Suami Hanya Cari Atau Pandang Isteri Bila Perlu


Tadi semasa di Kuantan, seorang lelaki berjumpa dengan saya. 

"Saya tak fahamlah wanita ini, ustaz. Dan saya dah tak nak faham, saya nak berpisah dah, sebab kami tidak sehaluan," katanya. 

"Cuba abang tulis kebaikan isteri abang," pinta saya. 

"Saya tak tahulah ustaz, saya sudah tidak nampak kebaikan dia. Saya pun penat," jawabnya. 

"Biar saya ceritakan satu kisah ini kepada abang. Kisah realiti yang berlaku. 

Bila kita, suami, sakit, demam dan pening kepala, kita mengadu pada siapa? Isteri, kan? SAya tengah malam kadang-kadang sakit, isteri tolong urutkan. Isteri buatkan air panas, risau dan carikan apa-apa ubat untuk kita serta melayan sakit kita. Isteri juga jaga anak-anak sementara memberi ruang untuk kita berehat. 

Bila anak sakit, mereka mengadu pada siap? Sudah pasti dengan ibunya. Anak merengek, siapa layankan? Ibu juga yang melayan setiap hari tanpa rasa jemu. 

Tetapi bila isteri sakit, pening, migrain, sakit perut dan susah, isteri mahu mengadu pada siapa? Tiada sesiapa. Suami? Banyak yang tak nak mendengar. Paling-paling suami hanya bertanya,

"Teruk ke? Pergilah klinik. Ala, sikit saja," 

Kadang-kadang bila isteri mengadu sakit, kena marah suami. Jika satu keluarga sakit demam, siapa yang jadi kuat untuk dan seakan-akan dia sihat? Isteri, kerana mereka sayang dan risaukan anak dan suami sehingga terlupa yang dirinya juga demam dan sakit. 

Mereka tiada tempat untuk mengadu, kawan juga terhad. Mereka hanya seorang diri, cuma meluah dengan air mata seorang diri. 

Wanita kuat dan tabah, mereka bersalin anak kita, berapa kali mati untuk kita. Sembilan bulan bawa perut sana sini. Selepas bersalin, terus susukan anak berjam-jam lamanya. Bila isteri berehat sekejap, anak sudah menangis mahu menyusu lagi. 

Isteri uruskan semua perkara 24 jam tanpa rehat. Ada suami tetapi tak boleh diajak berbual. Sudahlah tiada kawan, tiada sesiapa. Jika suami tidak sudi mendengar, siapa lagi teman untuk berbual dan bercerita. Sedih bila fikir, suami hanya cari atau pandang isteri bila diperlukan. Akhirnya isteri bersedih dan berduka seorang diri. 

Begitulah ibu kita, begitulah isteri kita. Siapa nak membimbing mereka kalau bukan kita? Kita boleh mengorat dia siang malam semasa kita mahu. Takkan tak boleh mengorat mereka sekali lagi untuk pimpin mereka masuk syurga? 

"Susah ke abang? Abang tadi menangis, saya pun sebak sebab semasa ceramah di sekolah SMART yang saya cintai, saya teringat pada ibu saya. Teringat guru dan ibu yang banyak menasihati saya. 

"Banyak wanita. Semua Nabi-Nabi lelaki. Tetapi yang melahirkan semua Nabi ialah wanita. Berilah masa, fahamilah mereka. Dengarilah mereka. Air mata isteri kita mahal. Berilah masa belajar iman. Hidupkan Ta'lim rumah," kata saya padanya. 

"Baiklah ustaz, terima kasih. Baru saya faham mengapa ustaz amat cintakan wanita," katanya. 

Rasulullah SAW sendiri orang paling hargai keluarga. Kita semua sama, yang membezakan kita di sisi Allah ialah Taqwa. Kemuncak taqwa ialah akhlak yang baik. Kemuncak akhlak yang baik ialah buat baik terhadap isteri. - Ebit Lew | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.