'Amira & Aqilah Hanya Dapat RM12K Dari RM300K' - Ibu Saudara Dakwa 2 Beradiknya Pecah Amanah


KUALA LUMPUR - Dua kanak-kanak perempuan, anak kepada pasangan yang meninggal dunia bersama bayi mereka di dalam kemalangan di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) itu, hanya menerima RM12,000 dari RM300,000 hasil sumbangan orang ramai, dakwa pewarisnya, lapor Malaysia Gazette.

Yusnidah Hussain, 48, kakak kepada Allahyarham Fairuz Nizam, 35, berkata, wang sebanyak RM12,000 itu hanya berjaya diperolehinya setelah membuat laporan polis pada 22 Jun tahun lalu. 

Yusnidah mendakwa, semua wang sumbangan orang ramai itu dimasukkan ke atas nama akaun bank peribadi dua adiknya yang lain. 

"Saya sedih, wang itu sepatutnya menjadi hak dua anak saudara saya tetapi tidak pernah sampai ke tangan mereka untuk digunakan bagi perbelanjaan sekolah dan harian demi masa depan. 

"Adik beradik saya memberikan alasan bahawa wang itu adalah hak mereka kerana akaun bank peribadi atas nama mereka. Malah mereka turut memberi alasan dengan menggunakan nama Mufti Wilayah Persekutuan bahawa wang itu sah milik mereka mengikut Islam. 

Kemalangan maut melibatkan Pajero dengan beberapa buah kereta MyVi mengorbankan Fairuz Nizam, isteri dan bayi mereka pada Mei tahun lepas.
"Padahal sayalah yang menjaga dua anak saudara saya ini selepas seminggu kematian mereka hinggalah ke hari ini. Namun disebabkan pertikaian wang sumbangan itu, hubungan kami adik-beradik berpecah sehingga berlaku saman-menyaman dan kes kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur," katanya yang mengadakan sidang media itu, ditemani oleh dua anak saudaranya, Nur Firuza Amira, 8, dan Nur Firuza Aqilah, 5. 

Difahamkan, mahkamah telah memberikan hak penjagaan sementara dua beradik itu kepada Yusnidah. 

Bertambah menyedihkan apabila Yusnidah terpaksa menutup perniagaan restoran dan kedai kek miliknya kerana konflik keluarga itu. Malah wang pampasan insurans arwah adiknya itu juga telah dituntut oleh keluarga sebelah isterinya. 

"Saya yang menjaga mereka siang dan malam, melayani tangisan trauma mereka pada waktu tertentu. Jangan kata hendak bertanya khabar, hantar buah atau makan pun tak pernah. 

"Tetapi bila timbul isu wang sumbangan orang ramai dan pampasan insurans, mereka cepat ambil seolah-olah dua perkara itu adalah hak mereka," katanya. 

Laporan polis telah pun dibuat, malangnya polis tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana ia adalah masalah keluarga. 

Bagaimanapun, polis hanya boleh mengambil tindakan jika para penderma yang pernah memberikan derma itu tampil membuat laporan polis kerana telah berlaku pecah amanah. 

Gambar kenangan Allahyarham Fairuz Nizam dan isterinya, Allahyarham Nova Safitri Azhari dan bayi, Allahyarham Nur Firuza Annisa dan dua lagi anak mereka Nur Firuza Amira,dan Nur Firuza Aqilah.
Yusnidah menjelaskan bahawa beliau mempunyai bukti penyata akaun bank peribadi yang menunjukkan jumlah derma yang diterima kira-kira RM300,000. 

Justeru, Yusnidah mengalu-alukan orang ramai yang pernah menghulurkan derma kepada Amira dan Aqilah, tampil membuat laporan polis. 

Dalam kejadian 8 Mei 2015, pasangan suami isteri, Fairuz Nizam Husain dan Nova Safitri Azhari serta anak bongsu mereka, Nur Firuza Annisa, 7 bulan, maut dalam kemalangan di Lebuhraya DUKE. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.