Anda Mahu Memiliki 4 Buah Rumah Sebelum Usia 30 Tahun? Baca 20 Tips Ini Sekarang


1. RUMAH PERTAMA JANGAN GUNA MAKSIMUM KELAYAKAN

Kalau anda layak beli rumah harga RM300K, carilah rumah yang berharga RM250K. Nanti senang dapat kelulusan bank. Bagi ruang sikit kat DSR (Debt Service Ratio) tu.

Lain bank, lain cara kiraan kelayakan. Takut-takut bank A saja kata layak RM300K. Padahal bank B, C, D, E kata lepas sampai RM260K saja.

Lagi best, beli 2 rumah yang masing-masing berharga RM125,000.

Kenapa jangan beli rumah dengan maksimum kelayakan? Contohnya, anda bergaji RM3,000 dan ada komitmen kereta RM500 sebulan. Anda nak beli rumah untuk duduk sendiri.

Anda layak untuk beli rumah pembiayaan RM260,000 pada DSR 60%. Ansuran bulanan RM1,300. Tapi, sebenarnya belum tentu anda mampu ya. Jom kira.
  • Rumah: RM1,300
  • Kereta: RM500
  • Ibu Bapa: RM200
  • Tol: RM250
  • Petrol: RM300
  • Makan: RM350
  • Takaful: RM100
  • Bil-bil: RM100
  • Barang dapur: RM100

TOTAL: RM3,200

Lebihan gaji: - RM200

Lebihanlah sangat. Tu negatif woi!! Haha.

2. BUAT KAD KREDIT BEBERAPA BULAN SEBELUM BELI RUMAH

Fresh graduate biasanya belum pernah ada apa-apa komitmen dengan bank. Rekod masih suci murni tanpa noda dosa kewangan. Dalam erti kata lain, CCRIS masih belum ada rekod. Kebanyakan bank susah sikit nak luluskan anda untuk beli rumah kalau CCRIS bersih sangat.

Apa yang saya buat dulu adalah, mohon kad kredit beberapa bulan sebelum beli rumah. Guna untuk isi petrol dan beli barang dapur. Pastikan bayar penuh setiap bulan. Guna dalam 3-6 bulan, dah boleh beli rumah pertama. Selepas dah Berjaya beli rumah, bolehlah pilih sama ada nak terus guna kad kredit tu atau potong terus.

3. RUMAH PERTAMA DISEWAKAN, JANGAN DUDUK SENDIRI

Kalau rumah pertama tu anda beli untuk duduk sendiri, agak sukar nak tambah rumah lagi selepas ni. Lagi-lagi kalau rumah tu makan sebahagian besar gaji. Rumah pertama untuk pelaburan, hasil sewaan dikira sebagai pendapatan tambahan.

Beli rumah pertama untuk duduk sendiri adalah tindakan yang kurang bijak! Anda jadi semakin lambat beli rumah kedua kerana kurang simpanan bulanan dan kurang kelayakan pembiayaan. Kalau memang gaji besar, takpalah. Tapi terpulanglah kepada plan kewangan masing-masing. Haha

4. CARI TAWARAN UNTUK BELI RUMAH DENGAN MODAL MINIMA

Beli rumah murah-murah sudahlah, nego dengan tuan rumah bagi deposit rendah atau beli rumah daripada pemaju dengan entry cost mudah dan guna pakej 100% pembiayaan bagi yang layak.

Saya kata modal minima, bukannya modal langsung tak perlu ada. Saya selalu pesan. Walaupun sekarang ni anda belum teringin nak beli rumah, Tabung Rumah tetap kena ada. Sebab bila tiba-tiba datang seru, modal dah siap sedia. Boleh angkat rumah sebijik terus.

Tapi malangnya, tak ramai yang peduli pun. Lebih baik melancong setahun 4 kali, pakai kereta mahal, tukar sportrim sebesar alam, modify kereta Wira jadi macam Lancer takpun Myvi tayar terkangkang.

5. MOHON ASB FINANCING SEBAGAI FORCE SAVING

Cari jalan buat duit RM550 setiap bulan untuk mohon ASB Financing RM100,000. Dengan teknik tertentu, boleh dapat hampir RM56,000 selepas 5 tahun. Jual tudung 50 helai pun dah boleh dapat RM550 sebulan. Tapi kalau tak mampu RM100,000 buatlah mana-mana yang mampu. RM50,000 ke kan. Kalau dah buat ASB Financing ni, wajiblah bayar setiap bulan tau. Force saving!

Tapi, kalau dalam masa terdekat anda rancang nak beli rumah, elakkan buat ASB Financing dengan amaun yang besar. Sebab ASB Financing pun akan efek pengiraan DSR dan kelayakan pembiayaan anda. Cuma, bila dah dapat dividen nanti, bank akan kira sebagai pendapatan anda pula. Jadi, timing kena tepat.

6. JANGAN MENGADA MENGGEDIK NAK BELI KERETA DULU

“Dik, harga kereta boleh tunggu kita. Honda City baru keluaran 2020 nanti harga lebih kurang je dengan Honda City baru tahun ni punya. Tapi harga rumah RM200,000 tahun ni, takkan tunggu kamu dik. Tahun 2020 nanti, entah-entah dah naik menghampiri RM300,000.”

Cadangan saya, kalau nak beli kereta sangat, belilah kereta patut milik yang ansuran bulanannya tak lebih 15% daripada gaji. Atau harganya tak lebih daripada gaji setahun anda. Contoh untuk yang bergaji RM3,000 begini.

RM3,000 x 15% = RM450
Ansuran bulanan tak lebih RM450.

RM3,000 x 12 = RM36,000
Harga kereta tak lebih RM36,000.

Ini hanya contoh dan cadangan. Mohon jangan kecam.

Cara yang bijak macam ni pula. Beli 2 buah apartmen dengan masing-masing ansuran RM700 dan keduanya disewakan pada kadar RM900. Dapat aliran tunai positif RM400 daripada dua rumah, boleh pakai Proton Saga Plus percuma. Nak pakai Honda City percuma macam mana pula? Ini ideanya sahaja. Jangan lurus bendul. Ambil kalkulator, kiralah sendiri.

7. NAK SENANG, BELI RUMAH DENGAN BANTUAN EJEN

Ejen Hartanah akan bantu mendapatkan rumah yang sesuai dengan bajet anda. Lebih-lebih lagi jika anda memang zero bab hartanah. Jangan percaya mitos "beli dengan ejen, harga rumah jadi mahal". Ejen hari-hari berurusan jual beli rumah. Kita pula nak beli rumah setahun sekali pun belum tentu. Gunakan kepakaran mereka.

Lagi satu, kalau ejen ada tanya pasal gaji dan komitmen anda, tak payah nak berahsia bagai. Ejen tanya bukan sebab nak mengorat kau pun. Pasal PTPTN, tunggakan kad kredit dan pembiayaan peribadi menggunung tinggi. Cerita terus. Senang ejen nak tapis awal-awal.

8. ELAKKAN BELI RUMAH GABUNG GAJI SUAMI ISTERI

Setiap orang layak untuk dapat Margin of Financing (MOF) sampai 90%-100% untuk rumah pertama dan 90% untuk rumah kedua daripada bank. Bergantung jugalah kepada kekuatan kewangan dan skor kredit anda.

Bila dah selesai 4 kuota rumah dengan MOF hingga 90%-100% tu, boleh dah rasa lega. 2 rumah pembiayaan nama suami, 2 rumah pembiayaan nama isteri.

Jadi, selepas tu kena kerja kuat lagilah untuk beli rumah lain lagi sebab MOF dah jadi 70% untuk rumah ketiga dan seterusnya. Secara asasnya, anda perlu menyediakan baki 30% daripada harga rumah dengan duit sendiri. Fuhhh. Lap peluh.

9. SIMPAN DUIT DI TABUNG HAJI ATAU ASB SECARA KONSISTEN

Ikut sukalah nak simpan kat Tabung Haji ke, ASB ke, tabung cap ayam ke. Kalau masih bujang, simpanlah 50% daripada gaji anda tu. Tak perlu tip yang canggih-canggih pun untuk simpan banyak tu. Senang je.

Kalau gaji anda RM2,000 belanjalah macam orang biasa gaji RM1,000. Baki lagi RM1,000 masuk tabung. Selesai. Kalau dah berkeluarga, cuba simpan 30% gaji ya. Gaji suami tambah gaji isteri RM4,000. Belanja RM2,800 simpan RM1,200.

Kenapa simpan kat Tabung Haji dan ASB? Sebab Tabung Haji ada dividen 5%, ASB pula dividen 7.25%. Untunglah juga kalau nak dibandingkan dengan simpan dalam tabung cap ayam tu.

10. MULAKAN SIMPANAN TABUNG RUMAH WALAU MASIH BELAJAR

Masa kat universiti lagi dah boleh mula usaha beli rumah. Duit PTPTN dan biasiswa jangan guna semua, laburkan kat ASB dan Tabung Haji. Buat bisnes atau kerja part-time di KFC ke, Domino's Pizza ke, Home Tutor ke.

Mula dari bawah, biar penah rasa jadi kuli. Taklah asyik nak meninggi diri. PTPTN dan biasiswa jangan dihabiskan beli iPhone. Slip gaji pun belum ada, dah menggatal nak pakai fon mahal. Haha.

Fresh graduate biasa pula, masa belajar enjoy habis duit PTPTN dan biasiswa, masa lapang buat melepak, kerja tak dapat, PTPTN tertunggak. Jadilah fresh graduate yang luar biasa.

11. CARI KERJA TETAP YANG STABIL SECEPAT MUNGKIN

Masuk saja semester terakhir, terus mulakan job hunting. Nak tunggu apa lagi? Rancang nak melancong dengan coursemate ke Krabi Island ye? Lupakanlah niat tu.

Orang bijak, sibuk berebut-rebut nak cari kerja cepat, kau pula berebut nak upload gambar selfie dalam Instagram. Terpulanglah.

Lupakan niat nak honeymoon dengan kawan ke Krabi tu. Macamlah banyak sangat duit kau. Baik kau fikir macam mana nak bayar balik hutang PTPTN.

Dan takyahlah teringin nak lepak kat rumah dulu sebulan dua. Terus cepat-cepat cari kerja. Ini zaman, siapa cepat dia dapat. Kau lambat, kau melopong.

Cari kerja yang berstatus tetap. Kalau kerja kontrak berjangka masa pendek, bank susah nak beri pembiayaan perumahan.

Kalau dah memang dapat kerja kontrak, terima sahaja. Cari pengalaman. Mungkin rezeki anda memang di situ. Kerja rajin-rajin kerja supaya cepat ditawarkan jawatan tetap.

12. RUMAH IDAMAN UNTUK PENCEN BUKAN RUMAH PERTAMA

Semua orang teringin nak rumah besar, senibina moden, ruang tamu yang luas dan perabot yang mahal. Tapi cuba fikir rasional. Mampu beli sekarang dengan gaji RM2,500? Kalau belum mampu, beli rumah kecil pun tak mengapa. Takkan nak tunggu harga rumah naik lagi.

Ingat! Rumah pertama bukan rumah yang kita nak duduk lepas pencen. Kalau nak pencen baru nak beli rumah, sangatlah rugi. Sekarang rumah RM300K, lagi 20 tahun entah-entah nak dekat RM1juta dah kot. Tangguhkan dulu ciri rumah idaman tu.

13. CARI SAMPAI JUMPA DAN BELI RUMAH BAWAH HARGA PASARAN

Pasaran pada masa ini memihak kepada pembeli. Tuan rumah ada yang terdesak menjual rumahnya. Pembeli kena bijak nego selagi boleh untuk dapatkan harga terbaik.

Seronoknya beli rumah bawah harga pasaran ni adalah kita boleh dapat cashback. Tapi pastikan rumah tu paling kurang 15% bawah harga pasaranlah. Rumah macam ni boleh dapat kalau kita beli di pasaran subsale (second hand).

Sebagai tambahan, elakkan beli rumah atas harga pasaran. Nanti anda yang merana nak keluar modal.

14. REKOD CCRIS DAN CTOS MESTI KENA CUN MELECUN

Zaman sekarang ni, nak beli kereta, beli rumah semua kena hutang dengan bank. Semuanya melibatkan pinjaman. Lainlah kalau kita memang anak orang kaya, semua boleh bayar tunai belaka.

Dah kena hutang dengan bank tu, faham-faham sendirilah. Rekod CCRIS tu kenalah sentiasa cun melecun. Bank akan tengok CCRIS kita. Kalau CCRIS pun rabak, memang bank tak pandang.

CCRIS ni macam rekod hutang. Kat situ, akan disenaraikan semua hutang dan rekod bayaran bulanan. Kalau lambat sebulan, muncul angka 1. Kalau lima bulan tunggak, ada rekod angka '5'. Kalau semua 0, 0, 0 maksudnya kita bayar on time.

Untuk CTOS pula, Kalau sebelum ni anda pernah jadi guarantor, malas bayar hutang Court Mammoth, telco, motor ansuran kedai, sila cek CTOS ya.

15. BAYAR PTPTN TANPA DIPINTA, JANGAN SAMPAI TERTUNGGAK

Dah hutang, mestilah kena bayar, kan. Masing-masing dah sedap guna duit PTPTN tu buat beli iPhone, tengok wayang, belanja makwe, melancong ke oversea, takkan nak buat-buat lupa pula.

Kenapa PTPTN masuk CCRIS? Senang cerita, sebab ramai sangat peminjam PTPTN senior kita dulu yang ghaib dan liat nak bayar hutang. Bila hutang dah sampai berbilion ringgit masih belum langsai, PTPTN pun mula resah gelisah.

Akhirnya CCRIS muncul untuk memaksa peminjam PTPTN bayar hutang-hutang lama tu. Kalau tak nak bayar juga, tak dapatlah kita beli kereta, rumah dan tak dapat kahwin sebab personal loan tak lulus. Eh!

16. BELI RUMAH IKUT KEMAMPUAN, KECIL PUN TAKPA

Kalau gaji anda bermula dengan RM2,500, dapat beli rumah pertama harga RM150,000 pun dah cukup bagus. Dengan harga tu, kalau di Selangor dan pinggiran Kuala Lumpur mungkin boleh dapat flat ataupun apartmen medium cost.

Belilah rumah macam ni di pasaran subsale. Ia pasti permulaan yang bagus untuk anda pergi lebih jauh dalam pelaburan hartanah.

Rumah besar, modal deposit dan kos-kos lain pun besar juga. Sekurang-kurangnya 15% daripada harga rumah. Rumah kecil RM100,000 perlukan modal RM15,000 je.

Rumah RM300,000 pula perlukan modal RM45,000. Keluarga kita pun kan kecil lagi. Mengapa bayar lebih untuk bilik yang tidak berpenghuni.

17. RAJINKAN DIRI UNTUK CARI ILMU HARTANAH DAN KEWANGAN

Pembeli rumah pertama biasa teruja dengan pelbagai iklan dan tawaran. Itu macam bagus. Ini pun macam bagus. Jangan ikut nafsu, tapi ikut ilmu. Ilmu bukan datang bergolek tapi perlu dicari.

Sebelum melabur pada hartanah, lebih baik melabur dahulu pada ilmu. Takut-takut nanti duit untuk melabur entah je mana. Duit 'melebur' lagi adalah. Haha. Cari ilmu kewangan dan hartanah secepat mungkin.

Kalau anda bijak, memang boleh cepat tangkap. Kalau tak, sampai ke sudahlah tak yakin nak beli rumah. Selepas dapat ilmu, pasti datang sekali keyakinan.

Banyak sangat cara nak dapat ilmu tu semua. Datang seminar, baca buku, ebook atau boleh follow FB sifu-sifu berkaitan yang langsung tak lokek ilmu.

18. BERGAUL DENGAN KAWAN-KAWAN YANG POSITIF

Bila nak beli rumah, kita kena berjimat simpan duit. Kalau dah berjimat tu, faham-fahamlah. Setakat kena ejek dan perli tu biasa. Sekali sekala, sembanglah pasal kewangan dan hartanah kat kawan-kawan kita.

Untung-untung, kawan kita yang negatif tu, semua akan jadi positif untuk beli rumah cepat. Kalau tak dapat nak buat apa lagi, tukar kawan terus. Haha.

Tak saya nafikan, memang generasi Y sekarang ni lain macam. Tak boleh langsung dinasihat melainkan mereka sendiri yang bersedia untuk menerima. Yang ego tinggi sangat tu, rugilah anda.

Ingat ni, orang lain takda hak untuk tentukan cara kita berbelanja. Duit kita adalah hak kita. Bila kita susah, bukannya mereka akan bayarkan hutang-hutang kita tu pun.

19. BINA NETWORKING DAN SUPPORT GROUP

Kalau nak tanya apa-apa, senang. Boleh tanya dan terus dapat jawapan. Macam saya, saya ada group WhatsApp MISI MENCARI RUMAH dan STALKER HARTANAH. Daripada dua group ni, saya dapat info hartanah dan networking kaw-kaw daripada sifu-sifu, banker, lawyer, ejen hartanah.

Walaupun anda masih belum bersedia untuk beli rumah, tapi bila dah diberi peluang masuk group tu, binalah ukhwah semantap-mantapnya dengan ahli dalam group tu. Bukannya diam, sunyi, sepi. Bila kena kick keluar, tahu pula mengggelabah. Eh!

20. BELI RUMAH PERTAMA SEBELUM BERKAHWIN

Cari rumah subsale (second hand) sekurang-kurangnya 30% di bawah harga pasaran, dapat cash back. Boleh guna untuk majlis kahwin dan modal beli rumah kedua pula. Bakal pak mertua pun seronok bila tahu bakal menantunya dah ada rumah. Terus green light. Rumah dapat, orang rumah pun dapat. Bijak!

Pesanan saya, kalau anda belum berkahwin, belilah rumah pertama dulu. Akhir kata, jangan dikejar status kahwin muda kalau kita sendiri tak reti nak bersedia. Biarlah kahwin lewat pun takpa, lebih banyak masa untuk berbakti kepada ibu bapa.

Jadi, macam mana nak memiliki 4 rumah sebelum umur 30 tahun ni? Guna kesemua 20 tip ni untuk beli rumah pertama, lepas tu anda automatik akan tahu dah macam mana nak beli rumah kedua, ketiga dan keempat.

Kalau tak sempat kejar, beli dua rumah sebelum umur 30 tahun, kemudian cepat-cepat kahwin dengan pasangan yang ada dua rumah juga. 2 + 2 = 4. Siap! Haha. – Harith Faisal | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.