Apa Yang Suami Perlu Lakukan Bila Isteri Seorang Yang Garang & Keras Kepala?

Mempunyai isteri yang garang dan keras kepala sudah tentu memening kepala si suami. Tambahan pula kalau suami jenis yang egonya tinggi, maka berlarutan pertengkaran yang masing-masing mahu menang. Namun, sampai bila? Sampai bila keadaan seperti ini berterusan dalam rumah tangga kita? 

Teringat pada nasihat orang tua yang rasanya umum pernah mendengarnya. Apabila pasangan suami isteri tidak sefahaman, salah seorang perlulah menjadi 'air' meskipun tidak bersalah. Keadaan tidak akan menjadi tenang sekiranya suami dan isteri sama-sama menjadi 'api'. Itu hanya menyebabkan masalah menjadi semakin berpanjangan. 

Baca perkongsian dari Rafie Ramli, yang mungkin anda terutamanya golongan suami boleh manfaatkan. Semoga rumah tangga anda semakin bahagia hendaknya.


Oleh Rafie Ramli

Apa yang suami perlu lakukan bila isteri seorang yang garang dan keras kepala? 

Perkahwinan saya masih baru nak masuk enam tahun. Di awal perkahwinan, isteri saya seorang yang keras kepala, degil dan tegas. Saya juga cepat melenting bila tak kena gaya. Tetapi bila bergaduh kecil atau besar, saya akan mengambil peranan menurunkan ego, diam, dengar dan pendam. 

Untuk berdiam, saya selalu percaya bahawa apa yang kita cakap atau balas pasti akan lebih mengeruhkan keadaan. Mengaku salah walaupun kita rasa kita betul adalah tindakan yang terbaik. Perempuan ini, mesti nak menang. Fakta mereka berjela, kita takkan menang lawan mereka. Layankan saja. 

Suami perlu ingat, kita bukan perempuan. Kita tidak akan mampu memahami mereka, benda yang kita rasa kecil tetapi sentiasa besar di hati mereka. Mengikut ego dan melawan mereka ketika ini sangat tidak relevan. 

Saya bersabar untuk beberapa ketika dan hasilnya sangat baik. Isteri saya berubah dan semakin berubah. Sekarang. kalau bergaduh, saya masih perlu mengalah tetapi kami jarang bergaduh besar sebab sudah malas nak berperang. Tetapi kalau berperang pun hanya sekejap sahaja. 

Sehingga beberapa jam selepas perang, biasanya isteri akan mula tenang. Yang saya selalu perasan, dia selalu solat bila marah dan yang membuatkan saya tewas, bila mendengar dia merintih dan menangis di dalam doanya. 

Bila dalam keadaan tenang ini, wanita tegas pun akan mula menyalahkan diri sendiri dan meminta maaf kerana tidak menjadi isteri solehah. Tidak menjadi ibu mithali. Dia akan datang dan meminta maaf. 

Di waktu ini, suami perlu menurunkan lagi ego ke lantai. Jangan pula kita mengiakan isteri atau menghentam kembali. Teruskan juga meminta maaf. 

Alhamdulillah, its works every time. Dan besoknya, hadiahkan sesuatu. Apa sahaja yang kita rasa mampu. Mitos 'perempuan merajuk sebab mahu dipujuk' itu sebenarnya wujud. Isteri saya kalau hadiah dia makanan pun dah seronok. Beli ikut kemampuan. 

Kenapa saya perlu mengalah sedangkan saya lelaki dan pemimpin? Tak ada egokah saya ini? 

Sebagai suami, saya selalu ingat segala pengorbanan yang isteri telah buat selama ini. Betapa dia berkorban sejak dari mula berkenalan, kami kahwin ketika masih muda remaja, dia seorang yang agresif, popular, suka shopping, trendy dan gila make up. 

Tetapi selepas berkahwin, dia tinggalkan semua sehingga dia berubah menjadi apa yang dia dah jadi sekarang. Kadang-kadang saya rasa tak boleh jadi sekuat dia kalau saya berada di tempatnya. Bila mengenangkan dia sanggup berpindah ke Baling yang agak terpencil, tiada kawan-kawan, bersedia menerima keluarga serta kawan-kawan dia seadanya dalam hidup dia, saya rasa tidak layak untuk saya mengecewakan perasaan dia. 

Sebab itu saya banyak mengalah sebab saya tahu jiwa dia memberontak tetapi demi kasih kepada keluarga, dia bertahan. Jadi dia menjadi cepat marah dan tertekan. 

Lama-kelamaan bila sudah biasa dengan hidup baru, saya nampak dia lebih tenang. Sekarang, bila dia struggle dengan selera makan dan diet dia, tetapi dalam masa yang sama dia perlukan tenaga untuk menyusukan anak-anak pun saya dah cukup terkesan. 

Adakah saya boleh sesabar isteri dan sekuat dia? 

Dengan pengorbanan mereka, rasanya tidak layak untuk para suami sakitkan hati isteri walaupun sikit. Allah, Allah, Alhamdulillah untuk tempoh perkahwinan ini, ianya satu satu proses tarbiah yang baik untuk kami suami isteri. 

Saya bukan suami yang baik tetapi saya mahu isteri yang baik. Maka saya berusaha menjadi baik. Rumah tangga itu dibina atas dasar mahu memberi yang terbaik. Pilih untuk terus setia dan bersabar, kita pasti menang. Ikhlas dari suami yang acah-acah sweet. Hahaha! - Rafie Ramli | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.