'Lelaki Yang Awak Kutuk Ini, Adalah Lecturer Yang Baik Orangnya'


Hanya kerana tindakannya menggunakan tandas khas yang disediakan untuk kakitangan UITM Sarawak Kampus Samarahan 2, pelajar lelaki ini telah ditegur oleh seorang pensyarah. Namun, pelajar terbabit memberikan alasan bahawa dia terpaksa kerana tidak sanggup menghidu bau asap rokok di tandas pelajar, tambahan dia juga menghidap penyakit asma. 

Dalam status yang dimuat naik oleh Norzam Aminudin itu juga mendakwa pensyarah berkenaan mendakwa dia bersikap kurang ajar dan mahu menggenakan tindakan tatatertib terhadapnya. Dipendekkan cerita, Norzam enggan peduli dan berlalu pergi begitu sahaja. 

Cerita penuh, sila rujuk luahan pelajar berkenaan dalam gambar di bawah. 



Statusnya itu menjadi bahan kutukan rakan-rakannya yang lain. Sehingga ada yang menawarkan untuk menampar pensyarah berkenaan. Tidak kurang juga pelajar itu sendiri yang menyarankan agar rakannya membawa samurai. 




Bagaimanapun, seorang bekas pelajar, Syahrizzal Arfandy, tampil memberikan surat terbuka kepada pelajar anak muda berkenaan agar Norzam menilai semula apakah tindakannya itu wajar dilakukan. 

Surat terbuka kepada adinda Norzam Aminudin

Berkenaan dengan artikel semalam menyentuh perihal seorang pensyarah yang melarang pelajar daripada menggunakan tandas staff. Di sini, izinkan saya untuk menjelaskan beberapa perkara.

1. Pensyarah berbangsa India yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Dr. Baljinder Singh A/L Maghar Singh, dari Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Samarahan. Berdasarkan detail yang diberi dan cara dia berkomunikasi jelas menunjukkan memang beliaulah orangnya kerana Dr.Baljinder ialah "orang lama" UiTM Samarahan dan tidak asing lagi dalam kalangan warga pendidik, staff dan bekas penuntut UiTM Samarahan.

Dr. Baljinder Singh A/L Maghar Singh

2. Sejujurnya, memang betul terdapat peraturan yang mengasingkan tandas staf dengan tandas pelajar dan peraturan ini bukan hanya ada di UiTM bahkan di IPTA-IPTA lain seperti UPSI, UKM dan UM. Bahkan bukan suatu yang asing apabila peraturan ini telah pun wujud di sekolah-sekolah rendah dan juga sekolah-sekolah menengah. 

Namun, kebiasaannya tidak ada masalah pun untuk pelajar menggunakan tandas staf, kerana ruang dalamnya pun direka sama dengan tandas pelajar. Namun demi keselesaan staf sebagai kakitangan di tempat berkenaan, tandas itu memang dikhususkan. Hal ini kerana kita sedia faham gelagat pelajar menggunakan tandas itu tidak seperti staf yang lain. Apatah lagi jika mereka masuk beramai-ramai boleh menyebabkan ketidakselesaan staff di tempat berkenaan. Jadi, bagii saya peraturan ini bukan suatu yang bermasalah.

3. Dr. Baljinder Singh telah mengajar di UiTM Samarahan hampir 20 tahun dan mempunyai ramai bekas pelajar termasuklah pensyarah-pensyarah di UiTM Samarahan itu sendiri. Beliau amat dikenali dan digeruni oleh semua pelajar termasuklah pelajar Pra-Diploma, Diploma, Ijazah bahkan pelajar Master dan E-Pjj pun kecut perut dengan beliau.

4. Secara umumnya, Dr. Baljinder dikenali dengan sifat-sifat seperti:
  • Sensitif. Suka ambil kira perkara-perkara yang kecil.
  • Lantang. Selalu memberikan pendapat dan pandangan tanpa tapisan walaupun pandangannya itu mendatangkan rasa "kecil hati" dalam kalangan pelajar.
  • Terus terang. Kalau sudah beliau tak suka akan sesuatu perkara, beliau terus cakap terus terang dan berhadapan.
  • Tegas. Kadang-kadang suka menggagalkan pelajar (yang tiada komitmen) dan kedekut memberi markah lebih.
  • Garang. Kadang-kadang apa-apa sahaja yang kita hujahkan,beliau pasti ada jawpannya balik.
5. Namun, itu bukan bermakna beliau seorang yang jahat, sebab ada beberapa sifat yang jarang orang nampak pada beliau (kerana dia tidak suka mendedahkan kebaikannya):
  • Penyayang. Dia walaupun selalu ancam pelajarnya untuk gagalkan mereka, tapi bila pelajar tak turun ke kuliah/ujiannya, dia akan curi-curi tanya dengan kawan-kawan pelajar lain.
  • Pemurah. Beliau suka tolong orang dalam diam dan sifat ini tak ramai yang tahu. Dia selalu tolong pelajar bayarkan yuran, bagi duit makan dan belikan tiket kapal terbang pelajar secara percuma dengan ayat "Dont worry about paying back. Just study hard, my son 🙂" "I'm not LOANING to you, Im giiving it to you"
  • Selalu uji orang. Memang beliau ni selalu "hambur" kata-kata "kasar" kadang-kadang boleh buat kita rasa sakit hati teramat. Tapi, suatu hari bila jumpa kita beberapa hari lepas tu, dia akan panggil "My son, m sorry for calling you tha day with *******. Im denying what you say. But, Im just looking how do you react and how do you think.
Saya sendiri mengalaminya ketika menjadi pelajar beliau. Saya dulu sewaktu presentation satu (yang diuji dan diambil markah), saya telah dipanggil "Bullshit" dan "You're no one" oleh Dr.Baljinder di hadapan kawan-kawan sekelas kerana berbeza pendapat dan idea. Memang saya ambil hati pada mulanya, tapi saya diamkan diri bukan kerana saya tak mampu nak balas, tapi saya rasa adalah lebih baik biarkan guru saya ajar terlebih dahulu. Kalau saya nak balas, saya boleh berhujah kerana saya seorang pemidato dan debator.

Oleh kerana kita sebagai pelajar perlu beradab dengan guru, mahu tidak mahu itulah caranya. Mungkin beliau sebenarnya sedang memberikan tunjuk ajar di luar bidang dan silibusnya, termasuklah penggunaan tandas staf. Beliau mungkin mahu mengajar kita supaya menghormati peraturan yang tekah ditetapkan tambah-tambah lagi bila kita berada di tempat orang.

Tapi, selepas dia panggil saya dengan gelaran Bullshit itu, saya terus dipanggil ke pejabat beliau dan dia berkongsi sebab kenapa dia panggil saya begitu. Dia uji saya, dia tengok cara saya berfikir. Lepas tu dia tanya pendapat saya mengenai presentation saya bertajuk "Justifiable Homicide". Ada satu dua perkara dia memang tak bersetuju, tapi dia tak kecam saya dan idea saya pun.

Saya tak datang ke ujian presentation 2 yang berlangsung 3 minggu sebelum final exam. Kebiasaannya, beliau selalu ancam, kalau dia dah panggil pelajar tapi pelajar tak ada sebab tak hadir ke apa, dia gagalkan. "No marks will be given"

Apa yang berlaku? Dia tanya kawan-kawan saya. Dia tahu yang saya masih belum membayar yuran pengajian semester itu. Saya masa tu tengah kerja sambilan nak kumpul duit sebab nak bayar yuran. Kalau tak abayar tak duduk final exam lah saya. Saya skip semua ujian dalam dua minggu tu. Takpe markah kurang, asal boleh duduk final dan tak payah extend pengajian.

Dia mesej saya petang itu dan tanya "Syahrizzal, what happen to you? Why do not come to the test?". Selepas dapat tahu perihal saya, dia kata lagi.

"Tomorrow, come to my office, I will give you RM600. Dont worry my son, just study hard k "

"Dont worry about paying back. Im not loaning to you, Im giving to you. I hope you can finish your study on time."

Itulah sisi Dr.Baljinder yang ramai orang tak kenal. Bukan saya sahaja, ramai juga pelajar lain juga yang berkongsi perkara yang sama. Cumanya, dia tak pernah dedahkan kebaikan dia. Tiada siapa tahu sisi ini kerana beliau sering digambarkan sebagai bengis, garang dan tegas.

Saya merasakan bahawa Dr.Baljinder naik angin dan marah bukanlah disebabkan saudara menggunakan tandas itu sahaja, tetapi mungkin kerana jawapan yang menggusarkan dia. Kalau saudara buka "share" saudara dan baca luahan bekas-bekas pelajar beliau, saudara akan faham sebenarnya kemarahan dia itu bukan berpunca dari penggunaan tandas staff. Bagi hemat saya, saudara seharusnya memulakan perbualan itu dengan perkataan "maafkan saya" atau "Im sorry sir" kerana terpaksa menggunakan tandas itu disebabkan masalah tertentu. Beliau bukannya jenis tak dengar penjelasan, sebab kalau betul dia memang begitu, beliau takkan tanya pelajar-pelajar beliau kenapa tidak hadir ujian sebelum menggagalkan pelajar terbabit. Kalau betul beliau terlalu marahkan saudara disebabkan penggunaan tandas staff itu, saya rasa kami ni pun dah lama kena "berus".

Saya tahu, saudara juga tidak wajar dipersalahkan, sebab saudara pun tidaklah mengenali dan memahami tabiat dan perangai beliau. Cuma, saya sekadar berkongsi kisah disebalik seorang pensyarah lelaki India yang mempunyai misai tebal dan rambut beruban yang pada hemat saya terlalu dekat dengan sebahagian pelajar.

Seperkara lagi, berilah ruang dan peluang kepada diri sendiri untuk mengenali seseorang itu lebih dekat sebelum menghakiminya. Berlapang dadalah dan bersikap terbuka kenapa seorang pendidik yang sudah puluhan tahun dalam bidangnya tiba-tiba naik angin. Ada sesuatu yang kita perlu belajar di situ.

Adindaku Norzam Aminudin, ketahuilah, pelajaran di universiti bukanlah mempelajari sesuatu yang tercatit di dalam buku dan kertas-kertas, tetapi sesuatu yang diajar melalui tutur kata, nasihat dan tindakan walaupun tiada kena mengena dengan bidang pengajian kita, sesungguhnya itu suatu pelajaran yang bernilai.

Teladanilah, Imam As-Syafi'e dalam menuntut ilmu dan menghormati gurunya. Dia sanggup berhenti mengajar dan mengejar seorang dan mencium tangannya. Kenapa? Kerana orang tua itu pernah mengajarnya jika mahu anjing jantan sudah dewasa, tengoklah ketika dia membuang air kecil dia akan mengangkat sebelah kakinya. Hanya untuk itu pun beliau sangat menghormati orang lain.

Semoga apa yang berlaku semalam, kita bersama-sama ambil iktibar. Insya Allah.

Sekian

Assalamualaikum

06 September 2016

Difahamkan, Norzam Aminuddin telah memadamkan status tersebut dan memohon maaf kepada pensyarah berkenaan. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.