'Saya Ambil Keputusan Untuk Jadi Pondan Semula, Maaf'


KUALA LUMPUR - Kecewa dan penat menghadap pelbagai dakwaan terhadap dirinya, Safiey Illias, yang nekad kembali kepada fitrah akhirnya membuat keputusan untuk menjadi pondan semula.

Sebelum itu, tersebar kenyataan seorang wanita mendakwa Pengarah Urusan DSI Empire itu mengunjungi kelab malam dengan berpakaian perempuan. Wanita itu juga mendakwa, Safiey Illias mempergunakan agama untuk mendapatkan banyak followers di laman sosialnya.

Tidak tahan dengan tuduhan yang dilemparkan, Safiey Illias tampil memberikan penjelasannya.

Beliau sebenarnya sudah terlampau penat menjadi baik setelah memilih untuk kembali kepada fitrah. Ini kerana, apa jua yang beliau lakukan, masih ada pihak yang tidak berpuas hati dan mempertikaikan tindakannya itu.

"Saya jadi pondan, orang hina. Saya jadi lelaki pun, orang hina dan pertikaikan. Ada yang kata saya tunggang agama. Ada yang kata saya gunakan agama untuk bisnes dan bermacam lagi sejak penghijrahan saya tempoh hari.

"Sekali dua tohmahan, mungkin saya boleh tahan. Tetapi kalau beratus kali, ia memberikan kesan kepada mental dan emosi saya. Saya sudah menjadi lelaki pun orang bertanya, mana misai dan janggut saya," luahnya melalui laman Facebook pada malam tadi yang mendapat 4,000 lebih perkongsian.

Disebabkan sikap sesetengah pihak yang tidak membantu penghijrahannya itu, Safiey merasakan tiada guna dirinya terus menjadi baik selagi beliau masih dilemparkan dengan pelbagai kata-kata hinaan.

"Bohong kalau saya kata saya tidak sedih dengan semua ini. Saya juga ada perasaan. Sana sini orang fitnah dan orang tak habis-habis mengaitkan penghijrahan saya dengan bisnes. Maaf, tetapi bisens saya sudah 'meletops' sejak tiga tahun lalu sebelum saya menjadi pondan lagi.

Selain berdepan dengan tohmahan, perniagaan beliau juga didakwa merundum selepas berhijrah kononnya beliau tidak dapat membayar kereta mewahnya, Hummer, jual kereta Mini Cooper dan pelbagai lagi dakwaaan yang tidak berasas. Namun, Safiey menegaskan bahawa beliau tidak mengalami sebarang masalah kewangan.

Tidak tahan dengan reaksi negatif sesetengah pihak, akhirnya beliau memilih untuk kembali semula menjadi pondan.

"Saya betul-betul nak minta maaf kepada semua. Saya ambil keputusan untuk menjadi pondan semula sebab saya sudah terlalu penat melalui dugaan yang tidak pernah putus, penat melayan semua ini. Biarlah saya menjadi diri sendiri dan menggembirakan diri mengikut cara saya sendiri.

"Kepada keluarga, saya minta maaf sangat-sangat sebab mengecewakan harapan kakak-kakak saya, mak dan ayah saya. Tak perlulah melibatkan mereka dalam keputusan yang saya buat hari ini kerana mereka juga sedih dan kecewa. Keputusan saya, biarlah saya yang menanggungnya. Hanya keluarga saja yang tahu apa yang saya lalui," luahnya kesal.

Dalam kenyataan itu juga, Safiey meminta orang ramai berhenti menuduhnya berhijrah kerana bisnes dan duit. Beliau juga tidak kisah apa yang orang mahu katakan tentang dirinya selepas ini.

"Cakaplah apa pun, saya sudah tidak kisah. Sekarang saya buktikan kepada nda semua yang saya tidak kisah bisnes saya lingkup di atas keputusan saya itu kerana saya tidak mementingkan bisnes. Berhenti mengata yang saya berubah itu ini disebabkan bisnes dan duit. Produk kecantikan saya 'meletops' dulu sebelum saya berhijrah lagi," tegasnya

Difahamkan, Safiey yang kini berada di Korea Selatan, tegas dengan keputusannya malam tadi.

"Dalam hidup ini kita kena tunjuk yang kita jahat, baru orang tak ambil peduli tentang kita. Maaf semua, tetapi saya masih tetap dengan keputusan saya," katanya. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.