'Aku Lebih Respect Khamis Berbanding Azizan Osman' - Nik Aziz Afiq



Antara Azizan Osman dan Muhammad Khamis

Saya pernah mengikuti ceramah percuma Azizan Osman di Kota Bharu, Kelantan. Siapa yang pernah, mesti tahu dan sedar ceramah percuma itu merupakan promosi pada kursusnya yang berbayar dan ramai juga rakan-rakan yang saya kenali sanggup bergadai pelbagai barang untuk mengikuti kursus tersebut. Cuma dalam tempoh saya 'kenal' Azizan Osman itu, saya kenal dengan seorang tokoh usahawan sebenar.

Namanya Muhammad Khamis Bin Saloman Paris. Siapa kenal? Pasti nama dia tidak sepopular Azizan. Kawan-kawan yang kenal pula, selalu kutuk namanya yang dikira sebagai kelakar.

Namun antara Khamis dan Azizan, rasa hormat saya lebih tinggi pada Khamis kerana dialah usahawan sebenar. Dari dulu, jika ada orang bersembang mengenai Multi Level Marketing (MLM) dan yang sewaktu denganny,a saya akan ceritakan kisah mengenai mamat bernama Khamis ini dengan harapan dapat memotivasikan. Namun orang lebih suka figure besar, pandai bercakap dan hebat berpidato di atas pentas untuk mengajar berniaga berbanding orang seperti Khamis.

"Eh siapa Khamis ini?"

Khamis merupakan seorang peniaga stokin. Hahaha! Stokin? Saya nak bandingkan seorang peniaga stokin dengan Azizan Osman yang ada berpuluh ribu anak murid dan suka tayang duit itu?

Ya. Tepat sekali. Khamis mula berniaga stokin di Kelantan ketika zaman belajar dan tinggal di asrama kolej lagi. Sebelum tu dia ada pengalaman berniaga di pasar-pasar malam sekitar Kedah. Bilik asramanya di tingkat dua, dalam seminggu mungkin 3 malam yang dia pilih untuk cari pasar malam bagi jual stokin. Berbekalkan sebuah kereta Toyota yang sangat uzur dia angkut segala payung, papan meja, pelbagai jenis stokin sorang diri dan kadang-kadang adalah sorang dua yang simpati bantu.

Seawal semester dua lagi waktu budak mahasiswa lain masih mengharap dapat duit belanja mak bapak dan PTPTN Khamis mula menapak dari bawah. Cuba-cuba belajar bercakap dialek Kelantan. Pergi ke ceramah-ceramah besar terutamanya ceramah politik.

Dia mendaki dengan penuh susah dari bawah. Ikat perut dan sangat berjimat cermat. Pernah sekali saya makan di sebuah restoran, habis makan kuah tomyam ada sikit lagi dan Khamis minta izin nak bungkus kuah tomyam tersebut untuk dia makan di bilik asramanya nanti. Terkejut gila. Punyalah berjimat dan muka tebal. Tak kisah pun apa orang nak kata.

Dalam sibuk berniaga dan berjimat tu Khamis tak lekang dari sertai misi-misi kebajikan. Semua kes bantuan keluarga susah yang saya cuba handle mesti dia akan ada sekali. Selalu berulang alik dengan naik kereta uzur dia tu. Kadang tak sempat nak punggah pun terus bawak kereta penuh stokin pergi bantu orang susah.

Tiba-tiba banjir melanda Kelantan. Dari gelombang pertama di Rantau Panjang lagi Khamis dah terlibat banting tulang bantu mangsa banjir. Bila sampai gelombang kedua yang tenggelamkan Gua Musang, kami di Pasir Mas dah tak mampu nak gerak kemana-mana.

Akhirnya kami berjalan kaki beberapa kilometer meninjau penduduk setempat. Ada sebuah kereta Hilux yang tumpangkan kami. Waktu tu Khamis cakap yang dia akan usahakan untuk beli sebuah Hilux satu hari nanti. Mudah nak bawak barang bantuan kalau Kelantan banjir lagi di masa hadapan. Terkejut saya dengar. Betapa manusia nie lain dari orang lain. Harta yang dicari dia susun untuk bantu orang lain.

Selepas banjir Khamis mula ada tapak tetap di Bazar Wakaf Che Yeh, tak berapa lama kemudian dia pindah ke khemah jualan yang lebih besar (sebelah pasaraya Ceria Wakaf Che Yeh). Impiannya nak beli Hilux pun tercapai!

Dia satu-satunya manusia yang berumur 21 tahun ketika itu yang saya kenal mampu untuk beli sebuah Hilux sedang kami yang lain sekadar naik motor atau pakai kereta second hand je.

Dari uruskan sorang diri, kini mula ambil pekerja, lepas sorang dia tambah lagi sorang. Hingga hari nie tak tahu dah berapa ramai orang bekerja dengan dia sebab dia buka cawangan demi cawangan. Kali akhir bertemu saya difahamkan dia mempunyai sebuah tapak jualan di Tesco KB, Bazaar Tokguru, Rtc Tunjong dan beberapa tempat lagi.

Dalam semakin sibuk dia masih tak tinggal dunia aktivisme kebajikannya. Jarang sekali dia tolak pelawaan saya untuk ikut serta dalam misi-misi kemanusian setempat antaranya misi ziarah keluarga 7 pelajar sekolah Orang Asli yang hilang di Pos Tohoi, Gua Musang, Misi ziarah beberapa kali keluarga Zulkifli (kes bunuh perompak) di Kerteh dan banyak lagi.

Setiap kali saya buat apa-apa program bantuan yang dia sukar nak ikut maka dia akan minta untuk bagi sedikit sumbangan kewangan.

Kedai Khamis terbakar!

Satu hari berlaku kebakaran beberapa khemah jualan di Wakaf Che Yeh yang melibatkan kedai Khamis juga. Waktu berita nie diterima memang terkejut sungguh dan hubungi Khamis tanya apa boleh dibantu. Dia bersungguh-sungguh minta bantuan kepada kedai-kedai jiran dia yang terbakar bukan pada dia!

"Takpolah Nik, kawe mudo lagi, buleh cari lagi, siye ko pokcik mokcik hok sebeloh nie tua benar doh, tok tahu nok gi mano," katanya.

Walaupun kerugian sangat besar Khamis optimis bina kembali perniagaannya tanpa henti. Khamis tak reti nak berucap macam Azizan. Pakaiannya selekeh dan kelakar (dia minat sungguh baju bundle yang jual longgok tu), dia tak ada "magic word" malah nama syarikat dia nak daftar pun saya yang bagi asalnya.

Tapi dia jual barang nyata. Dia tak cari downline, dia buka peluang orang kerja dengan dia, dia tak berlagak nak tayang harta, makan sedap tapi gunakan harta dari sikit sampai banyak untuk tolong orang, dia tak tayang duit untuk orang terkinja-kinja nak cium duit di khalayak ramai tapi dia kutip duit walau sepuluh sen yang dia jumpa di lantai rumah sewa. Dia tak perlu himpun pengikut yang ramai untuk jadikan dia hebat, tapi dia himpun amal bakti dan tabur jasa walau ke mana dia pergi. Sehingga semua tempat dia pergi, orang akan menyukai dan senang dengan budinya.

Saya tak tahu anda nak baca sampai habis atau tak, tapi kalau ada yang masih baca ketahuilah "man jadda, wajada" siapa yang usaha, dia berjaya. Ini aturan yang semua orang kena faham. Tak ada shortcut untuk berjaya. Berjaya itu satu proses dan hayatilah mendakinya satu persatu dengan fikiran positif.

Tak perlu nak berhabis duit untuk barang yang tak nyata, apatah lagi nak cari jalan paling cepat untuk kaya, strategi bisnes yang berjaya hanya akan datang bila kita belajar dari strategi bisnes yang kita sendiri alami kegagalannya.


Oh ya Khamis terlibat dalam kemalangan beberapa hari yang lalu. Semoga dia cepat pulih. Malas nak tag dia kat sini, clue nama Fb dia ialah Khamis yang diterjemah dalam Bahasa Inggeris. Inilah peniaga sebenar. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.