'Saya Ingat Main-Main Sahaja'


Oleh Baitus Solehah

14 tahun, sepatutnya berada di Tingkatan 2. Tiba-tiba didapati telah mengandung 7 bulan. Terkejut si ibu. Anak sulung dan bapa, di dalam penjara. Tak tahu nak buat apa. Ibu buat laporan polis. Lelaki itu ditahan reman untuk siasatan. Tamat tempoh reman, dilepaskan seketika.

Kisahnya bermula dari Tingkatan 1. Si lelaki yang berada di Tingkatan 5 di sekolah yang sama, berkenalan dan bertukar nombor telefon. Sejak dari itu mereka seringkali bersms, balik sekolah pun selalu jalan bersama-sama.

Suatu hari, si lelaki hantar SMS minta tolong belikan makanan. Katanya lapar, di rumah pula tiada makanan dan ibunya pula pergi kerja. Tinggal di rumah itu hanya 3 adik beradik lelaki sahaja. Sudahlah si ibu jarang pulang ke rumah, nak pergi ke kedai pun tak ada kenderaan.

Maka pergilah si remaja perempuan itu menolong si lelaki itu membeli makanan dan hantarkan ke rumahnya dengan menaiki motosikal.

Ingatkan selepas hantar makanan, boleh terus pulang ke rumahnya yang didiami bersama datuk, nenek, adik dan ibu. Pada masa itu, ibunya bekerja.

Rupa-rupanya lelaki itu mengenakan umpan. Lalu diajaknya si remaja perempuan itu masuk ke dalam rumah untuk temankan dia makan sambil berbual-bual. Padahal, makanan yang dibeli hanya sebungkus sahaja.

"Masuklah, jangan takut. Adik-adik saya ada di dalam," pujuk si lelaki.

Oleh kerana sayang, maka dia pun masuklah ke rumah lelaki itu dan temankannya makan. Mula-mula bersembang di meja makan di ruang dpaur. Adik-adik lelaki itu pula buat hal masing-masing di dalam bilik.

Sedang mereka makan sambil bergurau senda, syaitan dan iblis memulakan tarian. Usik mengusik melahirkan berahi dan akhirnya masuk ke bilik. Pujukan lembut membuatkan si remaja perempuan itu cair dan mengizinkan.

Dia naif akan akibat perbuatan zina, yang sebenarnya dia tak tahu pun apa itu zina. Ingatkan cuma suatu permainan yang mengasyikkan sahaja. Tiada kekesalan di wajah apabila 'permainan' tamat. Betul-betul ingat, itu cuma mainan. Kali pertama mereka 'bermain' pada bulan Ogos.

Kali kedua pada bulan Oktober. Balik sekolah jalan bersama-sama. Sampai saja di rumah si lelaki, lalu diajak masuk ke dalam rumah kerana katanya tidak sihat. Oleh kerana kasihan, si remaja perempuan itu temankan masuk rumah.

Mula-mula bersembang baik-baik, tolong ambilkan air untuk makan ubat. Selepas itu si lelaki minta dipicitkan kepada sebab sakit terkena panas matahari. Sentuhan jari jemari telah memulakan 'permainan' kali kedua. Masih berbaju sekolah, di ruang tamu rumah. Adik-adik si lelaki masih belum pulang kerana ada kelas tambahan. Tak payah buka uniform, terus selak dan bermulalah 'permainan' mereka. Tamat saja 'permainan', si remaja perempuan itu pun pulang ke rumah kerana bimbang terlewat dan dicari oleh datuk dan neneknya.

Kali ketiga ketika cuti sekolah akhir tahun, pada bulan Disember.Bosan tinggal lama di rumah dan tak ke mana-mana. Suatu hari si remaja perempuan merajuk dengan nenek, lalu lari dari rumah dan terus menuju ke rumah si lelaki.

Si lelaki yang telah tamat peperiksaan SPM juga bosan duduk di rumah, merancang mahu mencari pekerjaan sementara menunggu keputusan SPM. Apabila didatangi oleh si remaja perempuan itu dalam keadaan menangis dan bersedih, hero pun memujuk kononnya mahu menenangkan. Lalu diajak masuk ke rumah yang mana pada ketika itu adik beradiknya keluar entah ke mana.

Orang tengah sedih, disua bahu untuk melepaskan tangisan. Dipeluk agar menjadi tabah dan kuat, tetapi lain pula jadinya. Apabila berdua, yang ketiga adalah syaitan.

'Permainan' ketiga agak lama sebab masing-masing bosan dan cuti sekolah. Seronok juga 'permainan' kali ini, hampir petang barulah tamat dan si remaja sudah hilang rajuknya kerana telah diubati oleh si lelaki.

Tiga hari selepas itu, persekolahan 2016 bermula. Masuk Tingkatan 2 di sekolah yang sama. Si lelaki pula telah mendapat pekerjaan, peluang untuk bertemu memang tiada kerana masing-masing sibuk. Hanya sempat bersms sahaja.

Bulan April, si anak mengadu sudah 4 bulan tak datang haid namun ibunya tidak peduli. Kata ibu, memang pusingan haid anak tidak teratur.

Bulan Julai, si anak mengadu sakit perut dan rasa tidak selesa. Ibu bawa pergi ke klinik dan kata perubahan hormon remaja membuatkan haidnya tidak teratur juga. Lagipun sudah lama tidak datang haid menyebabkan darah kotor terkumpul.

Dalam perjalanan balik, si ibu berasa tak sedap hati lalu singgah di kedai beli alat menguji kehamilan. Diberikan pada anak untuk membuat ujian air kencing. Esoknya Subuh, si anak melakukan ujian dan didapati ada dua jalur. Dia diam dan tak beritahu sesiapa. Balik dari sekolah baru dapat berjumpa dengan ibu dan dia maklumkan perkara itu. Barulah si ibu menangis kekesalan kerana selama ini dia tak ambil peduli hal anak kerana menyangka ada nenek yang tolong tengokkan. Lagipun dia tahu bahawa anak gadisnya itu bukan anak nakal, bukan jenis yang suka melawan, bukan jenis suka membantah, bukan jenis melepak di luar namun kenapa boleh jadi begitu?

Selepas mengetahui perkara itu, si ibu keluar mencari jalan keluar dari masalah. Anaknya pula tinggal di rumah. Pada mulanya si remaja itu enggan memberitahu sesiapa pun mengenai perkara itu walaupun neneknya sendiri. Tetapi nenek melihat kelainan tingkah laku si remaja membuatkan dia syak dan bertanya.

"Kenapa menangis dan bersedih ni?" soal nenek.

Si remaja tidak mampu menyimpan lebih lama. Makin dirahsia, makin menyakitkan. Apabila si nenek tahu kisahnya, kepalanya dihantuk ke dinding. Apabila lembik tidak berdaya mempertahankan diri, dia pasrah apabila nenek memijak perut dan belakangnya. Dia tiada tempat untuk meminta pertolongan. Kesakitan di pijak, mendorong ibunya membawa si anak ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Si anak mahu menjaga maruah keluarga, mahu menutup aib.

Tiga hari selepas ditahan di wad, pemeriksaan mendapati memang benar positif air kencing dan disahkan mengandung. Hari-hari anak menangis kesedihan dan si ibu mengambil keputusan untuk meletakkan anaknya di Baitus Solehah.

Duka nestapa tidak menghilangkan rasa takut, malu dan malas. Kekesalan tidak boleh diboleh mengundurkan masa. Hilanglah kelayakan untuk menduduki kelas Tingkatan 2 sehingga akhir tahun. Selamat tinggal semua, selamat datang ke Baitus Solehah. Moga ada petunjuk jalan-jalan kebenaran selepas ini.

Berhati-hatilah wahai ibu bapa. Mencari rezeki yang dalam jaminan Allah berpada-pada. Jangan sampai anak terabai di dalam jagaan kita sehingga mendambakan keseronokkan di luar. Mencari semangat dan kekuatan di luar, bukan dari dalam rumah sendiri.

Berawas-awas wahai remaja, jangan termakan umpan, pujuk rayu lelaki. Lelaki ada pelbagai taktik untuk memenuhi nafsu serakah secara percuma. Dia bukan lelaki yang baik selagi tidak bertaubat dan mentaat perintah Allah.

Dua minggu lalu, keadaannya masih bersedih. Dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Kini dia sudah mampu berbual, ada masa senyum, ada masa menangis. Pengisian rohani menenangkan jiwa resahnya.

"Adakah setiap kali selepas berzina, kamu mandi wajib?"

"Tidak."

"Kenapa tidak mandi wajib? Adakah kamu tak tahu mandi wajib?"

"Saya tahu mandi wajib tetapi saya tak tahu selepas main itu kena mandi wajib."

"Adakah kamu tahu itu yang dikatakan zina?"

"Tidak, saya tidak tahu itu zina. Saya ingat main-main sahaja."

"Kamu tahu akibat permainan itu?"

"Tidak."

Lihat, betapa naifnya dia yang tidak dibimbing tentang perhubungan seks antara lelaki dan perempuan. Maka sedarlah ibu bapa, betapa pentingnya pendidikan seks dari awal usia remaja. - Baitus Solehah | PIXEL MEDIA

No comments

Powered by Blogger.