habis. Anak menantu mula rasa tak selesa duduk bersama. Dia dan isteri terpaksa keluar dari rumahnya sendiri, menyewa rumah di Taman Sentosa. Untuk membayar sewa rumah dan duit belanja makan, dia bekerja menjadi pengawal keselamatan di kilang. Malam jadi 'jaga', siang hari dia mencari kotak untuk dijual di kedai barang lusuh. Lagi susah, anak bongsu tinggal dengan mereka. Mahu tak mahu, mereka kena tanggung persekolahan si bongsu itu. 

"Anak yang dua 'ekor' itu, jangan kata hulur belanja, jenguk bertanya khabar hidup mati pun tak pernah. Tetapi bila tak ada duit, tahu pula mereka mencari ayah mereka sanggup bawah ayah pergi ke bank untuk mengeluarkan duit. Tak guna punya anak!

"Jadi, aku ingatkan kau. Bila dah dapat duit KWSP itu, kau belanjalah untuk keperluan kau. Kau dah bersusah payah berpuluh tahun kerja siang malam, duit itu untuk kau joli sebelum mati sebenarnya. Pergilah bercuti luar negeri, belikan diri kau dan isteri benda yang mahal-mahal dan tukar kereta baharu. 

"Nak kahwin baharu pun boleh! Duit ratus ribu dalam poket. Jangankan janda, anak dara bergetah pun sanggup jadi isteri muda. Hahaha!" ceritanya panjang lebar dan beremosi. 

Kali ini saya hanya mendengar dan mengakui kebenaran ceritanya. Memang itulah yang berlaku saban tahun bagi pesara yang sudah mengeluarkan duit KWSP. Dapat duit, bantu keluarga dan anak cucu dan ada yang berjoli. Dalam masa kurang lima tahun, hidup mereka menjadi miskin semula. Mereka terpaksa bekerja untuk menyara hidup, sedangkan anak-anak terpaksa menyara keluarga mereka masing-masing. 

Duit pencen KWSP beratus ribu nampak banyak. Tetapi bila dapat secara tiba-tiba, akan menjadikan seseorang gelap mata, hilang pertimbangan dan boros. Mereka lupa bahawa bukit yang tinggi jika setiap hari ditarah akan rata juga. 

Sahabat saya itu jelas tekad dengan niatnya untuk menggunakan bagi dirinya sendiri untuk mengelakkan dirinya menjadi papa kedana dengan membantu anak-anak. Biarlah, hak dia. Dia yang mengumpul duit itu dengan bekerja siang dan malam. 

Mengenai duit KWSP saya nanti, sudah pasti ada bahagian untuk pendidikan anak-anak. Selebihnya saya sudah berniat untuk melancong ke kota romantis, Paris. Ya, sudah tentu saya akan ke Mekah untuk haji. 

Jika puan hajjah lebih selesa bermain dengan cucu nanti, saya pula akan berusaha menunaikan impian saya sejak sekolah menengah, iaitu melancong ke seluruh dunia dengna menaiki kereta api.

Usai semuanya, legalah hati saya. Rutin saya nanti tentulah setiap pagi minum teh tarik di kedai kopi sambil menonton gusti. Petang pula, saya akan meronda kampung bersama hajjah isteri untuk bertanya khabar anak kariah. Malam pula akan menadah kitab di surau. 

Cukuplah duit KWSP yang berbaki dan duit elaun ketua kampung untuk saya belanjakan sementara menunggu dijemput ke 'Daerah Abadi'. - Izman Pauzi | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.