Aniaya Pengantin, Tribunal Tuntutan Pengguna Arah Syarikat Bayar Ganti Rugi RM6,052


SHAH ALAM - Hari perkahwinan sepatutnya tiada masalah apabila semua perancangan telah dibuat dengan rapi. Namun tidak bagi pasangan dua pasangan ini, apabila syarikat penyedia perkhidmatan pengantin dan katering yang dilantik menganiaya majlis raja sehari mereka, lapor Harian Metro.

"Bukan hanya bekalan nasi tidak mencukupi dan lauk basi, malah kami terpaksa menggantikannya dengan masakan sendiri untuk dihidangkan kepada tetamu," kata Saiful Azhar Ramli, 25, kakitangan swasta.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam mengarahkan syarikat berkenaan membayar ganti rugi RM6,052 kepada Saiful selepas gagal menyedaikan makanan seperti yang telah dijanjikan untuk majlis perkahwinan lelaki itu pada awal bulan lalu. 

Menurut Presiden TTPM, Wan Rufaidah Wan Omar berkata, Saiful berhak mendapatkan haknya semula kerana ia membabitkan hidangan makanan untuk tetamu. 

"Sehubungan itu, pihak penentang (syarikat) diarah membayar RM6,052.50, iaitu sebahagian dairpada nilai yang terpaksa ditanggung oleh penuntut. Ganti rugi itu perlu dibuat dalam tempoh 14 hari bermula hari ini (semalam)," katanya. 

Difahamkan, syarikat berkenaan sepatutnya menyediakan makanan untuk 1,000 tetamu pada majlis perkahwinan Saiful dan kakaknya, Naemah Ramli, 34, pada 3 September lalu. Pada perjanjian awal, mereka menempah nasi beriani, namun diganti dengan nasi minyak tanpa sebarang pengetahuan mereka. 

"Selain itu, bekalan nasi terputus kira-kira jam 1 tengah hari dan syarikat katering memberitahu bahawa mereka tertinggal empat hingga lima tong yang sepatutnya dibawa ke majlis. Akibatnya, ramai tetamu yang tidak dapat menikmati hidangan kerana nasi hanya tiba dua jam lebih kemudian sehingga menyebabkan empat plastik sampah nasi itu terpaksa dibuang," katanya. 

Selain itu, hidangan bubur pulut hitam dan ayam masak merah yang disediakan juga tidak boleh dimakan kerana sudah basi. 

Selain makanan, syarikat yang sama juga bertanggungjawab menyediakan pelamin, meja makan beradab untuk empat pengantin dan khidmat fotografi dengan bayaran RM16,688.

Kecewa dengan apa yang berlaku, Saiful membuat laporan polis di Balai Polis Sri Muda pada 4 September dan memfailkan tuntutan di TTPM selepas gagal mendapatkan kerjasama daripada syarikat yang dilantik. 

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Alamanda, Seksyen 20, di sini, dia melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Nurul Fatihah Tahir, 23, manakala Naemah berkahwin dengan Mohd Fariz Mohd Nor, 32. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.