Jangan Beri Bayi Makan 5 Jenis Makanan Ini


Kadang kala kita terlalu teruja mahu memperkenalkan makanan kepada bayi yang baharu mula makan makanan pejal. Kita rasa sudah memberikan makanan yang terbaik kepada si manja. Namun, tanpa diketahui kita sebenarnya telah memberi makanan yang tidak sihat kepada bayi. Ini kerana bayi tidak memerlukan banyak kalori, apa yang diperlukan adalah makanan yang kaya dengan nutrisi.

Ketahui beberapa jenis makanan dilarang untuk diberikan kepada bayi kerana belum tiba masanya.

1. JUS

Eh? Bukankah jus adalah minuman yang berkhasiat? 

Ya, jika yang meminumnya adalah orang dewasa atau kanak-kanak yang sudah besar. Itu pun jika tiada sebarang tambahan gula dalam jus tersebut. Namun, jus adalah minuman yang tidak sihat kepada bayi. Walaupun dihasilkan daripada buah-buahan, tetapi proses pembuatannya membuatkan khasiat baik daripada buah yang telah tiada. Lebih baik sajikan buah sahaja kepada bayi. 

2. MAKANAN PROSES

Jangan kerana alasan tidak sempat atau sibuk, lalu anda memberikan makanan proses kepada bayi seperti daging burger proses, sosej atau nugget. Makanan proses telah kehilangan segala khasiatnya semasa proses pembuatan. Leibh baik anda membuat sendiri makanan olah seperti nugget ayam yang dihasilkan dari daging ayam yang dicincang dan dicampur dengan sayur. Ia lebih sedap dan berkhasiat.

3. MINUMAN BERKARBONAT

Kadang kala ada ayah atau ibu yang selama memberi bayi mereka merasa minuman berkarbonat yang sedang diminum. Alasannya kerana berasa kasihan dengan wajah si comel yang melihat minuman tersebut. Hakikatnya, ia adalah minuman yang terburuk jika diminum oleh bayi. Selain tidak berkhasiat, kandungan gula dalam minuman berkarbonat adalah sangat tidak bagus untuk perkembangan gigi si manja. 

4. BISKUT 

"Alah, sikit saja bagi baby rasa biskut ini." 

Mungkin bagi kita tidak mengapa memberi bayi merasa sedikit biskut yang kita makan. Tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk kesihatan bayi kerana kandungan gula yang berlebihan boleh menganggu pertumbuhan gigi serta berisiko obesiti. Lebih baik anda biasakan diri memberi bayi potongan buah-buahan sebagai makanan selingan. 

5. AGAR-AGAR

Sememangnya ia kelihatan cantik dan menyelerakan. Apatah lagi jika si kecil melihatnya. Tetapi awas, jangan beri bayi anda makan puding atau agar-agar kerana kandungan gula yang banyak, perasa dan pewarna buatan. Jika mahu sediakan makanan pemanis mulut untuk bayi, buat daripada olahan buah-buahan tanpa menambah gula, pewarna atau perasa. 

Jangan diikutkan perasaan atau mudah berasa kasihan pada si kecil yang nampak teringin dengan makanan tersebut. Fikirkan kesan buruknya kepada kesihatan bayi anda. - Hasnita PaMa | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.