'Gelap Masa Depan Saya Kerana Sertai MLM'


Ini adalah kisah benar mengenai ujian yang menimpa hidup saya. Kebiasaannya kita selalu mendengar ayat hikmah yang berbunyi, 

"Allah tidak akan menguji hambaNya, mengikut kemampuan hambaNya..."

2013, saya tamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan. Sebaik saja lima bulan tamat kursus kerjaya, saya diterima bekerja di sebuah syarikat Jepun. Kisahnya bermula pada akhir tahun 2013, di mana sahabat lama tiba-tiba menghubungi saya. Biasalah, sahabat lama menghubungi untuk bertanya khabar.

Pada mulanya saya tidak berprasangka buruk walaupun kami bukanlah kawan rapat pada zaman universiti dulu. Apabila ditanya mengenai kerjayanya, katanya dia telah berjaya membuka sebuah spa kecantikan hasil usahanya sendiri di KLCC. Dia siap mempelawa saya untuk menyertai kursus keusahawanannya. Dia juga bangga sebab tidak perlu hidup makan gaji lagi selepas universiti. Namun begitu saya terpaksa menolak kerana saya sangat sibuk dengan presentation kerja. 

Dari hujung tahun 2013 hingga 2014, saya masih lagi bekerja di syarikat yang sama. Baru saja genap 8 bulan bekerja, tiba-tiba sahabat itu tadi menghubungi saya semula. Kali ini dia benar-benar mengajak berjumpa, siap tanya bila hari hari saya cuti sebab dia nak jumpa. 

Dipendekkan cerita, dia datang ke rumah saya dan mempelawa saya pergi ke spa milikinya. Dia menunjukkan pada saya perniagaan yang dia sedang usahakan sekarang. Mula-mula dia kata nak bawa pergi ke spa, selepas itu saya dibawa pula ke sebuah tempat yang dipenuhi dengan ramai orang yang memakai baju pejabat seperti masing-masing sedang sibuk membuat sesi sharing prospek. 

Tidak terlintas di hati ketika itu bahawa apa yang berlaku di depan mata adalah MLM kerana kawan saya menjelaskan bahawa itu semua adalah rakan kongsinya yang membuka spa secara franchise. Saya percaya bulat-bulat katanya itu.

Dia bawa tour dalam tempat itu. Dari mula bertemu dengan orang baru sehinggalah kepada produk-produk. Saya hanya mengikut dia tanpa banyak soal. Selepas itu, di depan rakan-rakannya dia ajak terus letak sekeping borang keahlian. Setiap penyertaan memerlukan ahli baru membayar yuran sebanyak RM80. Saya terkebil-kebil, dalam purse tak bawa pula duit. T

"Tak apa, isi saja borang itu," katanya

Orang selalu berpesan, jika ada masalah, jangan sesekali bercerita pada orang yang salah. Saya memang tidak berminat untuk bercerita. Tetapi pada hari kejadian itu, saya cerita sedikit masalah-masalah biasa. Pada mulanya, macam ramai yang memberi sokongan dan berpura-pura ambil berat. Tetapi tak sangka pula kawan saya ini ada udang di sebalik batu!

Sejak dari kunjungan ke spa miliknya itu, hampir setiap hari dia menghubungi saya melalui WhatsApp. Dia ajak join buka spa seperti dia dan berjaya seperti dia. Dia siap tunjuk slip gaji yang terpapar angka lima dan lapan angka. Katanya itu adalah hasil dia buat perniagaan spa yang diceburinya itu. 

Tempat ini agak popular, orang panggil segitiga emas di kawasan KLCC. Boleh saja naik tren ke tempat ini, senang ditemui. Tetapi ramai yang tidak tahu di sebalik bangunan yang gah di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur itu ada tempat puaka ini. 

Minggu pertama dia ajak saya keluarkan modal sebanyak RM2,500. Siap tanya bila gaji saya pada bulan ini akan masuk, berapa simpanan ASB, ada simpanan emas atau tidak bagai. Saya yang lurus bendul pada ketika itu pun menceritakan kesemuanya kepada dia. Kebetulan dah hujung bulan Mac, gaji saya keluar dan dia suruh kumpulkan semua modal cukupkan jumlah RM2,500 itu. Saya menuruti saja sebab masa itu saya menyangka saya sedang belajar tentang selok belok perniagaan. 

Tak sampai seminggu melaburkan RM2,500 itu, dia sekali lagi meminta saya membuat pinjaman bank. Saya memang teragak-agak sebab saya tak mahu berhutang. 

Kali ini dia WhatsApp saya dan masukkan saya dalam group chat WhatsApp yang mana di dalamnya ada ramai rakan kongsi baru dapat WhatsApp ucap selamat datang dan tahniah serta meminta saya fight cash bagi level seterusnya. Nak tahu fight untuk apa? Fight modal cash atau pinjaan bank RM30,000. Sebelum fight itu, kawan saya dan gengnya bawa saya pergi mendengar ceramah keusahawan kononnya dianjurkan oleh 1Malaysia. Di dalamnya ramai bekas jurutera dan penjawat awam yang berhenti kerja untuk menyertai perniagaan ini. Mereka pakai pakaian pejabat dan kereta sport seperti jutawan-jutawan di Malaysia. 

Selepas balik dari ceramah, saya terus dibawa melepak di kedai mamak yang berdekatan bersama dengan kumpulan mereka, katanya nak buat sesi sharing.

Kawan saya itu tadi terus letak tiga kertas pinjaman bank untuk saya tulis dan beritahu bertapa hebatnya perniagaan ini. Sehingga jam 3 pagi, saya masih di Kuala Lumpur untuk sesi sharing. Saya balik ke rumah dihantar oleh kawan, dalam sekitar jam 6 pagi barulah tiba di rumah. Sudahlah pada waktu itu saya masuk kerja pagi, pergi kerja pun dalam keadaan mengantuk sangat. Memang tak ada kualiti sejak terjebak dengan MLM ini. 

Kali ini, dia terus WhatsApp saya untuk meminta semua dokumen. Tujuan saya menyertai perniagaan dia pun kerana saya mahu membantu keluarga saya dalam perniagaan. Tetapi saya ikutkan saja kawan saya ini. Dia memang bijak memanipulasi minda bawah sedar saya. Kali ini dia memaksa saya menyediakan borang untuk buat permohonan semua pinjaman peribadi. Pendek cerita, saya diminta mengambil cuti untuk menguruskan permohonan pinjaman peribadi saya ini.

Saya masih ingat lagi pada hari itu di mana saya dengan kawan pergi ke semua bank di sekitar Kuala Lumpur untuk buat permohonan pinjaman peribadi. Kawan pula suruh fight buat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000! Bila saya tak nak dia memaksa dan bawa saya pergi berjumpa kawan-kawan dia untuk brainwash saya sampai lembik dibuatnya. Otak saya disuruh berfikiran positif kerana pada masa itu saya sudah terlalu negatif. Tambahan pula banyak terbaa artikel tentang penipuan perniagaan ini. Mereka meminta saya merahsiakan satu perkara ini dari mak dan ayah. 

"Dah berjaya buat income baru nanti, barulah beritahu mak dan ayah," 

Musykil betul, tetapi masa itu tak terfikir lagi akibatnya. 

Dalam masa dua minggu menyertai mereka, saya lulus semua permohonan. Bukan satu bank tetapi tiga bank! Banyak betul. Yang paling menarik ialah saya ada beritahu kawan saya yang saya nak quick tetapi ditahan. Masa itu saya tak boleh nak cakap apa sebab kad bank saya smeua ada pada dia. Dia menghubungi saya untuk berjumpa, untuk saya menyaksikan sendiri wang RM30,000 keluar untuk masuk perniagaan mereka. 

Selepas itu, saya dapat barangan yang saya sendiri tak pilih. Tiba-tiba sahaja sudah sampai di depan rumah. Selepas saja saya masuk, kawan saya sibuk pula nak kahwin. Jadi dia memang meninggalkan saya terkontang kanting begitu sahaja. Kawan-kawan dia yang lain, tak adalah rapat sangat. Tetapi bila dah masuk, semua macam sibuk sangat mencari partner baru. Memang pada masa itu saya rasa aya kena game! Sebab ini bukan perniagaan tetapi money game! Barang-barang pul harga RM600 satu barang, logik ke harga itu? D

Bila saya cuba menghubungi kawan saya itu semula, dia jawab,

"Aku busy sangat ni. Kau pergilah cari orang yang buat teknik macam mana aku buat," katanya. 

Ya Allah, betapa geramnya saya! Kata buat perniagaan tak cari orang, tetapi kenapa sekarang cari orang pula? Awal-awal lagi sudah putar belit cerita. 

Kesan daripada menyertai MLM itu, saya terus dilanda kemurungan yang teruk sehingga saya terpaksa berhenti kerja. Ada ketikanya, saya cuba membunuh diri kerana merasakan diri ini sudah tidak betul. Bayangkanlah, saya terpaksa menanggung hutang yang banyak. Sejak tidak bekerja, saya dah mampu bayar sehinggalah rahsia saya pada diketahui oleh ibu bapa. Mana tidaknya, saya terlalu kerap stress dan jatuh sakit.

Akhirnya satu keluarga tahu yang saya telah dipermainkan. Saya juga ada membuat laporan tetapi polis tidak melayan kes kerana pemberian wang itu adalah di atas kerelaan saya sendiri. Malah mereka mempunyai resit jual beli dengan syarikat yang berlesen. 

Saya sedar bahawa nasi telah menjadi bubur pada masa itu. Memang langsung tak boleh buat apa-apa. Komitmen bayaran bulanan kepada bank pula RM1,000 sebulan. Itu belum termasuk kereta saya. Jadi, memang gaji saya RM2,000+ tetapi tidak cukup menampung hutang ini. Sudahlah nak dekat RM100,000 dengan kadar faedahnya lagi. 

Saya buntu, terduduk diam dan menangis. Sudahlah saya berhenti kerja, nak dapat kerja semula memang susah. Sehinggalah saya cuba bangkit semula pada awal tahun 2015, saya mendapat tawaran kerja kontrak selama 8 bulan di sebuah syarikat ini. Masa itu, memang kerja dan dapat gaji untuk bayar hutang. Setiap hari bank akan menghubungi saya meminta bayaran sehingga saya tidak mampu bayar lagi semua hutang-hutang MLM itu. Bertapa tertekannya saya dengan gaji yang kecil untuk membayar hutang itu. Tuhan saja yang tahu perasaan saya seperti mana. 

Kawan yang mengajak saya menyertai perniagaan ini pula sudah melarikan diri. Malah dia juga telah block semua Facebook dan nombor phone saya, meninggalkan saya seorang diri menanggung hutang!

Dalam waktu kita susah, hanya keluarga saja yang dapat membantu kita, bukan orang lain. Saya bersyukur saya ada tempat nak pergi dan sekarang, pihak bank masih menghubungi saya setiap hari meminta bayaran tertunggak menyebakan saya menjadi paranoid dengan telefon. 

Sekarang, saya menunggu tindakan mahkamah untuk mengisytiharkan saya muflis sebab saya benar-benar tidak mampu membayar dengan gaji sekecil ini. Baru sekarang saya tahu erti rasa bersykur dengan kehidupan yang lama. Salah saya juga sebab buat dosa tidak menceritakan perkara ini sebelum terjebak. 

Jadi adik-adik siswazah semua, usahlah terjebak dengan MLM. Kelak diri sendiri yang merana. Sudah bermacam-macam kerja yang saya lakukan, dari kerja jaga anak orang sehingga mengambil upah isi cecair dalam botol. 1 hari 200-200 botol dengan bayaran 20 sen setiap satu botol. Kereta? Dah tak mampu nak bayar, tunggu masa untuk ditarik oleh pihak bank. 

Kawan-kawan saya yang tidak menjadi mangsa MLM ini, ceria saja kehidupan mereka. Jadi adik-adik, kalau tidak mahu merasa azab bertahun-tahun, usahlah buat sesuatu yang merosakkan masa depan. Kalau benar berminat mahu membuat perniagaan sendiri, bermulalah dengan modal yang kecil. InshaAllah selamat kehidupan adik dari berhutang azab seumur hidup. Yang penting, berhati-hatilah dengan sesiapa yang adik kawan kerana, tidak semua kawan yang mempunyai niat yang baik untuk berkawan dengan kita. - Siswazah Malang | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.