'Hinakah Ibu Saya Kerja Sebagai Cleaner Sehingga Dituduh Mencuri Barang Orang?'


Assalamualaikum, saya ingin berkongsi cerita mengenai ibu saya iaitu seorang pekerja pembersihan atau cleaner. Saya berharap, apa yang saya kongsikan ini dapat dijadikan sebagai tauladan. 

Saya selaku anak bongsu selalu menjadi tempat ibu meluahkan segala masalahnya. Bukan apa, sebab semua adik beradik saya yang lain sudah berkahwin. Kalau diikutkan, ibu boleh saja berhenti kerja dan duduk berehat di rumah. Tetapi ibu jenis yang tak boleh duduk diam dan ada saja perkara yang dia mahu lakukan. Oleh itu, ibu nekad bekerja walaupun dirinya sudah dimamah usia. 

Ibu buta huruf, tak pandai membaca mahupun menulis. Jadi ibu pun memohon kerja sebagai cleaner. Lagipun ibu memang suka kerja membersih. 

Pada suatu hari itu, ibu bercerita pada saya. Ketika ibu sedang membersihkan tandas, datang seorang pemuda ini menyepak baldi mop ibu sehingga air dalam baldi itu tertumpah. Ibu pun menegur, mengapa pemuda itu berbuat demikian. 

"Kenapa kau letak baldi mop di sini, bodoh! Aku sepaklah biar aku boleh lalu!" jawab pemuda itu dengan nada marah. 

Ibu pada masa itu tak tahu nak buat apa, lalu ibu pun menangis. Bayangkanlah, ramai yang menyangka kerja sebagai cleaner ini senang. Tetapi kalau tiada cleaner, siapa yang nak bersihkan tandas yang berbau hancing dan bermacam-macam bau itu? Sudahlah kerja cleaner ini pergi kerja tak nampak matahari, balik kerja pun tak nampak matahari. Sudah tentu penat kan. Itulah yang dirasai oleh ibu pada waktu itu, menyambung kembali kerjanya sambil air mata menetes di pipi. 

Pulang ke rumah, ibu menceritakan segalanya pada saya. Sebagai anak, siapa yang tak geram orang tuanya diperlakukan seperti itu. Sudahlah ibu saya berusia 50-an, bayangkan orang tua seperti ini ditengking. Sanggup kita sebagai anak tengok adegan seperti itu?

Selepas kejadian itu, saya menasihatkan ibu untuk berhenti kerja atau kerja di tempat yang lain. Tetapi ibu enggan berbuat demikian sebab tidak mahu duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. 

Kejadian kedua pula berlaku semasa ibu membersihkan pejabat. Ada seorang pekerja wanita ini kehilangan telefon bimbit. Lalu dia menuduh ibu yang mengambil telefon bimbitnya sedangkan ibu langsung tak berbuat demikian. Ibu berulang-ulang kali mengatakan dia tidak mengambil telefon itu sehingga menjadi kes polis. 

Ibu disoal siasat oleh polis. Akhirnya? Telefon bimbit wanita itu rupa-rupanya tertinggal di dalam kereta dia. 

Sumpah saya geram dengan orang seperti ini! Apa dia ingat kerja sebagai cleaner ini rendah sangat ke tarafnya sampai dituduh mencuri?! Ingat cleaner tak ada perasaan ke? Kerja di office dengan gaji beribu-riban, kemudian dengan sewenang-wenangnya menuduh ibu saya yang miskin, kerja sebagai cleaner, telah mencuri telefon bimbitnya? Ya Allah, tolonglah jangan ada mentaliti seperti ini. Ibu cerita kejadian itu dengan nada sungguh kesal. 

Tetapi, meskipun begitu, ibu ada juga berkongsi tentang perkara yang baik semasa dia bekerja sebagai cleaner. Adakalanya, orang belanja ibu makan nasi, adakalanya orang berikan duit sebab mereka yang memberi itu menganggap ibu saya sebagai ibu mereka. 

Ibu paling suka bila dia sedang mop lantai atau bersihkan office, ada orang senyum pada dia dan ucapkan terima kasih. A simple thank you is enough to make my mother happy. Jadi, ibu sangat berterima kasih pada orang yang selalu menolong ibu dengan segala pemberian bagai. Terima kasih sangat. 

Kadang-kadang, duit yang ibu dapat itu, ibu sedekahkan pada masjid. Bukannya ibu gunakan sangat duit itu. 

Kita sebagai manusia, perlulah hormat sesama kita. Janganlah suka membeza-bezakan status kekayaan dan kemiskinan sebagai penanda aras untuk tidak menghormati orang lain. Setiap perkerjaan ada kepentingannya. - IIUM Confessions | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.