'Mengapa Orang Ingin Bergelar Dr? Apa Istimewanya Pada Orang Kita?'


1. Saya terpanggil untuk memberi pandangan saya mengenai 'Doktor' palsu ini. Saya pernah menulis tentang ini dalam pos yang lalu. Anggaplah ini sebagai ulangkaji.

2. Pengajian PhD memerlukan disiplin ilmu yang ketat dan tinggi. Tidak ramai yang melaluinya berjaya selesai dengan jaya.

3. Di Jabatan saya ada yang tamat pengajian setelah 10 tahun melaluinya. Malah, ada yang tak habis dan diam begitu sahaja. 

4. Mengapa orang ingin bergelar 'Doktor' ini? 

Kajian menunjukkan bahawa manusia yang paling dipercayai adalah golongan Doktor ini. Anehnya, golongan Doktor yang dirujuk bukan Doktor Falsafah tetapi Doktor Perubatan.

Masyarakat kita pula pukul rata, janji ada gelaran Doktor semua boleh jadi menantu punya. 

5. Satu 'keistimewaan' orang kita bila tamat PhD, berebut meminta orang menggelar mereka sebagai Doktor. Jika pelajar tersalah sebut guna nama tanpa Doktor di pangkal nama, mereka memang tidak suka. 

6. Di Malaysia, budaya ini luar biasa. Di negara barat, yang digelar Doktor hanya yang boleh menyuntik dan membedah orang sahaja. Doktor Falsafah hanya letak di hujung nama PhD, bukannya di awal namanya Doktor.

7. Maka ramai saudagar yang ingin kaya ini berebut membeli gelaran ini agar mereka dipercayai dan dihormati oleh masyarakat kita. Ini tidak jujur namanya. 

8. Jika ada yang kata sumbangan mereka ini besar dan telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya, marilah kita kembali kepada hukum alam, agama tidak menghalalkan penipuan untuk apa tujuan baik sekali pun.

9. Ia bukan soal dengki, ia soal integriti. Saya kagum dengan Universiti Malaya yang pantas mengeluarkan kenyataan akhbar. Sebab itu UM kekal antara 100 universiti terbaik di dunia. 

10. Rendahkan hati kita, hidup ini bukan untuk bergelar atau menjadi popular. Ilmu yang kita ada untuk kita kongsikan bersama, bukan minta bayaran yang tidak masuk akal. 

11. Janganlah kita pula meraikan pendedahan ini dengan bersorak gembira dan mengeluarkan kata-kata yang tidak manis bahasanya. Tulisan saya sekadar mahu mengingatkan bahawa gelaran palsu itu tidak beretika. 

Mohon maaflah secara terbuka akan menjadikan kita lebih mulia. Selagi kita berdiam diri, orang akan terus berkata-kata. Lelaki kacak tak perlukan gelaran hebat. Hidup ini bukan untuk digelar. - Azizul Azli Ahmad | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.